• Segalanya Milik Allah

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah) Ku dan beriman kepada Ku, agar mereka memperolehi kebenaran."

    (Quran, Al-Baqarah : 186)


    Pada suatu hari, seorang lelaki mendatangi seorang sahabat yang bernama Abdullah ibnu Mas'ud.
    "Wahai Ibnu Mas'ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang."

    Lalu Abdullah Ibnu Mas'ud menjawab,
    "Bawalah hatimu mengunjungi 3 tempat. Pertama, ke tempat orang membaca al-Quran, tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Yang kedua, kamu menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan kamu kepada Allah. Ketiga, kamu mencari suatu waktu yang sunyi, seperti di waktu malam, bangunlah melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepadaNya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati. Jika selepas melakukan kesemua itu jiwamu masih tidak tenteram, mintalah daripada Allah agar digantikan hatimu dengan yang lain kerana yang kamu miliki itu bukanlah hatimu."

    Setelah mendengar nasihat Abdullah Ibu Mas'ud, lelaki itu pun kembali ke rumahnya. Beliau terus berwudhu' dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, dia mendapati jiwanya berubah menjadi tenang, fikirannya jernih dan gelisahannya hilang sama sekali.

    Kiranya kadang-kadang
    Dalam usahamu mengharungi kehidupan ini
    Kau diuji dengan sekecil-kecil dugaan
    Tertusuk duri hinggalah dihimpit
    Juga musibah-musibah yang besar
    Ingatlah
    Sesungguhnya semuanya datang dari Allah
    Dan tidak Dia jadikannya dengan sia-sia
    Inilah ujian, mehnah dan perhatian
    Tanda kasih Allah
    Untuk mengingatkan iman
    Dan penghapus dosa-dosa

    Kiranya kadang-kadang didatangi tuah
    Hidupmu meraih nikmat
    Katakanlah
    Segala puji dan syukur ke hadrat Allah
    Di atas kurniaan semua yang kau nikmati
    Dengan belas rahmat Ilahi
    Segalanya datang dari Allah
    Dia Maha Kuasa memberi anugerah
    Dan menariknya kembali

    Apapun takdir yang datang
    Kembalikanlah penghargaan dan pengharapanmu kepada Allah.

    Ya Allah, andainya ada satu waktu atau sedetik di mana aku benar-benar merasakan keindahan iman, di mana aku benar-benar ikhlas, di mana aku benar-benar merasakan keagunganMu, maka Engkau matikanlah aku di saat itu Ya Allah agar aku bisa meraih semulia-mulia kematian. Kematian di saat aku cinta padaMu..

    "Bukankah Dia (Allah) yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (pemimpin) di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Sedikit sekali (nikmat Allah) yang kamu ingat."

    (Quran, Al-Naml : 62)

    p/s : Moga kita semua sentiasa dalam lindungan kasih sayang Allah, sentiasa tabah mengharungi dugaan hidup kerana Allah. Ameen.

0 comments: