• Sayang ini..

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Katakanlah (Muhammad), Dia lah Allah Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia."

    Al-Ikhlas : 1-4


    Alhamdulillah, dengan kelapangan yang di berikan oleh Allah s.w.t, sempat juga saya mengadakan usrah bersama adik-adik tahun 2. Usrah kali ke-2 sejak memasuki sesi baru ini. Alhamdulillah. Rindu pada mereka, rindu mendengar cerita-cerita mereka tambahan pula ada di antara mereka yang kene repeat year. Ada yang masih tidak dapat menerima hakikat itu. Ya Allah, moga Engkau kuatkan kami mengharungi perjalanan hidup ini.

    Melalui kehidupan demi kehidupan, sekali lagi Allah pertemukan saya dengan keluarga yang lain. Taaruf sudah pada minggu-minggu yang lepas. Ikatan yang terbina teruji dengan ketiadaan waktu lapang memandangkan saya dipertemukan dengan keluarga baru di Kelantan. Insya Allah esok saya akan kembali melepaskan rindu buat adik-adik yang saya sayang. Usrah yang dibina bersama-sama adik-adik tahun 1, sayalah kakak kepada mereka dan merekalah adik-adik kepada saya yang memerlukan sedikit panduan dan bimbingan untuk menyesuaikan diri di alam kampus yang serba mencabar ini. Iman yang lemah pasti mudah goyah dengan tipu daya dunia. Moga Allah kekalkan hidup dan mati kami sebagai hambaNya yang beriman dan bertaqwa kepadaNya.

    Usrah hari ini berjalan lancar walaupun tahap kesihatan saya tidak memberansangkan. Apa yang lebih menyeronokkan adalah ada 2 orang ahli baru yang ingin join usrah kami. Alhamdulillah. Adanya perasaan rindu dan sayang membuatkan saya  tidak sabar-sabar untuk bertemu mereka. Tidak sanggup untuk menangguhkan pertemuan hari ini kepada hari yang lain.

    Sayang ini
    Hadiah dariMu
    Istimewa buatku
    Sayang ini bukan untuk dipendamkan
    Tapi Engkau ajar kan ku
    Untuk meluahkan

    Sayang ini
    untuk insan yang dekat di hatiku
    Walau mungkin jauh di mata
    Walau mungkin jarang bersua
    Walau mungkin tidak seusia
    Walau mungkin tidak seiring cita-cita.

    Sayang ini
    Untuk insan-insan yang istimewa di hatiku
    Sayang ini untuk kamu dan dia
    Juga untuk mereka

    Kamu juga punya sayang
    Sebagaimana aku memiliki
    Kerna kita hamba Ilahi
    Yang sangat Dia kasihi

    Sayang ini
    Ingin ku tautkan
    Antara hatiku dengan hatimu
    Agar kasih kita berpadu
    Agar dengan sayang kau kenalkan aku dengan pencipta kita
    Agar dengan sayang aku kenalkan kau dengan pencipta kita
    Agar dengan sayang kita bertemu lagi
    di syurga Firdausi.

    Sayang ini
    Kau tetap akan miliki
    Tidak perlu berjual beli
    Tidak perlu merentasi lautan api
    Tidak perlu menagih simpati
    Tidak perlu menipu dan mencaci
    Cukuplah kamu mengenal Ilahi
    Cukuplah kamu patuh dan taat pada Ilahi
    Cukuplah kamu membalas sayang kepada pencipta sayang.

    Sayang ini
    Sangatlah berharga
    Mahal bagi insan yang tidak mengerti
    Melimpah bagi yang berhati.

    Sayang ini
    Jambatan buat kamu ke syurga
    Seperti hamba menyayangi Penciptanya
    Seperti umat menyayangi Nabi dan RasulNya
    Seperti ibu bapa menyayangi anak-anak dan sebaliknya
    Seperti suami menyayangi isteri dan sebaliknya
    Seperti sahabat mengasihi sahabat-sahabatnya
    Seperti mukmin mengasihi mukmin
    Seperti muslim mengasihi muslim
    Seperti manusia mengasihi manusia
    Seperti manusia mengasihi persekitarannya.

    Sayang ini untuk kita ke syurga..
    Dengan izin DIA pencipta sayang...

    Doaku agar kamu-kamu insan yang saya sayang, moga-moga kamu sentiasa bahagia. Bahagia dalam erti kata nilaian Allah pada manusia. Moga kamu-kamu terus kuat dan tabah menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Hidup ini ciptaan Allah. DIA mengenal dan tahu episod hidup kita. DIA mengerti pengakhiran cerita kita. Maka, susahnya perjalanan hidup ini tetap perlu untuk kita teruskan kerana itulah dinamakan kehidupan. Moga kita semua tergolong dalam golongan yang dijanjikan pengakhiran yang baik, syurga Allah yang berkekalan.

    ~Sayang itu tidak perlu ditagih daripada manusia, tetapi tagihlah sayang itu dari pemilik sayang, DIA punya sayang yang melimpah-limpah, hanya menunggu kita hambaNya meminta sayang dariNya.~

    "Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa menghendaki keuntungan di duniia Kami berikan sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan dapat bagian di akhirat."

    As-Syura : 20

    Wallahua'lam.

0 comments: