• Andai Tangisan Itu Ada

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

     
    "Sebenarnya barang siapa menepati janji dan bertaqwa, maka sungguh Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa."

    (Quran, Ali'Imran : 76)


    Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan untuk bersama-sama teman seperjuangan meluangkan masa berjalan-jalan sekitar Shah Alam. Hari ini pula, alhamdulillah, saya berkesempatan bersama-sama sahabat-sahabat berkelah merapatkan ukhuwah yang sedia terjalin. Kedua-duanya adalah kerana ingin mengisi sisa-sisa masa bersama, yang ada sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

    Jauh disudut hati, terasa sayu dan sedih dengan perpisahan yang bakal berlaku. Namun hati ini terlalu tegar dan keras untuk meluahkan, mata ini terlalu lokek untuk merembeskan air mata, bibir ini terlalu berat menuturkan kata-kata perpisahan yang menyentuh rasa.

    Andai tangisan itu ada, telah ku alirkan di saat perpisahan aku bersama-sama teman-teman ku ketika di zaman sekolah rendah dahulu, disaat masing-masing ingin pergi melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah sama ada sekolah menengah harian mahupun asrama penuh. Namun, mataku terlalu lokek memberikannya di saat itu.

    Andai tangisan itu ada, telah ku alirkan di saat perpisahan ku bersama teman-teman ku dikala aku ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah atas di sekolah berasrama penuh. Hati ini terlalu tegar untuk mengarahkan mataku mengalirkan air mata. Hati ini terlalu keras walaupun di hadapan ku, teman-teman dan guru-guru menitiskan air mata atas pemergian ku.

    Andai tangisan itu ada, telah ku alirkan di saat perpisahan yang berlaku di saat aku menghabiskan sisa waktu di zaman sekolah menengahku. Di saat keputusan SPM diumumkan, di saat masing-masing membawa haluan menurut cita-cita masing-masing, mengorak langkah ke menara gading sama ada di dalam negara mahu pun luar negara. Namun hati ku terlalu memandang enteng pada tangisan.

    Andai tangisan itu ada, aku juga akan alirkan air mata ini di saat terpisah dengan teman di zaman matrikulasi, namun aku masih tetap sama, seperti dulu.

    Andai tangisan itu ada, telah ku kerahkan air mataku untuk menangisi perpisahan kali ini, perpisahan bersama-sama sahabat seperjuangan, juga teman-teman satu cita-cita. Namun, air mata ini terlalu ego untuk melihatkan wajahnya.

    Air mataku terlalu tegar untuk dirembeskan di hadapan manusia. Walau sedih sekali pun, aku jarang sekali mengakhirinya dengan air mata. Kadang-kadang aku dilihat sebagai perempuan yang terlalu angkuh untuk menangisi perpisahan. Bukan sekali pernah sahabat dan teman mengatakan hatiku seperti batu yang tidak langsung tersentuh. Aku turut mengakuinya. 

    Namun, di sebaliknya, air mata ini terlalu mudah untuk mengalir di saat aku bersama Allah, di saat hanya DIA di sisiku, yang mendengar rintihanku, yang memahamiku. Kadang-kadang air mata ini mengalir sendiri, di saat aku belum lagi merintih kerana aku yakin dan mengerti Allah memahami siapa aku.

    Sahabat dan teman,
    Usah dikesali andainya aku tidak menangisi sebuah perpisahan. Bukan bermakna aku tidak sayang, namun aku lebih kesian melihat dirimu yang menangis. Andai kedua-duanya menangis, siapa pula yang ingin memujuk? 

    Jangan dikesali andai aku tidak pandai untuk meluahkan sayang ku padamu, kerana kalau kamu mengetahui, aku sering mendoakan moga Tuhan kita mengampunkan dosa kita. Itulah nilai sayangku padamu. Kerana itu aku redha kita berpisah di dunia, namun aku tidak redha andai kita berpisah di akhirat. Bukankah matlamat kita sama?? Aku membayangkan kita bertemu di syurga Allah kelak.

    Sahabat dan teman,
    Usah dibimbangi sama ada aku melupakan mu atau tidak, kerana setiap yang pernah datang dalam hidupku, jarang sekali Allah biarkan aku lupa. Andai sayang pernah disemai di hati, ia tak mungkin akan dicantas pergi sesuka hati, ia akan tetap bertakhta di hati sehingga mati, insya Allah. Moga-moga kamu tidak bersedih hati.

    "Dan orang-orang yang beriman serta mengerjakan kebajikan, Kami tidak akan membebaninya seseorang melainkan menurut kesanggupannya. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya."

    (Al-Quran, Al-A'raf : 42)

    Wallahua'lam.

    p/s : Da lama tak menulis, kaku pun ada. Moga sahabat-sahabat, teman-teman pembaca sentiasa dalam rahmat Allah. =)

2 comments:

  1. me said...

    aaminn....
    smoga kita sume sntiasa dlm rahmat Allah....syg akak!

  2. ameen..syg awk gak.. =)
    tp ME ni sape?? haha..boleh plak syg tp xtau sape..atim ke??