• Amalan Ijtihad 2

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : "Apabila mati seorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali yang datang dari 3 sumber iaitu pertama sedekah jariah, kedua ilmu yang memberi manfaat dan ke tiga anak yang soleh yang mendoakan baginya."

    (Hadis riwayat Muslim)


    Amalan Ijtihad : Sejarah Dan Perkembangan Ijtihad

    Alhamdulillah, Allah telah memberi kemudahan dan kelapangan untuk saya mengikuti kuliah kedua untuk modul Amalan Ijtihad. Ingin saya berkongsi dengan sahabat-sahabat sedikit ilmu yang saya perolehi semalam, moga-moga memberi manfaat untuk diri sendiri dan insya Allah untuk sahabat-sahabat juga.

    Ijtihad juga melalui fasa sejarahnya yang tersendiri. Ia bermula pada zaman Rasulullah s.a.w lagi dan diteruskan sehingga ke zaman-zaman berikutnya. Namun begitu, ijtihad pernah mengalami zaman kejatuhan apabila umat Islam khususnya para ulama' suatu ketika itu lebih gemar berpegang kepada tinggalan-tinggalan kajian hukum yang dijalankan oleh para ulama' sebelumnya. Namun, ijtihad semakin disedari kepentingannya dan sudah mula diusahakan untuk meneruskan kegemilangan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku pada umat Islam.

    Ijtihad Di Zaman Rasulullah s.a.w

    Ijtihad pada zaman Rasulullah s.a.w tidak kira sama ada daripada Rasul sendiri ataupun di lakukan oleh sahabat, semuanya akan dirujuk kepada wahyu. Ini bermakna seandainya ijtihad itu betul, maka ia akan direstui oleh wahyu yang diturunkan dan jika sebaliknya ia akan diperbetulkan oleh wahyu juga.

    Antara contoh peristiwa Rasulullah s.a.w pernah berijtihad adalah ketika kes tawanan perang badar ( rujuk entry amalan ijtihad), kes keuzuran menyertai perang Tabuk (rujuk entry sedutan peristiwa Tabuk) dan peristiwa Rasulullah s.a.w menyembahyangkan jenazah Abdullah bin Ubai.

    Sebagai salah satu contoh daripada Ibnu Umar r.a berkata:

    Diceritakan bahawa Abdullah bin Ubai merupakan seorang yang munafiq namun kemunafikannya tidak terserlah memandangkan beliau merupakan golongan yang sentiasa bersama-sama Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat, hatta Abdullah bin Ubai seringkali melakukan solat di belakang Rasulullah s.a.w.

    Apabila berlaku kematian Abdullah bin Ubai, lalu anaknya telah menemui Rasulullah s.a.w dan meminta pakaian Rasulullah s.a.w untuk mengkafankan jenazah ayahnya. Lalu Rasulullah s.a.w memenuhi permintaan tersebut. Kemudian beliau meminta Rasulullah s.a.w menyembahyang jenazah ayahnya lalu Rasulullah s.a.w pun berdiri untuk memenuhi permintaan itu.

    Umar berdiri sambil menarik baju Rasulullah s.a.w sambil berkata : Wahai Rasulullah, adakah kamu ingin menyembahyanginya, tidakkah Allah melarang daripada berbuat begitu? Abdullah itu orang munafiq.

    Rasulullah tetap meyembahyangi jenazah tersebut. Pada ketika ini, Rasulullah berijtihad untuk menyembahyang mayat beliau untuk mengelakkan tanda tanya di kalangan sahabat-sahabat dan mengelakkan permusuhan memandangkan anak Abdullah bin Ubai juga merupakan di kalangan sahabat Rasulullah. Lalu Allah menegur Rasulullah s.a.w dalam surah Al-Taubah ayat 84 yang bermaksud

    "Dan janganlah engkau (Muhammad) melaksanakan solat untuk seseorang yang mati di antara mereka (orang-orang munafiq), selama-lamanya dan janganlah engkau berdiri (mendoakan) di atas kuburnya. Sesungguhnya mereka ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik."

    Lalu selepas itu, Rasulullah tidak lagi melakukannya.

    Ijtihad Di Zaman Sahabat R.A

    1. Berdasarkan Al-Quran

    Dalam menjalankan kajian hukum, para sahabat mempunyai kaedah dan cara yang teratur. Apabila sesuatu masalah baru timbul, para sahabat akan merujuk perkara tersebut di dalam al-Quran. Sekiranya mereka menemui penyelesaian hukum yang jelas melalui nas, maka mereka akan berpegang dengan hukum yang disebut di dalam nas tersebut tanpa merujuk kepada sumber yang lain.

    Sebaliknya, sekiranya mereka sukar memahami atau berlaku perselisihan pendapat mengenai nas tersebut di kalangan sahabat, maka mereka akan berusaha mencari nas lain yang membantu untuk memahami nas tersebut. Sebagai contoh:

    Ketika zaman pemerintahan Saiyidina Umar Al-Khattab, berlaku perselisihan pendapat di kalangan para sahabat tentang kes tanah pertanian yang di tawan di Iraq. Tanah ini sangat subur untuk pertanian dan meliputi kawasan yang sangat luas iaitu merangkumi Iraq, Mesir dan Syam.

    Sebahagian sahabat berpendapat bahawa rampasan itu seharusnya di bahagikan mengikut kaedah biasa bagi harta Ghanimah. Harta Ghanimah adalam harta hasil daripada rampasan perang, contoh seperti kuda-kuda, unta-unta, baju besi dan pedang. Para sahabat berpendapat Umar telah membezakan cara penyelesaian masalah yang pernah di selesaikan oleh Rasulullah ketika Perang Khaibar.

    Sekiranya mengikut pembahagian harta Ghanimah, sebanyak 1/5 akan di infaqkan kepada keluarga Rasul, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang musafir atau lebih mudah dikenali sebagai infaq kepada Baitul Mal. Dan selebihnya iaitu 4/5 akan dibahagikan kepada tentera yang berjuang.

    "Dan ketahuilah, sesungguhnya segala yang kamu peroleh sebagai rampasan perang maka seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat rasul, anak yatim, orang miskin dan ibnu Sabil (orang yang sedang dalam perjalanan), demikian jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqan, iatu pada hari bertemunya dua pasukan. Allah maha kuasa atas segala sesuatu."

    Al-Anfal : 41

    Namun, Saiyidina Umar Al-Khattab tidak berpendapat begitu. Beliau berpendapat, tanah rampasan perang Khaibar adalah kecil dan Rasulullah s.a.w membuat keputusan mengagihkan kepada orang-orang muslim sesuai dengan kemaslahatan (kebaikan) pada ketika itu. Bagi tanah rampasan di Iraq ini, tanahnya meliputi kawasan yang luas dan kemaslahatan pada ketika zamannya adalah untuk pembangunan negara, bukan untuk kekayaan individual semata-mata.

    Saiyidina Umar Al-Khattab juga berpendapat terdapat nas yang lebih kuat menyokong tentang harta rampasan perang ini yang merujuk  kepada surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud :

    " Harta rampasan fai' yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (yang berasal) dari penduduk beberapa buah negeri adalah untuk Allah, Rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan untuk orang-orang yang dalam perjalanan, agar harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang yang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan rasul kepada mu maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya maka tinggakanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sungguh Allah sangat keras hukumanNya."

    Beliau menyatakan bahawa tanah-tanah yang dirampas tersebut tidak termasuk dalam pengertian Ghanimah kerana tanah bersifat tetap. Ia dikategorikan sebagai harta rampasan fai'. Menurut beliau, sekiranya harta tetap dibahagikan mengikut kaedah biasa, negara akan kehilangan banyak sumber hasil. Beliau berpendapat, tanah rampasan tersebut perlu dibekukan untuk kegunaan negara pada masa hadapan. Untuk pembangunan negara, dana yang besar amatlah diperlukan.

    Beliau menyatakan bahawa tanah-tanah ini perlu di kekalkan kepada pemilik tetap iaitu orang kafir Zimmi (Orang kafir yang tunduk kepada pemerintahan Islam). Dengan berbuat demikian, negara akan memperoleh pendapatan hasil daripada cukai jizyah (cukai kepala) dan juga cukai kharaj (cukai pertanian) daripada orang kafir Zimmi.

    Selain itu, pemilik tetap ini memahami dan mengetahui bagaimana menghasilkan hasil yang produktif daripada tanah ini. Sekiranya tanah ini di bahagi kan kepada tentera-tentera yang berjuang, boleh jadi tanah ini sudah tidak produktif di sebabkan pengetahuan dan pengalaman yang kurang bagaimana mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan penghasilannya. Boleh jadi tanah yang subur ini akan terbiar begitu sahaja tanpa di usahakan.

    Apabila mendengar hujah Saiyidina Umar Al-Khattab, lalu para sahabat dan pejuang-pejuang Islam menerima pandangan yang telah dikemukakannya. Daripada peristiwa ini, jelas sekali menunjukkan kebijaksanaan dan kewibawaan Saiyidina Umar Al-Khattab dalam menguruskan negara.

    2. Berdasarkan As-Sunnah

    Urutan seterusnya adalah para sahabat akan merujuk pula kepada As-Sunnah. Dalam merujuk kepada Al-Sunnah, khalifah biasanya akan bertanya kepada para sahabat sama ada mereka pernah mengetahui atau mendengar penyelesaian hukum melalui hadis Rasulullah s.a.w.

    Sekiranya terdapat hadis mengenai hukum dan ia diriwayatkan secara tepat oleh para sahabat, maka ia akan diterima sebagai penyelesaian hukum. Namun, para sahabat sangatlah teliti dalam memilih hadis untuk menentukan kesahihan hadis. Hadis terbahagi kepada 2 iaitu Mutawattir dan Ahad. Mutawattir adalah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah besar para sahabat manakala hadis Ahad adalah hadis yang diriwayatkan oleh sekelompok kecil sahaja sahabat-sahabat.

    Kita mesti ingat bahawa dalam penerimaan hadis atau sunnah Rasulullah s.a.w, tidak semua sahabat memiliki bilangan hadis yang sama banyak. Hadis yang disampaikan oleh Rasulullah berdasarkan peristiwa-peristiwa. Maka boleh jadi diketika itu ada sesetengah sahabat ada bersama Rasulullah, ada sesetengahnya tidak bersama Rasulullah s.a.w.

    Sebagai contoh, ketika zaman pemerintahan Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, seorang nenek yang telah kematian seorang cucu lelaki telah datang bertemu Saiyidina Abu Bakar. Beliau datang untuk menuntut bahagiannya dari harta pusaka cucu lelakinya yang telah kematian ibu. 

    Lalu Saiyidina Abu Bakar menyatakan bahawa beliau tidak pernah menemukan apa-apa nas al-Quran yang menyatakan hukum yang berkenaan. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Saiyidina Abu Bakar mengumpul para sahabat lalu bertanya kepada mereka seandainya mereka pernah mendengar hukum tersebut daripada Rasulullah s.a.w.

    Lalu Al-Mughirah Ibn Syu'bah menyatakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w memperuntukkan 1/6 dari harta pusaka bagi kes tersebut. Oleh kerana sikap Saiyidina Abu Bakar sangat berhati-hati dalam penerimaan suatu hadis, maka beliau meminta Ibn Syu'bah mendatangkan saksi atas apa yang diucapkan itu. Lalu bangun sahabat lain menyatakan bahawa beliau pernah mendengar perkara yang sama dari Rasulullah s.a.w.

    Dengan itu, Saiyidina Abu Bakar lalu berhukum dengan apa yang telah dijelaskan tadi. Ini menunjukkan As Sunnah merupakan rujukan kedua sekiranya penyelesaian hukum tidak ditemui di dalam al-Quran. Hadis ini dikenali sebagai hadis Ahad kerana hanya segelintir kecil sahabat yang boleh memastikan kesahihan hadis ini.

    3. Berdasarkan Ijtihad Sahabat

    Seterusnya sekiranya para sahabat tidak menemui apa-apa penyelesaian hukum daripada kedua-dua Al-Quran dan As Sunnah, maka barulah sahabat-sahabat berijtihad. Para sahabat akan berkumpul dan berbincang mencari penyelesaian hukum dan ia dikenali sebagai Syura Al-Sahabah. Ijtihad syura inilah yang dikenali sebagai ijma'.

    Kemudian, ijtihad bersambung lagi kepada zaman tabiin dan tabi' tabiin. Insya Allah saya akan sambung pada entry akan datang secara lebih terperinci di mana kecenderungan untuk pemalsuan hadis semakin berleluasa dengan timbulnya golongan serpihan iaitu golongan Syiah dan Khawarij.

    Moga-moga dengan sedikit perkongsian, dapat memberi manfaat kepada kita semua insya Allah. Seronok sebenarnya setiap kali menghadiri kuliah ini. Bila dihitung, sudah 3 bulan lebih saya mengikuti pengajian syariah ini dan kelas 1 bakal berakhir di akhir bulan 9 nanti dengan peperiksaan.

    Apa yang menyeronokkan adalah, apabila setiap kali utaz/ustazah bercerita tentang sirah nabi dan peristiwa yang ada sesetengahnya pernah saya dengar dan ada juga yang tidak. Saya merasakan saya seperti anak kecil yang sedang mendengar ibu dan ayah saya bercerita. Kalaulah Allah memberi kelapangan kepada saya dan ustaz/ustazah, 2/3 hari mendengar kuliah tanpa henti pun saya boleh memberi 100% tumpuan. Alhamdulillah, saya dapat menikmati nikmat seronoknya menimba ilmu itu. =)

    Untuk makluman sahabat, intake kali ke 2 pada tahun ini sudah di buka dan mana-mana sahabat yang ingin memohon, sila hantar borang permohonan sebelum 1 Oktober 2010. Sahabat boleh memilih untuk mengambil Pengajian Syariah mahupun Pengajian Usuluddin. Kedua-duanya mempunyai 3 peringkat atau kelas iaitu bermaksud Pengajian Syariah kelas 1, 2 dan 3. Begitu juga Pengajian Usuluddin. Dalam setiap kelas ada 4 modul. Contohnya pengajian Syariah 1 terdiri daripada 4 modul iaitu Pengantar kepada Syariah Islam, Pengajian Al-Quran, Pengajian As Sunnah dan Amalan Ijtihad.

    Untuk pemilihan kursus dan kelas, bergantung kepada sahabat-sahabat. Andainya sahabat-sahabat belum pernah mengambil mana-mana pengajian tetapi berminat untuk mengambilnya pada intake kali ini, kamu boleh memilih mana-mana kelas yang kamu suka, contoh nya kamu boleh terus memohon untuk pengajian syariah kelas 3. Tiada kesalahan walaupun tidak pernah mengambil pengajian syariah kelas 1 dan 2. Tapi seelok-eloknya biarlah belajar mengikut turutan kelas 1, 2 dan 3 supaya mudah memahami kuliah-kulian yang di jalankan nanti.

    Untuk kali ini, saya sedang mengikuti Pengajian Syariah 1 dan insya Allah akan meneruskan pengajian syariah kelas 2 pada intake kali ke 2 nati. Saya pernah berazam untuk menyambung pengajian dalam bidang pengajian Islam lalu saya pernah merangka untuk menyambungnya selepas mendapat ijazah Doktor Pergigian. Alhamdulillah, kasih sayang Allah itu melimpah-limpah, DIA memberi nikmat kepada saya lebih daripada itu, memberi peluang untuk saya belajar pengajian agama Islam sebelum saya grad lagi. Alhamdulillah. 

    Akhir bulan 9 nanti, saya akan mengambil peperiksaan untuk pengajian syariah. Moga boleh membuat yang terbaik, moga ilmu yang di pelajari bermanfaat untuk diri sendiri dan semua, bukan sekadar untuk peperiksaan.

    Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : "Barangsiapa di tanya tentang suatu ilmu lalu ia menyembunyikannya, maka ia akan di kekang pada hari kiamat nanti dengan kekang api neraka."

    (Hadis riwayat Abu Daud, At-Tarmizi)

    Wallahua'lam.

0 comments: