• Al-Quran Dari Sudut Ilmu Astronomi

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Sekali-kali jangan (begitu). Sungguh (ajaran-ajaran Allah) itu suatu peringatan. Maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah dia akan memerhatikannya."

    (Quran, 'Abasa : 11-12)


    Pada minggu lepas, saya dan adik beradik sempat meluangkan masa bersama mengadakan sesi usrah, sesi muzakarah, sesi perbincangan. Alhamdulillah, di izinkan Allah kami dapat berkumpul lagi. Bukan senang untuk bersama. Seperti biasa, abang sulung saya suka sekali berkongsi cerita dengan kami. Kali ini dia bawa kami untuk mendalami, mengkaji dan meneliti kebesaran dan keagungan Al-Quran. Suka sekali dia lontarkan cerita-cerita mengenai ilmu pengkajian saintis yang membuktikan Al-Quran itu benar, Allah telah menerangkan kebenaran sebelum para ilmuan menemui sesuatu pengkajian lagi.

    Sepanjang sesi perbincangan yang cukup manfaat ini, setiap daripada kami masing-masing membuka Quran tafsir sebagai rujukan dan mengesahkan bukti dalam kalimah Allah yang cukup benar dan jelas. Dengan kepakaran abang saya dalam ilmu sains, fizik dan kimia, dia suka sekali mengkaji dan meneliti setiap sejarah penghasilan teori-teori yang dihasilkan oleh saintis. Dalam penelitiannya, jelas sekali saintis barat terlalu banyak menyeleweng dan ada di kalangan mereka hanyalah sekadar mencedok karya-karya saintis Islam yang sangat ulung.

    Dengan sedikit ilmu yang saya ada hasil dari pembacaan dalam artikel-artikel Keajaiban Al-Quran, dan 2 bulan lepas saya ada menyaksikan pendebatan antara Dr Zakir Naik dan Dr William Campbell dalam debatnya yang bertajuk Al-Quran dan Injil (Bible) Mengupas Ilmu Pengetahuan, saya juga suka untuk berkongsi dengan mereka. Saya cukup terpesona dengan kepetahan Dr Zakir Naik melontarkan bukti-bukti keagungan Allah dalam pidatonya.

    Dalam penulisan Dr Zakir Naik, beliau ada membicarakan tentang kaitan Al-Quran dalam ilmu sains dalam pelbagai bidang iaitu dalam bidang astronomi, fizik, perubatan, zoologi, geografi, sains teras, geologi, kajian lautan, biologi, botani, fisiologi dan embriologi.

    Untuk kali ini, saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang kaitan al-Quran dalam bidang astronomi hasil daripada pembacaan dan perkongsian ilmu semasa saya dan keluarga mengadakan sesi usrah dan perbincangan.

    1. CIPTAAN ALAM SEMULAJADI : FENOMENA "BIG BANG"

    Konsep penciptaan alam yang diterangkan oleh para saintis (astrofizik) telah diterima umum, dan ia dinamakan sebagai fenomena 'Big Bang'. la pula disokong oleh hasil-hasil pemerhatian yang logik dan eksperimen-eksperimen tertentu yang dilakukan oleh para saintis (pakar astronomi dan astrofizik) sejak berkurun yang lalu.

    Menurut fenomena Big Bang, seluruh alam ini dahulunya berasal dari satu kumpulan jisim (Primary Nebula). Kemudian berlaku pecahan padanya (Secondary Separation) yang menyebabkan kejadian seluruh galaksi ini. Kejadian ini menyebabkan terbentuknya bintang-bintang, planet-planet, matahari, bulan, dan lain-lain. Asal kejadian alam ini sangatlah unik dan kebarangkalian alam ini terjadi dengan sendirinya adalah ternafi dengan sendirinya. 

    Jika diteliti, Al-Quran telah menjelaskan tentang penciptaan alam semesta lebih 1400 tahun dahulu lagi.

    "Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu menyatu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya, dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air, maka mengapa mereka tidak beriman?"

    ( Quran, Al-Anbiyaa' : 30)

    2. KEPULAN ASAP SEBELUM TERCIPTANYA GALAKSI

    Para saintis mengatakan bahawa sebelum terciptanya galaksi dan alam ini, objek- objek angkasa berada dalam bentuk kepulan asap. Kepulan-kepulan asap yang terdapat di ruang angkasa adalah sangat besar.

    Dalam ayat Al-Quran di bawah, perkataan Arab iaitu 'dukhan' yang digunakan adalah memberi maksud asap.

    "Kemudian Dia menuju ke langit dan (langit) itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya (langit) dan kepada bumi " Datanglah kamu berdua menurut perintah-Ku dengan patuh atau terpaksa". Keduanya menjawab : "Kami datang dengan patuh"."

    (Quran, Surah Fussilat : 11)

    3. BUMI BERBENTUK SFERA

    Pada zaman dahulu, manusia percaya bahawa bumi adalah rata. Ini menyebabkan manusia takut untuk belayar jauh, takut kalau terjatuh di hujung dunia. Orang pertama yang membuktikan alam ini berbentuk sfera ialah Sir Francis Drake apabila beliau belayar mengelilingi dunia pada tahun 1597.

    Cuba perhatikan ayat Al-Quran di bawah yang menceritakan tentang pertukaran malam dan siang yang bersilih ganti. 

    "Tidakkah kamu memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam."

    (Quran, surah Luqman : 29)

    Perkataan 'memasukkan' di sini bermaksud, Allah S.W.T. menukarkan malam kepada siang dan siang kepada malam secara perlahan-lahan. Fenomena ini hanya boleh berlaku sekiranya dunia ini berbentuk sfera. Jika dunia ini rata, pastinya pertukaran malam kepada siang dan siang kepada malam akan berlaku secara tiba-tiba.

    Ayat Al-Quran di bawah juga menceritakan tentang bumi yang berbentuk sfera. 

    "Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar. Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah, Dia yang Maha Mulia, Maha Pengampun."

    (Quran, surah Az-Zumar : 5)

    Dalam ayat di atas, perkataan Arab yang digunakan adalah 'kawwara' yang bermaksud menutup, sebagaimana serban menutup kepala. Penutupan secara 'kawwara' yang bersilih ganti hanya boleh berlaku jika bumi ini berbentuk sfera.

    Bumi ini sebenarnya bukanlah bulat seperti bola, tetapi berbentuk 'Geo-Spherical', iaitu mendatar di Kutub Utara dan Selatan. Ini dijelaskan dalam ayat Al-Quran di bawah.

    "Dan setelah itu bumi Dia hamparkan"

    (Quran, Surah An-Nazi'at: 30)

    Dalam ayat di atas, perkataan Arab "dahaaha" ini bermaksud telur burung unta. la juga bermaksud sesuatu yang luas terbentang (seperti dalam tafsiran, Yusuf Ali). Bentuk telur burung unta pula menyerupai bentuk bumi, iaitu bentuk 'Geo-Spherical'.

    Oleh itu, Al-Quran dengan tepatnya menjelaskan bentuk sebenar bumi, walaupun manusia pada masa Al-Quran diturunkan mempercayai bahawa dunia ini berbentuk datar.


    Dalam pendebatan antara Dr Zakir Naik dan Dr William Campbell, jelas sekali kesalahan yang berlaku dalam kitab Bible yang diyakini oleh orang-orang Kristian.


    (Iblis mengambilnya (Jesus) menuju gunung yang sangat tinggi dan menunjukkan kepadanya semua kerajaan di dunia dan kemegahannya)
    "Again the devil took him to a very high mountain and showed him all the kingdoms of the world and their glory"

    (Gospel of Matthew, Ch. 4: V. 8)


    (Iblis membawanya ke gunung yang tinggi dan menunjukkan padanya keagungan dari seluruh kerajaan di dunia)
    "And the devil ascended a high mountain and showed (Jesus) all the kingdoms of the earth in a moment of time"

    (Gospel of Luke, Ch. 4: V. 5)

    Hujah Dr Zakir Naik cukup jelas menyatakan sekiranya kita hari ini mendaki gunung yang paling tinggi sekali pun, seperti Gunung Everest, seandainya kita memiliki penglihatan yang baik dan dapat melihat sejauh ribuan batu, namun, kita tetap tidak dapat melihat semua kerajaan yang ada di muka bumi kerana kita tahu bumi itu berbentuk sfera Kita mungkin akan dapat melihatnya secara keseluruhan seandainya bumi itu mendatar. Jelas sekali Bible terpesong apabila menyatakan bumi adalah mendatar.

    "Dalam sebuah mimpi saya melihat sepohon pokok yang tumbuh di tengah-tengah bumi. Pokok itu tumbuh dan membiak banyak dan meninggi ke langit sehingga setiap orang yang ada dipenjuru bumi dapat melihat pohon tersebut.
    "I saw while in bed, a tree of great height in the middle of the earth. The tree grew and proliferated and its height reached the sky, and it could be seen to the ends of the earth.

    (Gospel of Daniel, Ch 4 :V 10-11)

    Perkara ini mungkin akan berlaku sekiranya bumi berbentuk mendatar. Namun secara saintifik sendiri telah terbukti bumi berbentuk sfera, mana mungkin pohon yang tumbuh meninggi dapat dilihat oleh setiap orang di setiap penjuru bumi.

    Dalam Bible, Book of Isaiah juga ada menyatakan bumi berbentuk lingkaran. Ini bermaksud bumi berbentuk lingkaran dan mendatar. Ia seolah-olah seperti duit syiling yang berbentuk lingkaran dan mendatar. Adakah bumi berbentuk seperti duit syiling? Sudah pasti tidak sama sekali.

    4. CAHAYA BULAN ADALAH CAHAYA PANTULAN

    Pada zaman dahulu, manusia mempercayai bulan mempunyai cahayanya yang tersendiri. Tetapi, fakta sains moden mengatakan bahawa cahaya bulan sebenarnya cahaya yang dipantulkan. Dan ini menyamai fakta yang terdapat dalam Al-Quran yang diturunkan pada 1,400 tahun dahulu. Ayat Al-Quran yang menceritakan tentang perkara ini ialah:

    "Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia menjadikan juga padanya matahari dan bulan yang bersinar."

    (Quran, Surah Al-Furqan : 61)

    Perkataan Arab yang digunakan yang membawa maksud matahari ialah "shams". Dan dalam ayat di atas perkataan 'siraaj' digunakan yang bermaksud obor. Selain itu "wahhaaj" juga digunakan untk matahari yang bermaksud lampu yang bernyala serta "diyaa" yang bermaksud sinaran (shinning glory). Perkataan tersebut adalah sesuai untuk menggambarkan matahari, memandangkan matahari menghasilkan haba dan cahaya melalui pembakaran dalaman.(Internal Combustion).

    Manakala, perkataan Arab bagi menunjukkan makna bulan ialah "qamar" dan dihuraikan dalam Al-Quran sebagai "Muneer", yang bermaksud sesuatu yang diberikan cahaya (nur). Sekali lagi huraian Al-Quran menunjukkan kesesuaiannya dengan fakta sains di mana cahaya bulan adalah cahaya yang dipantulkan.

    Sehinggakan dalam Al-Quran bulan tidak pernah disebut sebagai "siraaj", "wahhaaj" ataupun "diyaa" atau, tidak pula menyebut matahari sebagai "nur" dan "muneer". Ini membuktikan bahawa Al- Quran dapat membezakan sifat matahari dan bulan. laitu matahari menghasilkan cahayanya sendiri dan bulan menerimanya.

    Perhatikan ayat di bawah yang membezakan sifat antara matahari dan bulan.

    "Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya. dan Dialah yang menetapkan tempat-tempat orbitnya, agar kamu mengetahui bilangan tahun, dan perhitungan (waktu). Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya) kepada orang-orang yang mengetahui."

    (Quran, Surah Yunus : 5)

    "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat? Dan Allah menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita?"

    (Quran, Surah Nuh : 15-16)

    5. MATAHARI BERPUTAR DIATAS PAKSINYA

    Pada zaman dahulu, ahli falsafah dan saintis barat percaya bahawa, bumi terletak di pusat alam dan setiap objek angkasa termasuklah matahari berputar mengelilingi bumi. Di Barat, kepercayaan ini dalam konsep Geocentric telah diterima pakai sejak zaman Ptolemy ( 200 B.C ). Pada 1512, Nicholas Copernicus telah membentangkan teorinya iaitu Heliocentric Theory of Planetary Motion, dan beliau menegaskan bahawa matahari terletak di tengah-tengah sistem solar dan planet- planet lain mengelilinginya.

    Pada 1609, seorang saintis Jerman, Yohannus Keppler telah memperkenalkan "Astronomia Nova" yang mengatakan bahawa planet-planet bukan sahaja bergerak di atas orbit masing-masing mengelilingi matahari, malah mereka juga berputar di atas paksi masing-masing dengan kelajuan yang luar biasa. Maka dengan fahaman ini (Astronomia Nova), para saintis Eropah dapat memberi huraian yang betul tentang mekanisma-mekanisma sistem solar, termasuklah mengenai pergantian malam dan siang yang silih berganti.

    Walau bagaimanapun selepas penemuan-penemuan ini, para saintis masih lagi mempercayai bahawa matahari tidak berputar di atas paksinya seperti bumi. Mari kita fahami ayat al-Quran di bawah;

    "Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya."

    (Quran, Surah Al-Anbiya': 33)

    Perkataan Arab yang digunakan dalam ayat di atas ialah "Yasbahuun". Perkataan ini asalnya dari perkataan "sabaha" yang bermaksud pergerakan yang datang dari objek yang bergerak. Kalau ia digunakan untuk seorang manusia di darat, ini bermakna manusia itu sedang berlari atau berjalan. Manakala, jika ia digunakan untuk seorang manusia dalam air, ia bererti manusia itu sedang berenang.

    Begitulah juga, jika perkataan "Yasbah" digunakan untuk objek-objek angkasa, contohnya matahari, ia memberi 2 makna iaitu objek tersebut bukan sahaja bergerak di ruang angkasa, tetapi ia juga berputar atau berpusing di atas orbitnya. Kenyatan bahawa matahari berputar di atas paksinya boleh dibuktikan dengan suatu alat yang boleh memancarkan cahaya matahari apabila alat tersebut diletakkan di atas meja.

    Alat ini akan memudahkan manusia mengkaji matahari tanpa merosakkan mata. Melalui alat ini, didapati matahari mengambil masa 25 hari untuk melakukan satu putaran lengkap di atas paksinya.Tambahan, matahari bergerak dalam orbitnya dengan kelajuan lebih kurang 150 batu sesaat dan akan mengambil masa selama 200 juta tahun untuk melengkapkan satu pusingan dalam "Milky Way Galaxy"

    "Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya"

    (Quran, Surah Yaasin : 40)

    6. KEWUJUDAN OBJEK-OBJEK ANTARA BINTANG-BINTANG (INTERSTELLAR MATTERS)

    Ruang angkasa selain daripada bintang-bintang dan lain-lain, dulunya dipercayai sebagai ruang vakum. Tetapi ahli saintis ( ahli astrofizik) kemudiannya mengesan kewujudan objek-objek antara bintang-bintang (bridges of matter). Objek-objek antara bintang-bintang dikenali sebagai plasma. Plasma ialah gas ion yang mengandungi elektron bebas dan ion positif. la juga dikenali sebagai bahan keempat, selain daripada pepejal, cecair dan gas. Al-Quran ada menyebutkan tentang kewujudan plasma ini.

    "Yang menciptakan langit dan burni dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy, (Dialah) yang Maha Pengasih, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada orang yang lebih mengetahui (Muhammad)."

    (Quran, Surah Al-Furqaan : 59)

    Kita semua mengetahui bahawa kewujudan plasma adalah melalui penemuan sains moden, dan pada 1,400 tahun dahulu iaitu semasa Al-Quran diturunkan tiada seorang pun yang terfikir mengenainya, maka dari manakah datangnya maklumat mengenai kewujudan plasma dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad? Allahu akbar, Allah lah yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui.

    7. ALAM YANG SENTIASA BERKEMBANG

    Pada tahun 1925, seorang ahli astronomi, Edwin Hubble, telah dapat membuktikan melalui kajian sains iaitu galaksi 'menjauhkan' antara satu sama lain. Ini merupakan bukti yang jelas bahawa alam sentiasa berkembang. Sekarang, sains moden telah menerima pakai konsep ini. Allah S.W.T. ada menyebut tentang fenomena ini dalam Al-Quran.

    "Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan Kami benar-benar meluaskannya."

    (Quran, Surah Az-Zariyat : 47)

    Perkataan Arab "muusi'uun" diterjemahkan sebagai "sedang berkembang" dan ia merujuk kepada konsep kejadian dan perkembangan alam ini.

    Dalam buku A Brief History of Time karangan Stephen Hawking mengatakan bahawa penemuan konsep perkembangan alam ini membawa kepada perubahan besar terhadap cara pemikiran manusia pada abad ke-20. Walau apapun, apa yang paling menakjubkan ialah Al-Quran telah menyebutkan tentang konsep perkembangan alam sebelum manusia dapat mencipta teleskop.

    Sesetengah orang akan membuat alasan bahawa perkara ini tidaklah menakjubkan kerana orang Arab sememangnya mahir dalam bidang astronomi. Walau bagaimanapun, jangan kita lupa tentang satu perkara yang amat penting iaitu orang Arab maju dalam bidang astronomi selepas mereka beriman kepada Al-Quran dan bukan sebelum itu.

    Dalam menulis mana-mana entry yang berkaitan tentang fakta-fakta ilmu, saya sedaya-upaya merujuk banyak rujukan dan yang penting dan utama adalah penulisan maksud al-Quran. Oleh itu, saya sangat berharap sesiapa yang membaca setiap entry saya supaya sentiasa merujuk kembali maksud dan tafsir Al-Quran dan ilmu-ilmu yang saya coretkan, supaya boleh menegur dan memperbetulkan kesilapan saya. Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita atas setiap usaha kita mendalami dan mengenal Allah. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua, insya Allah. 

    Insya Allah saya akan berkongsi lagi tentang keagungan Al-Quran dari sudut ilmu yang lain pada masa akan datang. Andai sahabat dan teman-teman berkelapangan, boleh juga menyaksikan debat antara Dr Zakir Naik dan Dr William Campbell dalam youtube, sangat menarik dan bermanfaat. Insya Allah.

    "Ya Allah kasih sayangilah aku dengan sebab al-Quran, dan jadikanlah al-Quran ini sebagai pemimpin, sebagai cahaya, sebagai petunjuk dan sebagai rahmat bagiku. Ya Allah, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa dalam al-Quran yang telah Kau jelaskan, dan ajarilah apa-apa yang aku belum mengetahui dan kurniakanlah aku kesempatan membaca al-Quran pada malam dan siang hari, dan jadikanlah al-Quran sebagai hujah bagi ku, Ya Allah Tuhan semesta alam."

    Wallahua'lam.

0 comments: