Assalamu'alaikum wbt
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
"Demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya."
(Quran, Surah Al-Syams : 7-10)
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui, Maha Memahami, Maha Mendengar, Maha Menentukan yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Alhamdulillah, hujung minggu ini, sempat saya meluangkan masa, menghadiri 4 program, agak penat sebenarnya memandangkan saya juga ingin menumpu lebih perhatian pada pelajaran kerana peperiksaan sudah semakin hampir. Namun, atas desakan hati yang terlalu kosong dengan tarbiyyah, saya kuat kan juga untuk menghadiri program-program.
Alhamdulillah, kali pertama pergi program seperti semalam. Terasa gerun juga, sekali lagi, permulaan yang baru dan baik untuk saya untuk mengenali realiti di luar. Mendengar bait kata-kata orang-orang yang terlalu baru pada pandangan saya, menyebabkan saya banyak berfikir akan kebenaran kata-katanya yang terlontar. Kurniaan aqal oleh Allah bukanlah sia-sia, namun tidak bermakna apa yang saya tidak ketahui itu adalah sesuatu perkara yang salah, cuma saya tertanya-tanya akan kebenaran. Otak terus ligat berfikir menyebabkan saya teruja mencari dan mendalami. Alhamdulillah, insya Allah itu suatu usaha yang baik ke arah membuka minda menghadapi mehnah dan tribulasi di luar sana. Bersediakah saya??
Hari ini, saya juga berkesempatan menghadiri 2 program. Sebelum ke tempat program, saya sempat membaca buku "Bahtera Penyelamat" oleh Fathi Yakan. Buku ini sudah kerap kali saya ulang dan ulang, Setiap kali mengulanginya, terasa seperti terkena tikaman yang sangat tajam. Kata pepatah, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedas. Hmm, amat sesuai kata-kata tersebut untuk saya.
Terkesan dengan pengisian yang cukup bermakna pada petang tadi. Sekali lagi seolah-olah terkena 25 tikaman pada masa itu sahaja. Modul yang menarik apabila semua di minta menyenaraikan 26 perkara tersebut.
1. Riak dan 'ujub
2. Mengumpat
3. Takabbur (Bangga diri)
4. Hasad dengki
5. Al-Wahnu - Cinta dunia
6. Tak Tepati masa
7. Tak tepati janji
8. Selekah (Tak kemas)
9. Pemalas
10. Pentingkan diri sendiri
11. Kedekut
12. Memandang rendah orang lain
13. Suka ikut kepala sendiri / Terasa diri betul
14. Tidak amanah
15. Mulut celupar
16. Membelakangkan ibu bapa
17. Suka merungut
18. Banyak bercakap dari bertindak
19. Tak jujur
20. Tak bersyukur
21. Tak sabar
22. Tamak
23.Banyak main game
24. Banyak makan
25. Banyak tidur
26. Kurang menjaga kesihatan fizikal, mental dan rohani
Selepas menyenaraikan ke semua, cari tempat yang lapang dan bersendirian, sila pangkah mana satu yang tidak pernah anda lakukan/rasai.
Maka, satu persatu saya baca, saya tak dapat nak pangkah mana-mana pun kecuali nombor 23 kerana saya tak minat main game. Yang lain, astaghfirullah. Terasa diri terlalu buruk di hadapan Allah, terasa diri terlalu hina di sisi Allah. Istighfar, rupanya saya terlalu jauh dengan Allah, namun sebab kasihnya Allah pada saya, DIA lah yang membawa saya ke situ dan membenarkan saya melalui modul itu. Muhasabah, refleksi diri.
Dalam bersuka-suka, kadang kala, kita terlupa untuk sentiasa muhasabah diri kita, menginsafi setiap apa yang dilakukan. Menghitung dosa secara rawak selalunya kita merasakan tidak banyak kesalahan kita, namun andai di renung setiap detik masa yang berlalu yang telah kita gunakan, berapa banyak yang boleh kita banggakan untuk melayakkan kita berada di sisi Yang Maha Mulia.
"Dan aku tidak mengatakan aku bebas (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Quran, surah Yusuf : 53)
Wallahua'lam.
p/s : Syukran buat K intan, dan sahabat-sahabat sekalian.Akhir-akhir ini, saya sudah tidak kenal siapa saya.
0 comments:
Post a Comment