• Makki dan Madani

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    Daripada Abu Said Al-Khudri r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : "Orang yang berilmu itu tidak akan puas dari mencari ilmu yang didengarinya sehingga adalah kesudahannya itu di dalam syurga."

    (Hadis riwayat At-Tarmizi)


    Untuk kali ini, saya ingin berkongsi tentang klasifikasi ayat-ayat al-Quran sama ada ayat tersebut adalah ayat Makki(Makiyyah)  atau ayat Madani (Madaniyyah).

    Dalam penyusunan ini, para ulama' telah memberi perhatian yang cukup besar dalam memastikan ayat Makki atau Madani. Mereka meneliti al-Quran ayat demi ayat, surah demi surah, supaya dapat mengenalpasti susunan penurunan ayat-ayat al-Quran dengan mengambil kira masa penurunan, tempat penurunan dan sasaran ayat yang diturunkan.

    Hasil daripada usaha gigih dan teliti para ulama', akhirnya mereka telah berjaya menyusun dan menentukan susunan surah-surah al-Quran berdasarkan masa turunnya ayat tersebut. Mereka boleh membezakan ayat-ayat yang diturunkan pada waktu malam atau siang, musim panas atau musim sejuk atau ayat yang diturunkan pada masa tidak musafir atau masa bermusafir.

    Dalam menentukan dan menggariskan titik perbezaan makki atau madani, para ulama mempunyai 3 pandangan dari aspek berbeza. Antara pandangan tersebut adalah :
    1. Dari segi masa turun
    2. Dari segi tempat turun
    3. Dari segi sasaran ayat

    Pandangan dari segi masa turun.

    Pandangan ini diterima dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama'. Pandangan ini membawa maksud para ulama' meletakkan sempadan perbezaan antara ayat Makki dan ayat Madani berdasarkan sebelum atau selepas hijrah. Sekiranya ayat tersebut di turunkan sebelum berlaku peristiwa hijrah, maka ayat tersebut di kenali sebagai ayat Makki manakala ayat Madani adalah ayat-ayat al-Quran yang diturunkan selepas peristiwa hijrah.

    Diingatkan, dalam pandangan ini, walaupun suatu ayat tersebut di turunkan di Mekah tetapi berlaku selepas hijrah, ia tetap dikenali sebagai ayat Madani. Begitu juga ayat yang diturunkan sebelum hijrah tetapi di sekitar Madinah, ia tetap di kenali sebagai ayat Makki.

    Sebagai contoh, ketika Pembukaan Kota Mekah (Fathu Mekah), setelah Nabi Muhamah s.a.w menyelesaikan tawaf, baginda s.a.w duduk sekejap di masjid. Lalu Rasulullah menyuruh Ali bin Abi Talib mengambil kunci Kaabah. Pada ketika itu, pemegang kunci Kaabah adalah Uthman bin Talhah, berketurunan bani Syaibah yang mewarisi jawatan itu secara turun-temurun. Pada ketika itu, Uthman bin Talhah belum lagi memeluk agama Islam.

    Lalu Saiyidina Ali ke rumah Uthman bin Talhah dan menyampaikan amanah Nabi Muhammad s.a.w. Namun, ibu Uthman melarang dia daripada menyerahkan kunci tersebut sambil berkata, " Penjagaan Kaabah adalah penghormatan turun temurun kita. Kita tidak boleh hilang kehormatan ini.". Uthman memegang tangan ibunya. membawa ke tempat yang lebih jauh lalu berkata, " Jika kita tidak memberikan kunci dengan suka rela, pasti mereka akan mengambil secara paksa."

    Lalu Saiyidina Ali pun mengambil kunci Kaabah dan ingin membukanya. Namun beliau tidak dapat membukanya. Kemudian datanglah Jibrail menurunkan wahyu dari Allah kepada Nabi Muhammad dari surah an-nisa' ayat 58 yang bermaksud :

    "Sungguh Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menetapkan dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh Allah maha mendengar, lagi maha melihat."

    Ayat ini diturunkan ketika peristiwa Fathu Mekah ketika Rasulullah s.a.w berada di Mekah tetapi ayat ini di anggap sebagai ayat Madani kerana diturunkan selepas berlaku peristiwa hijrah.

    Kemudian, Rasulullah s.a.w menyerahkan kembali kunci Kaabah kepada Uthman bin Talhah dan kemudian di bukanya pintu Kaabah. Beliau tertarik dengan budi pekerti Rasulullah yang tidak berlaku kasar dan tidak seolah-olah ingin berebut kuasa lalu Uthman bin Talhah, ketua bani Syaibah ini memeluk Islam, lalu ramailah pengikut Bani Syaibah kemudiannya memeluk Islam juga.

    Contoh kedua adalah ketika berlaku Hajjatul Wada' (Haji perpisahan) di Arafah. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3

    ".... Pada hari ini, telah Aku sempurnakan agamamu untuk mu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagi mu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu. tetapi barangsiapa terpaksa kerana lapar bukan kerana ingin berbuat dosa maka sungguh Allah maha pengampun, lagi maha penyayang."

    Ayat ini diturunkan di Arafah, tetapi ia tetap di kira sebagai ayat Madani kerana berlaku selepas peristiwa hijrah. Setiap kali baca ayat ini, mesti terasa nak nangis sebab ayat ini menunjukkan hayat Nabi s.a.w pada ketika itu sudah dekat ke penghujungnya. Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh umat seluruh sekian alam untuk menyampaikan risalah ajaran Islam. 

    Dan dalam ayat ini, Allah berfirman bahawa DIA telah menyempurnakan risalah agama Islam itu kepada Nabi s.a.w, maka ini adalah petanda yang sangat jelas umur rasulullah bakal berakhir.

    Pandangan dari segi tempat turun

    Sebahagian ulama' bersetuju dalam memilih pandangan dari segi tempat turun. Ia membawa maksud bagi ayat Makki, ayat-ayat ini diturunkan di Mekah walaupun selepas hijrah. Ia termasuk ayat-ayat yang diturunkan di sekitar Mekah seperti Mina, Arafah dan Hudaibiyah. Bagi ayat-ayat Madani, ayat-ayat ini diturunkan di Madinah dan persekitarannya seperti Uhud, Quba' dan Badr. Pengertian ini hanya mengambil kira tempat turun semata-mata. 

    Sekiranya menurut pandangan ini, timbul kelemahan di mana sekiranya ayat-ayat Allah di turunkan jauh daripada Mekah atau Madinah, ayat-ayat tersebut tidak dapat dimasukkan dalam mana-mana klasifikasi.

    Sebagai contoh dalam surah at-Taubah ayat 42,

    "Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka akan mengikutmu, tetapi tempat yang dituju itu adalah sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah dengan berkata : "Jikalau kami sanggup, nescaya kami berangkat bersama kamu, mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang yang berdusta."

    Ayat ini diturunkan di Tabuk berdasarkan peristiwa perang Tabuk. Tabuk merupakan benteng tinggi dan kukuh yang dibangunkan dekat sumber air di jalan yang menghubungkan Hijir dan Damsyik, di kawasan wilayah Suriah. Pada ketika itu, Suriah merupakan wilayah jajahan Rom Timur yang beribu kota Konstantinopole (Istanbul). Kedudukan Tabuk terletak jauh dari kota Madinah.

    Dalam peristiwa ini, jelas sekali sifat orang munafik atas sebab beberapa perkara iaitu pertama, kedudukan Tabuk yang jauh daripada kota Madinah menyebabkan mereka tidak mempu menyembunyikan sifat kepura-puraan mereka untuk tidak turut serta berjuang mempertahankan Islam. 

    Yang kedua, pada ketika itu, penduduk Madinah sibuk memetik buah kurma yang mulai matang ditambah lagi keadaan Madinah dan persekitarannya sedang berada dalam kekurangan makanan. Madinah di ketika itu dilanda kemarau yang sangat panas. Oleh itu, orang-orang munafiq tidak sanggup untuk turut serta pergi berperang.

    Selain itu, contoh lain adalah surah Al-Zukhruf ayat 45 yang diturunkan di Baitul Maqdis pada malam Isra' :

    "Dan tanyakanlah (Muhammad) kepada rasul-rasul Kami yang telah Kami utuskan sebelum engkau, "Apakah Kami menentukan tuhan-tuhan selain Allah yang maha pengasih untuk disembah?"

    Pandangan dari segi sasaran ayat

    Sebahagian kecil ulama' menyokong pandangan ini. Ayat-ayat Makki akan dirujuk kepada ayat-ayat yang disasarkan kepada penduduk Mekah manakala ayat-ayat Madani adalah ayat-ayat yang disasarkan kepada penduduk Madinah.

    Mereka berpendapat, ayat-ayat al-Quran yang dimulai dengan seruan (wahai manusia) adalah ayat Makki, manakala yang dimulai dengan seruan (wahai orang-orang yang beriman) adalah ayat Madani. Ini adalah kerana dahulunya kekufuran banyak berlaku di kalangan penduduk Mekah sementara keimanan pula banyak berlaku kepada penduduk Madinah.

    Namun begitu, pandangan ini dikenalpasti akan kelemahannya kerana dalam ayat-ayat al-Quran bukan hanya dua seruan tersebut dinyatakan oleh Allah. 

    Sebagai contoh, dalam surah Al-Ahzab ayat 1 :

    "Wahai Nabi! tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafiq. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha bijaksana."

    Ayat ini menggunakan seruan "wahai nabi".

    Apakah faedah mengetahui makki atau madani

    1. Dapat membantu dalam mentafsir al-Quran.
    2. Dapat membezakan antara yang nasikh(datang kemudian) dan yang mansukh (yang datang terdahulu).
    3. Dapat mengetahui sejarah perundangan Islam dan pemeringkatannya dalam pendidikan individu dan masyarakat, begitu juga dalam pelaksanaan hukum.
    4. Memberi keyakinan kepada kita bahawa al-Quran yang datang adalah yang benar tanpa sebarang pindaan dan perubahan.
    5. Dapat mempelajari sejarah dakwah al-Quran dan kaedahnya bagi setiap peringkat dakwah di mana berbeza di Mekah dan Madinah.

    Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain."

    (Hadis riwayat Bukhari, At-Tarmizi)

    Wallahua'lam.

    p/s : Ya Allah, ajarkan aku erti sabar untuk penantian ini..

0 comments: