• Jihad, Syurga Itu Nikmat

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    Alhamdulillah, Allah masih memberi umur buatku untuk hidup di atas duniaNya atas azam dan kekuatan untuk memanfaatkan waktu keranaNya.

    Alhamdulillah, dikurniakan sahabat-sahabiah yang sentiasa mengingatkan diri supaya setiap detik kehidupan harus mengingati Allah yang Maha Agung, Maha sempurna.

    Ekoran kehidupan itu terlalu menduga insan yang lemah seperti diri ini, Alhamdulillah, Allah masih terlalu amat menyayangi kita semua. 

    Sahabat-sahabiah, tidak indah andai hidup itu sendiri. Hidup tanpa erti, hidup tak mengerti matlamat yang ingin di cari.

    Ku titipkan sedikit perkongsian mudah-mudahan ia menggali keberkatan dan keredhaan Allah.
    Perkongsian di saat diri ini sedang menghabiskan pembacaan  "Abu Ubaidah Penakluk Parsi".

    Diulang-ulang kalimah Allah dalam buku yang penuh semangat jihad ini. Moga membawa kita mengenal akan matlamat hidup kita.

    "Engkau tidak akan dapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang Allah dan Rasulullah, sekalipun orang itu bapa, anak, saudara ataupun keluarga mereka. Allah sudah menetapkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka bersyukur dengan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong agama Allah, ketahuilah penyokong agama Allah adalah orang yang berjaya."

    (Quran, Surah Al-Mujadalah : Ayat 22)

    Sahabat-sahabat yang dikasihi,
    Abu Ubaidah, pemegang amanat Rasulullah, begitu lah gelaran yang terlalu agung buat beliau sahabat yang berhati mulia.

    Disaat hatinya dipilih oleh Allah menerima hidayah Islam, beliau dengan gembira memberitahu keluarganya tentang keislamannya walaupun sedar hakikat ayahnya pasti menjadi penentang yang utama. Sama ada memilih keluarga dan harta atau Islam, beliau nekad memilih Islam lalu pergi sehelai sepinggang apabila dibuang oleh keluarganya. Menemui Rasulullah, berada di sisi Rasulullah dan bersama-sama berjihad di jalan Allah itulah ketenangan baginya.

    Di saat perang Badar meletus, mereka menjadi musuh utama, Abu Ubaidah sedaya-upaya melarikan diri hanya kerana tidak ingin ayahnya dibunuh oleh tangannya sendiri. Namun, berbeza dengan ayahnya yang mengejarnya untuk membunuhnya. Pada ayahnya dia adalah anak yang derhaka. Namun akhirnya Abu Ubaidah akur, Allah penentu segalanya, ayahnya mati di tangannya sendiri atas kedegilan ayahnya.

    Kejadian itu menyebabkan beliau tidak dapat tidur lalu Rasulullah menggembirakan hatinya dengan ayat suci Allah di atas lalu serta-merta Abu Ubaidah menjadi ceria.

    Sahabat-sahabiah, membandingkan diri kita dengan mereka, terlalu jauh malah lebih jauh berbanding langit dan bumi. Kecintaan kita pada Rasulullah terlalu kecil berbanding cintanya mereka pada Rasulullah dan hari akhirat.
    Subhanallah, Alhamdulillah, kerana Allah masih memberi kesempatan untuk diri ini mengenali sahabat-sahabat Rasulullah agar diri ini terdidik dengan hidup yang bermatlamat kerana Allah. Sekian lama hanyut.

    Semoga saya masih dapat berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabiah sekalian. Alhamdulillah, dapat juga menghabiskan buku "Tariq Menang Ataupun Syahid". Sekarang tengah on channel Abu Ubaidah. 

    Sabda Rasulullah SAW:
    "Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat."
    "Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama: 1. Sedekah/amal jariahnya, 2.Doa anak-anaknya yang soleh dan 3.Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain." 

    Wallahua'lam.

0 comments: