• Kita Akan Kembali

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan Akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri Akhirat itu adalah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat”. 

    (Surah Al-‘Ankabut : Ayat 64)

    Menjadi hamba Allah yang lalai itu sangat merugikan. Apatah lagi apabila lalai mengingatkan kepada diri bahawa kematian itu terlalu dekat, bila-bila masa sahaja dia boleh datang. 

    Hujung minggu yang lepas, saya sempat melawat ibu saudara saya yang terlantar di HUKM. Sudah sebulan lebih dia di sana, menadapat rawatan untuk sakit barah hati. Sebelum ni, dia kerap berulang ke HUKM untuk chemotherapy. 

    Tidak terfikir di benak saya bahawa petang Jumaat itu adalah kali terakhir saya melihatnya, menatapnya dan bertemunya malah masih saya ingat dia peluk saya ketika saya tiba di hospital dan pulang dari hospital. Kami sekeluarga berbual panjang. Dari petang hingga ke malam. Dia insan yang baik. Ketika saya di Matrikulasi Perak dulu, rumahnya lah yang sering menjadi tumpuan saya untuk pergi bermalam di hujung minggu apatah lagi dia terlalu kerap mengambil saya ke rumahnya. Dia tidak pernah lokek malah sering memberi dan menyediakan kepada saya bermacam-macam benda.

    Pada petang Sabtu, bapa saudara saya menelefon saya, memberitahu ibu saudara saya tidak sedarkan diri. Kata doktor yang merawatnya, virus yang menyerang hatinya telah merebak ke paru-paru dan otaknya. Dia tidak sedarkan diri sehingga hari Ahad, dia menghembus lafaz terakhir. Tanggal 22.4.12. Dan hari ini adalah hari lahirnya, 27.4.12.

    Walaupun kesedihan sangat dirasakan, namun saya amat bersyukur pada Allah kerana masih memberikan kesempatan buat saya bertemu dia dalam keadaan dia sedar pada petang Jumaat itu. Dan hakikat yang jauh lebih indah, dia mengingatkan saya tentank kematian itu teramat dekat. Saya membayangkan dia di alam kubur, bagaimanakah dengan dia?? Bagaimanakah pula dengan saya nanti???

    Ya Allah, jauhkan aku dari lalai mengingati Mu, kerana terlalu azab meninggalkan Mu dan terlalu takut untuk aku menghadapi hari kematian, apatah lagi alam kubur dan alam akhirat, Astaghfirullah al 'azim, wahai Allah ampunilah aku dan keluargaku.

    Ya Allah, masukkan ibu saudaraku di kalangan hamba-hamba Mu yang beriman, yang Engkau sayang, janjikanlah dia di kalangan ahli syurga dan jauhkan dia dari api nerakaMu.

    “(Katakanlah wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.
     
     (Quran, Surah As-Sajdah : Ayat 11)

0 comments: