• Muhasabah Taqwa

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Dan ceritakan lah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka  tentang kisah kedua putra Adam, ketika keduanya mempersembahkan kurban, maka (kurban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak di terima. Dia (Qabil) berkata, "sungguh, aku pasti membunuhmu!" Dia (Habil) berkata, "Sesungguhnya Allah hanya menerima amal dari orang yang bertaqwa."

    (Quran, Al-Maidah : 27)


    Melalui perjalanan yang saya kira suatu yang panjang ini, Allah sentiasa menjadikan orang di sekeliling kita sebagai asbab untuk kita muhasabah diri kita. Itulah kelebihan sahabat-sahabat, teman-teman dan saudara seagama mahu pun saudara sesama manusia. Kerana itu Allah ciptakan kasih sayang, moga-moga kita kasih mengasihani sesama kita mahu pun hidupan lain.

    Sahabat-sahabiah yang saya kasihi kerana Allah.

    Kita melakukan setiap ibadah bukan untuk menunjuk-nunjuk kitalah insan yang paling baik di dunia ini hinggakan seringkali kita iklankan kebaikan kita di mana kita berada. Insan yang kamil adalah insan yang mempunyai aura tersendiri, apabila di pandang wajahnya, atau terlihat dia, atau teringat padanya, kita mudah untuk muhasabah diri kita. Tidak perlu untuk kita melakukan hebahan siapa kita.

    Lihatlah dari cermin diri, sedarlah bahawa pada kita, tidak ada satu pun kelebihan melainkan semuanya datang daripada Allah. Siapa kita untuk berlagak konon kitalah insan paling kamil, wara' dan soleh/ah sedangkan hakikatnya kita juga manusia, dan dia juga manusia, kita sama-sama manusia, sama-sama hamba abdi kepada Yang Maha Pencipta. Andai kita insan yang bertaqwa, dengan izin Allah cahaya ketaqwaan dan kejernihan itu akan terpancar di wajah kita melalui hati yang bersih.

    Beza manusia di sisi Allah adalah ketinggian taqwanya kepada Allah. Taqwa kepada Allah sendiri membawa maksud takut kepada Allah, meletakkan rasa kehambaan diri kita kepada Allah, sekali gus melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Jangan di ukur ketaqwaan mu melalui ibadah yang jelas di mata sahaja, seperti solat wajib dan sunat, puasa, membaca Quran dan sedekah. Ibadah kepada Allah adalah merangkumi semua aspek dan aktiviti dalam kehidupan kita. 

    Adakah kita rasakan Allah suka dan menganggap kita seorang yang bertaqwa kepadaNya apabila kita bersikap sombong, berbangga dengan diri sendiri dan bongkak? Jangan di bangga kita lah insan yang paling banyak solat sunat dan membaca Quran lalu kita labelkan diri sebagai insan yang kamil, insan yang soleh/ah. Lebih parah lagi apabila menghebah-hebahkan kebaikan sendiri. Sesungguhnya Allah tidak menilai ibadah yang banyak, tetapi Allah menilai ibadah yang baik. 

    " Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia maha perkasa, maha pengampun."

    (Quran, Al-Mulk : 2)

    Analoginya mudah, sebagaimana Si A dan Si B kedua-duanya bersedekah kepada Si C. Si A memberi sekotak besar buah limau kepada Si C. Di dalamnya terdapat 20 biji limau. Si B pula memberi sekotak kecil buah limau kepada Si C. Di dalamnya terdapat 10 biji limau. Si C sangat gembira menerima pemberian kedua-dua sahabatnya. 

    Apabila pulang ke rumah, Si C membuka kedua-dua kotak limau. Apabila di buka pemberian Si A, dia dapati hanya 3 biji limau yang elok daripada 20 biji. Kemudian dia membuka kotak limau pemberian Si B dan alhamdulillah kesemuanya elok. Agak-agak la, Si C akan lebih sayang pada Si A atau Si B? Agak-agak la, kalau Si C ada 1 biji buah durian dan dia hanya boleh memberi pada seorang, siapakah yang lebih dia utamakan pemberian buah durian tu? Si A atau Si B?? 

    Analogi ini bukanlah mengharapkan pengajaran supaya beribadah sikit pun tak pe, tetapi apa yang saya cuba sampaikan adalah nilai sesuatu ibadah itu adalah penting di sisi Allah.

    Di kesempatan yang ada, saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat dan teman-teman tentang orang-orang yang ada di sekeliling saya, mereka sering mengajak diri saya untuk bermuhasabah. Mengajak tak bermakna menutur dan berkata-kata. Pada hati dan jiwa yang bersih, Allah pasti mengurniakan kekuatan dan aura kepadanya sehinggakan orang-orang yang berada di sekelilingnya dapat merasai keluhuran hatinya.

    Mengenali seorang gadis ini, pada tanggapan saya dia adalah pelajar perubatan tahun 2, kalau saya tak silap la, tidak pernah pula bertaaruf melalui kata-kata, namanya pun saya tak tahu, hanya taaruf daripada mata, wajah dan insya Allah hati. Saya kenal dia sejak dia di tahun 1, kenal apabila seringkali bertemu di surau, pada masa itu saya berada di kolej yang sama dengan gadis ini. Saya sangat hormati dia. Dan saya yakin dia juga menghormati saya. Itulah budi pekertinya yang sangat luhur. 

    Setiap kali selepas solat dan bersalaman atau setiap kali bertemu, dia akan senyum pada saya dan dia akan tundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda dia hormati saya. Saya sangat senang, damai, tenang apabila melihat wajahnya, malah tersentuh dan jatuh sayang pada dia. Terdetik di hati saya, adakah saya ni insan yang menghormati orang lain sebagaimana saya lihat dia sangat menghormati orang-orang di sekelilingnya? Muhasabah diri.

    Zahirnya dia, tidaklah bertudung labuh, insya Allah menutup aurat. Sempurnakah? Saya tak pasti (saya lupa dia pakai stokin tak, xingat la), nampak dia seorang yang baik, lemah lembut dan pendiam. Setiap kali bersua dengannya, rasa termuhasabah diri. Pada sesi ini, kami bertukar kolej kediaman tetapi Allah masih mempertemukan kami, maka kami di tempatkan di kolej yang sama. Saya pernah tersua dengan dia dan dia masih sama, sangat menghormati saya. 

    Suatu ketika, saya menuruni tangga depan kolej. Ternampak dia sedang menunggu seseorang di depan kolej. Sambil menunggu di tepi tangga tu, masya Allah, saya nampak dia sedang menghayati al-Quran. Saya tidak pasti dia membaca ayat-ayat suci al-Quran atau pun membaca tafsirnya. 

    Ya Allah, muhasabah diri, saya sendiri tidak pernah berbuat demikian sepertinya. Saya sendiri selalu menunggu di situ tetapi tak pernah pun menggunakan masa menunggu itu dengan menghayati al-Quran walaupun Quran tafsir sering saya bawa ke mana-mana. Kalau di buka pun apabila saya menunggu pensyarah masuk untuk mengajar.

    Gadis kedua yang saya ingin ceritakan adalah seorang insan yang saya tidak pernah kenal, hanya sempat terserempak dalam LRT semasa pulang dari UM. Dia gadis bertudung labuh, memakai jubah, kelihatan baik sekali. Ketika itu saya berdiri di dalam LRT ingin pulang ke kolej pada suatu petang. Sampai di suatu stesen, dia pun masuk. Dia pun berdiri seperti saya. 

    Sedang LRT bergerak dan meluncur laju, saya melihat dia mengeluarkan Quran tafsir dan kemudian membaca al-Quran di dalam LRT sambil dia dalam keadaan berdiri. Sekali lagi hati saya diketuk kuat. Zahirnya, saya juga seperti dia, tetapi saya tidak beramal sebagus dia. Al-Quran ada di dalam beg saya tetapi kenapa saya tidak melakukan seperti dia. Muhasabah diri.

    Tiga watak yang saya bawakan di sini, gadis pertama, gadis ke dua, dan saya sebagai insan yang kene banyak muhasabah diri.

    Sahabat sahabiah yang saya hormati kerana Allah,

    Jangan diukur zahir seseorang. Saya jelik dengan orang yang HANYA menilai zahir seseorang lalu di situ dia menghukum. Mengharap yang datang padanya yang soleh wa solehah, yang bertudung labuh dan berpurdah, yang berkopiah dan berjubah. Saya akui golongan ini golongan mulia, tetapi janganlah memandang sahabat dan teman yang lain seolah-olah tidak ada nilai dan kebaikan padanya, datang pada mereka hanya untuk memberi nasihat, seolah-olah mereka terlalu buruk, dan berkawan hanya untuk menegur keburukan mereka.

    Kita bukan bertaraf nabi, apatah lagi malaikat, kita sama-sama tak terlepas daripada melakukan dosa, kita dan mereka tetap sama. Malah mereka mungkin lebih mulia, kerana mereka lebih menghormati kita. Jangan merasakan andai kita bertudung labuh dan berpurdah, berkopiah dan berjubah, kita merasakan kita lebih baik daripada mereka yang tidak berzahir begitu. Jangan pula mentafsirkan saya cuba untuk mengatakan golongan ini  "nampak je baik, tapi hati dia ya Allah, teruk, dan  bla3". 

    Dalam kes zahir dan batin ini, saya tidak ingin sekali meneroka keburukan siapa-siapa, saya hanya ingin merungkaikan bahawa kita manusia adalah sama sahaja, masing-masing ada kebaikan dan keburukan. 

    Merenung kehidupan saya, saya hidup di dalam 2 kelompok yang berbeza. Mungkin kalian juga begitu. Berada bersama-sama sahabat jemaah dan teman-teman satu kuliah. 2 kelompok yang nampak berbeza zahirnya. Bersama-sama sahabat jemaah, saya belajar mengenal dan menjaga diri, pergaulan, belajar tentang nilai sebuah perjuangan berterusan. Sahabat-sahabat, mereka sangat bagus dan mantap berbanding saya. 

    Melalui teman-teman sekuliah saya banyak belajar tentang hakikat siapa diri, mereka ajarkan saya tentang keikhlasan, mereka ajarkan saya ikatan ukhuwwah dan kemesraan, tolong-menolong, hormat menghormati dan berlapang dada. Teman-teman saya, mereka bukan golongan yang mudah putus asa, mereka tabah dan sabar, mereka teman yang rapat yang seringkali membantu saya, dan mereka jauh lebih baik berbanding saya.

    Kadang-kadang saya rasakan saya lebih rapat dengan 'teman-teman' berbanding 'sahabat-sahabat'. Seronok bersama-sama sahabat dalam perjuangan ini, bergerak kerja bersama-sama, berbincang dan bergurau mesra. Namun, apabila saya ditimpa masalah, terlalu sukar untuk mereka menjadi teman saya, bukan disebabkan mereka yang tidak mahu bersama-sama menggalas beban yang saya rasakan, tetapi ia seolah-olah menjadi dua dunia yang berbeza pula. 

    Bersama-sama dengan teman-teman pula, saya agak kurang berkesempatan bercerita banyak benda, namun apabila saya menghadapi masalah, merekalah yang bersama-sama menolong dan menggalas beban yang dirasakan sangat berat. 
     
    Membuat kenyataan sebegini bukanlah bermaksud saya ingin futur di jalan dakwah ini kerana insya Allah, DIA seringkali mengajar saya untuk betulkan niat dalam perjuangan ini. Perjuangan ini kerana Allah dan matlamat saya untuk hidup di sisi Allah. Andai perjuangan ini adalah kerana ukhuwah, mungkin sudah lama saya futur. 

