Assalamu'alaikum wbt
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itu lah orang-orang yang benar."
(Quran, Al-Hujurat :15)
Alhamdulillah, Allah masih memberi nafas untuk saya meniti kehidupan. Melalui liku-liku perjalanan yang tak pernah terlintas di fikiran. Denai-denai kecil yang penuh lopak-lopak dan lumpur. Laluan yang bukan mudah tetapi Allah telah memudahkan. Dunia dihiasi tangisan bagi insan-insan yang dekat dengan Ilahi, bukan gelak ketawa yang melalaikan.
Hati, dimiliki oleh setiap insan. Yang mengawal seluruh anggota badan dan perlakuan.
Sabda Rasulullah s.a.w, dalam diri manusia, ada seketul daging. Sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahirnya. Jika rosak daging itu, maka rosak lah seluruh anggota lahirnya. Itulah dia hati.
. Andai di hati kita yang utama adalah pelajaran, sudah tentu kita kelihatan sangat bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan mencintai ilmu. Kita akan sentiasa berada di tempat khazanah ilmu, bertanyakan pensyarah dan berkongsi ilmu, setiap masa sentiasa dengan buku, tidur lambat untuk mentelaah ilmu. Pada insan begini, mereka yakin dengan usahanya yang bersungguh-sungguh, dia dapat mempelajari banyak benda.
Andai di hati kita yang utama adalah seorang insan yang kita sayangi, pastilah kita seringkali mencuba untuk membahagiakannya, andainya di hati kita yang utama adalah ibu bapa, sudah pasti keutamaan kita adalah patuh kepada mereka, sentiasa menghubunginya ketika berjauhan, dan sering inign bersama mereka.
Yang mana yang utama? Masakan mungkin insan yang mencintai jalan perjuangan kerana Allah boleh beralasan untuk lupa tentang waktu-waktu dan tarikh-tarikh penting bagi melaksanakan perancangan dakwah dan mengerahkan tenaga? Mana mungkin insan yang mengatakan jihad di jalan Allah itu lebih utama baginya tetapi tidak sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan kelapangan dalam kelapangan, atau mencelah dalam kesibukan? Mana mungkin.
Andai dirinya tidak mampu, dan hanya berfikir tentang dirinya semata-mata, tidak sanggup berkorban, usahlah menutur kata, berjanji. Andai benar kamu inign menjadi pejuang agama Allah, buktikanlah. Kamu pasti tidak akan beralasan dalam urusan kerana Allah.
Perjuangan kerana Allah terlalu luas, terbuka dalam banyak lapangan, cuma terpulang kepada nawaitu kita, keazaman kita, adakah ia kerana Allah atau kita telah mengasingkan sesuatu perkara kerana dunia. Dunia ladang akhirat, bertuah bagi insan yang menuai hasilnya untuk bekalan akhirat, namun malang bagi insan yang lalai, hanyalah melihat keindahan dunia semata-mata.
"Dan kehidupan dunia ini adalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui."
(Quran, Al-Ankabut : 64)
Wallahua'lam.
p/s : Entry ini tidak merujuk kepada orang lain, tetapi untuk diri sendiri. Peringatan untuk diri sendiri.
0 comments:
Post a Comment