• Ilmu Tafsir

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


     Daripada Anas r.a berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa keluar mencari ilmu, maka ia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali."

    (Hadis Riwayat At Tarmizi)


    Alhamdulillah 'ala kulli hal, tengah hari tadi sempat saya meluangkan masa untuk mengadakan Quranic Circle bersama-sama adik-adik tahun 1. Mengikut perancangan, selepas solat terawih malam ni saya ingin mengadakan usrah bersama-sama adik-adik tahun 2, namun ketidaklapangan adik usrah saya menyebabkan usrah malam ini terpaksa di tunda, mungkin itu yang terbaik untuk kami, insya Allah.

    Saya seronok bersama mereka sama ada usrah mahupun Quranic Circle. Benda yang sama, cuma nama yang berbeza. Bersama mereka, saya mudah sekali untuk bermuhasabah diri, berkongsi banyak benda dengan mereka. Mereka sebaya adik-adik saya. Ilmu yang ada, saya kongsikan dan ilmu baru juga saya dapat. Moga ukhuwah yang terbina tidak terhenti di saat kami melafazkan lafaz perpisahan, tetapi biarlah ia tetap kekal hingga ke syurga.

    Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi tentang ilmu tafsir. Ilmu tafsir adalah sebahagian daripada pengajian al-Quran. Ia merupakan satu cabang ilmu yang bertujuan untuk menjelas dan menyingkapkan apa yang Allah kehendaki dari kalamNya yang terkandung di dalam al-Quran.

    Apa Kepentingan Ilmu Tafsir

    Ilmu tafsir adalah sangat penting untuk kita memahami makna lafaz-lafaz atau perkataan-perkataan yang diguna pakai di dalam al-Quran di mana ia menjelaskan pengertian ayat-ayat al-Quran, menjelaskan hukum-hukum dan pengajaran tentang suatu peristiwa.

    Cara Terbaik Dalam Mentafsir Al-Quran

    Para ulama telah bersepakat bahawa mentafsir al-Quran hendaklah melalui beberapa urutan.

    Urutan pertama:  Sesuatu ayat al-Quran boleh di tafsir menggunakan ayat al-Quran sendiri.

    Ini bermaksud, ada sesetengah ayat dalam surah tertentu tidak di jelaskan secara terperinci tentang ayat itu, namun di dalam surah yang lain, Allah telah menerangkannya dengan lebih terperinci. 

    Contohnya : Merujuk ayat al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 1 yang bermaksud :

    "Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah janji-janji. Haiwan ternak dihalalkan bagimu, kecuali yang akan disebutkan kepada mu, dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang ihram (haji dan umrah). Sesungguhnya Allah menetapkan hukum sesuai dengan yang Dia kehendaki."

    Dalam ayat ini, tidak dijelaskan secara terperinci tentang "kecuali yang disebut kepadamu". Allah telah menjelaskan maksud ayat ini dengan lebih terperinci dalam surah Al-An'am ayat 145 yang bermaksud

    "Katakanlah, tidak ku dapati di dalam apa yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan memakannya bagi yang ingin memakannya, kecuali daging haiwan yang mati (bangkai), darah yang mengalir, daging babi kerana semua itu kotor atau haiwan yang disembelih bukan atas nama Allah. Tetapi barang siapa terpaksa bukan kerana menginginkan dan tidak melebihi (batas darurat) maka sungguh, Tuhanmu maha pengampun maha penyayang."

    Contoh ke 2 :
    Dalam surah Al-Fatihah ayat 4 yang bermaksud :

    "Pemilik hari pembalasan."

    Kemudian, ayat ini diperincikan lagi dalam surah Al-Infitar ayat 17-19 yang bermaksud:

    "Dan tahukah kamu apakah hari pembalasan itu? Sekali lagi, tahukah kamu apakah hari pembalasan itu? Iaitu pada hari ketika seseorang sama sekali tidak berdaya (menolong) orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah."

    Ayat al-Quran saling kait-mengait. Sebab itu lah, adalah penting bagi mufasir (orang yang mentafsir al-Quran) untuk memahami keseluruhan ayat-ayat al-Quran, mengetahui asbab nuzulnya sesuatu ayat-ayat al-Quran kerana Allah telah menurunkan ayat-ayat al-Quran melalui jibrail kepada Rasulullah berdasarkan peristiwa yang sedang berlaku ketika itu.

    Urutan kedua : Mufasir hendaklah berusaha mentafsirkan al-Quran merujuk kepada hadis-hadis nabi s.a.w.

    Tujuan sunnah sendiri adalah untuk menerang, mentafsir dan menjelaskan ayat-ayat al-Quran.

    Contohnya dalam surah Al-Baqarah ayat 3:

    "iaitu mereka yang beriman kepada perkara ghaib, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka."

    Lalu, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan bagaimana cara solat yang dikehendaki Allah melalui sabda Rasulullah s.a.w

    "Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku solat."

    Sahih Bukhari no 744

    Urutan yang ketiga : Seorang mufasir hendaklah berusaha mentafsirkan al-Quran dengan merujuk tafsiran-tafsiran yang sahih yang di buat oleh para sahabat Nabi s.a.w. 

    Antara sebabnya adalah golongan para sahabat ini telah hidup bersama-sama di zaman Rasulullah s.a.w lagi iaitu pada zaman penurunan al-Quran. Mereka merupakan golongan yang terlibat dan menyaksikan peristiwa penurunan al-Quran. Maka, mereka lebih memahami jika dibandingkan umat Islam selepas mereka. Antara golongan ulama' utama iaitu 4 khalifah Islam iaitu (Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, Saiyidina Umar Al-Khattab, Saiyidina Uthman bin Affan dan Saiyidina Ali), Ibnu Abbas dan Ibnu Mas'ud. Pengetahuan agama yang mereka miliki adalah hasil didikan dan pembelajaran secara langsung yang diterima dari Rasulullah s.a.w.

    Urutan ke empat : Seorang mufasir perlu merujuk penafsiran al-Quran yang dibuat oleh ulama'-ulama' tabiin. 

     Ini adalah kerana mereka merupakan anak didik dan pengikut setia sahabat Rasulullah s.a.w dan telah memperoleh ilmu tafsir daripada para sahabat. Maka, ilmu tafsir mereka menduduki tempat yang tinggi. Antara tokoh-tokoh mufasir dari kalangan tabiin adalah Mujahid bin Jabr, Sa'id bin Jubayr, Ikrimah, Ata' bin Abi Rabah, Hasan Al-Basri Sa'id bin Musayyab dan Qatadah.

    Urutan ke lima : menggunakan pendekatan tafsir al-Quran bi al-ra'y, iaitu mentafsirkan al-Quran secara ijtihad dan penggunaan aqal.

    Syarat-Syarat Seorang Mufasir

    1. Mempunyai aqidah yang betul dan sahih
    2. Jiwanya tidak dikuasai oleh hawa nafsu
    3. Memiliki ilmu yang cukup mengenai ulum al-Quran
    4. Memiliki ilmu yang mendalam mengenai ilmu hadis-hadis Nabi s.a.w
    5. Memiliki ilmu yang mendalam mengenai Usul al-Din iaitu tauhid berasaskan kefahaman ahli Sunnah wal Jamaah.
    6. Memiliki ilmu usul Fiqh yang mencukupi.
    7. Memiliki ilmu bahasa Arab dengan segala cabang-cabangnya.

    Sabda Rasulullah s.a.w

    " Orang yang paling menyesal di hari kiamat adalah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi dia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan dia sendiri tidak mendapat apa-apa."

    Wallahua'lam.

2 comments:

  1. Anonymous said...

    SALAM

    ALHAMDULILLAH..
    TERBAIK UZTAZAH ZAHIRAH...
    KERNA MENERANGKAN ILMU YANG SEDANG ANA MENCARI DAN MENGKAJI..

    AWALNYA, TADABBUR... SUNGGUH HEBAT SUSUNAN DAN MAKSUD ALQURAN - STAGE BERIKUTNYA- TAFSIR DAN ASBABUL NUZUL..

    SYUKRAN JAZILAN

    IBN KHALID

  2. Wslm..
    Amin, amin..
    Awk tgh ingt zahirah ke atau tgh mimpi zahirah ke atau ape..Ok, name sy da tkr jd zahirah rupenye..

    Awk tgh bocorkan rahsia ke kt sini..haha..

    ok, afwan, insya Allah kalau ade kesempatan, sy smbung lg scr trperinci.. =)