     Sahabat dan teman, entry ini bukan bertujuan untuk melemahkan kekuatan sahabat untuk terus beribadah kepada Allah, tetapi sekadar bermuhasabah dan merenung kembali siapa diri kita yang sebenar. Sejak lahir, kita hamba Allah, apabila remaja kita tetap hamba Allah,sama juga apabila dewasa, tua dan meninggal dunia kita tetap hamba Allah, kalau dulu amalan kita sedikit, dosa kita banyak tetapi kita tetap hamba Allah, kalau kini ibadah kita melimpah-limpah dan mungkin semua nya baik tetapi kita tetap hamba Allah. Dulu, kini, dan selamanya walau siapa kita di mata manusia, walau pangkat dan darjat tinggi menjulang kita tetap hamba Allah. 

    Maka rendahkanlah diri untuk mengabdikan diri kita kepadaNya, kita sesama kita, kita tetap hamba Allah, tidak perlu untuk mengiklankan kebaikan diri sendiri. Nasihat dan menunjuk-nunjuk kebaikan diri adalah dua perkara yang berbeza, Islam adalah agama yang mengajar penganutnya nasihat-menasihati, tetapi Islam tidak mengajar kita untuk mengiklankan kebaikan diri sendiri. 

    Fudhail bin Iyadh penah berkata :

    "Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak di kenali, maka lakukanlah. Apa salahnya kalau kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji manusia tetapi di puji di sisi Allah s.w.t?"

    Saya yakin sahabat mengerti dan memahami apa makna nasihat, apa makna menunjuk contoh tauladan yang baik dan apa  makna menunjuk-nunjuk diri adalah yang terbaik. Ketiga-tiga berkaitan dengan hati, lidah (percakapan), atau perbuatan. Hanya kesucian hati yang ikhlas boleh membezakannya, dan pada ikhlas itu, hanya Allah yang mengerti.

    Saya mohon maaf seandainya entry ini menyakiti hati mana-mana pihak. Saya tidak berniat begitu. Saya ingin mengajak sahabat untuk kita menghormati orang di sekeliling kita, menghargai mereka dan tidak berlaku sombong, bangga diri dan merasakan kita lebih baik daripada mereka sama ada melalui hati, pertuturan dan perbuatan kita. Muhasabah diri. Kita tidak sempurna, tetapi kita ingin menuju kepada kesempurnaan. 

    Sahabat-sahabat dan teman-teman juga seringkali mengajak saya berfikir dan muhasabah diri. Alhamdulillah. Syukran. Mungkin saya tidak menitipkannya di sini, bukan bermakna tidak istimewa. Saya tidak layak dan tidak punya apa-apa untuk memberi hadiah. Saya yakin Allah akan balas setiap kebaikan kalian semua. Insya Allah saya sering mengingati kalian di dalam doa saya. =).

    Kepada adik-adik saya di kampus KL yang sedang menghadapi peperiksaan dan sahabat-sahabat dental UIA, Afzan dan Rehe, teruskan perjuangan, maju selangkah demi selangkah, alhamdulillah, moga kehadiran bulan Ramadhan membantu kalian memperoleh ilmu yang berkat, moga-moga kalian memperoleh kejayaan yang cemerlang. All the best. Allah sentiasa bersamaMu. Indah sebuah perjuangan andai saat itu kita rasakan Allah di sisi kita, lalu kita tidak putus asa untuk berusaha, kita tidak gentar menghadapi dugaan. Bersandar pada Yang Maha Hebat.

    "...Maka, barang siapa mengharapkan pertemuan dengan tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam ibadah kepada Tuhannya."

    (Quran, Al-Kahfi : 110)

    Wallahua'lam.

    p/s : Berada di kelompok manusia menganggap kita baik, mereka lebih menghormati kita, di situlah tergugatnya iman di dada. Saya tidak ingin berada di kelompok itu, saya ingin berada di kelompok saya lebih menghormati orang lain. Saya penat mendengar orang yang selalu mengatakan saya baik. Dan saya lagi penat mendengar orang yang menghebahkan dirinya baik berulang-ulang kali, menasihati orang lain sana sini, tetapi tidak beramal berdasarkan apa yang dinasihatinya..

0 comments: