• Solat Kita Bagaimana?

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    Saya mulakan baris ayat saya dengan wasiat Abu Ubaidah Al-Jarrah sebelum beliau meninggal dunia.

    "Saya berwasiat kepada kamu semua, sekiranya wasiat ini kamu terima dan laksanakan, kamu tidak akan sesat dari jalan yang baik dan sentiasa berada dalam keadaan bahagia. Tetaplah mengerjakan solat. Laksanakanlah ibadah puasa bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat. Kerjakanlah haji dan umrah. Hendaklah kamu saling memberi nasihat antara satu dengan yang lain. Nasihatlah para pemimpin kamu, jangan biarkan mereka tersesat dan janganlah kamu tergoda dengan dunia. Walau seseorang itu usianya seribu tahun namun akhirnya dia bertemu kematian seperti yang kamu saksikan pada diriku ini.

    Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah yang Maha Sempurna, menghidupkan dan mematikan hamba-hamba-Nya. Alhamdulillah syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih mengurniakan kesihatan yang sempurna kepada diri ini dan keluarga, kekuatan iman yang masih mampu mengawal diri atas kehendak Allah yang Maha Pengasih, Maha Memahami hamba-hamba-Nya.

    Ku doakan sahabat-sahabatku jua sihat-sihat dan sabar. Kadang-kadang, saya tertanya-tanya apakah yang ada di minda dan di hati sahabat-sahabat saya. Moga-moga segala-galanya mudah apabila kita sentiasa bersama Allah. Hari ini sedaya-upaya untuk melakar lagi di sini, azam selalu ku pahat agar saya selalu dapat berkongsi sesuatu dengan sahabat sekalian walaupun sebenarnya payah amat untuk saya lakukan. Seringkali hanya sempat melakar di kepala, menyusun-nyusun ayat namun tidak terlakar di Taman Syurga ini. Hmmm

    Wah, ramai kan yang sedang melangsungkan hari-hari yang amat membahagiakan. Kalian mesti menerima banyak jemputan sebagaimana saya. Tahniah teman-teman dan sahabat-sahabat.

    Sahabat, hari ini saya ingin berkongsi pasal solat. Sejak menghabiskan buku 'Abu Ubaidah penakluk Parsi', saya dapat merasakan betapa solat yang sempurna itu mampu mengubah segala-galanya atas kehendak Allah. Saya mula refleksi diri saya, tentang sempurnakah solat saya? Bagaimana tahap khusyuknya solat saya. 

    Sahabat, Rasulullah dan para sahabat, solat mereka amat sempurna, mereka dapat berhubung dengan Allah lalu dengan itulah mereka jatuh cinta pada Allah, mereka amat enak bertemu dengan Allah ketika mereka solat, kerana dengan itulah mereka yakin dengan Allah dalam apa jua keadaan. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Allah, cukup sensitif dan peka dengan Allah. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Allah.

    Sahabat, mereka adalah golongan yang sangat cinta dan takut kepada Allah, dalam hidup mereka, Allah lah yang menjadi perkara utama. Allah lah yang bertakhta di hati-hati mereka. Bila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka. 

    Sahabat, siapa pula kita?? Siapa Allah di hati kita?

    Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sembahyang adalah penyejuk mataku. " Baginda juga pernah menyuruh Bilal untuk azan dengan berkata: "Wahai Bilal, berilah kerehatan kepada kita semua!"

    Sayidina Ali lantaran khusyuknya di dalam solat, tidak terasa apa-apa ketika dicabut anak panah dari betisnya.

    Solat menjadikan mereka, hamba Allah yang hebat. Lihatlah perjuangan mereka.

    Ketika Abu Ubaidah Al-Jarrah berjuang menakluk Syam, Syria, Palestin dan Iraq yang pada ketika itu di kuasai oleh pemerintahan kerajaan Rom, Raja Kaisar Herculis, pelbagai cabaran yang terpaksa di tempuhi memandangkan jumlah tentera Islam terlalu sedikit di bandingkan dengan tentera Rom. 

    Ketika cuba menawan Kota Baisan, jumlah tentera Rom yang terlalu ramai menyukarkan tentera Islam lalu diarahkan orangnya untuk mendapatkan bantuan dari tentera Yazid di kota Damsyik. 

    Ketika cuba menawan kota Hims yang pada ketika itu adalah musim sejuk, tenteta Islam hanya berbaju nipis dan berselipar. Mereka menderita kesejukan dan keadaan amat parah apabila tiba waktu malam, mereka hanya berunggun api memanaskan badan. Ramai di antara mereka yang kekejangan otot akibat kesejukan. Ia nya berlangsung sebulan lamanya. Lalu Ubaidah Al-Jarrah meminta bantuan dari kota Balbek bagi menghantar makanan, selimut dan tentera.

     Ketika dalam usaha menakluki kota Ilia pintu utama bagi memasuki Al-Quds, tentera Islam makin bertambah apabila Abu Ubaidah meminta bantuan dari Madinah.

    Ketika Mekah dan Madinah di landa kemarau yang berpanjangan sehingga setiap hari ada sahaja yang meninggal dunia, lalu Khalifah Umar Al-Khattab menghantar utusan ke Syam meminta bantuan bekalan dari Abu Ubaidah Al-Jarrah serta daripada Yazid di Damsyik lalu tanpa berlengah masa, Abu Ubaidah terus mengarahkan tentera-tenteranya mengumpul tepung, gamdum dan pakaian lalu di hantar ke Madinah dengan unta yang sarat dengan makanan.

    Pada hari ini, apabila Palestin, Syria dizalimi tentera zionis, saya sangsi adakah negara saya adalah negara Islam???

    Pada mereka hanya 2 pilihan yang ada, Menang ataupun Syahid. Pada kita, apa pilihan yang kita ada dan apa pilihan yang kita buat?


    Saya ingin merasai nikmat solat sebagaimana Rasulullah dan para sahabat merasai nikmat solat. Ya Allah, perkenankan doa ku.

    "(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka dan mereka itulah orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga yang berjaya."

    (Quran, At-Taubah : ayat 88)

    Wallahua'lam.

0 comments: