Assalamu'alaikum wbt
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
Sabda Rasulullah saw:
"Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika buruk daging itu, burukah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati."
Riwayat Al-Bukhari
Murahnya cinta manusia, mahalnya cintaMu Rabb. Orang yang kaya adalah orang yang dapat memiliki cinta Allah. Cinta Allah yang begitu agung dan suci. Jalan mencintai Allah tidak semudah yang disangkakan. Sudah menjadi adat, setiap yang mahal, pasti sukar untuk diperolehi.
Analoginya mudah, seperti pasir dengan permata. Pasir, murah harganya, kerana itu ia boleh dicari di mana-mana. Permata pula begitu tinggi nilainya, maka kita perlu menyelam ke dasar lautan untuk mendapatkannya.
Tidak ada kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga' atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.
Untuk meraih cinta Allah, kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada, sama ada masa, tenaga, harta bahkan nyawa.
Lihat sahaja hati yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam pengorbanannya untuk Allah. Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu yang terbaik untuk Allah. Lalu kerana ketulusan hatinya, Habil mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik untuk Allah. Manakala Qabil pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang bermutu, membuktikan cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab, Allah menolak pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu".
(Riwayat Muslim)
Pengabdian kita kepada Allah adalah bukti cinta kita kepada-Nya.
Pepatah Arab mengatakan:
"Setiap orang menjadi hamba kepada apa yang dicintanya."
Pengabdian yang dimaksudkan adalah umpama ‘hadiah' yang kita ingin berikan kepada Allah sebagai bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih yang tidak dicemari riya' dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh hamba-Nya dengan sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati, maka amalan itu dianggap tidak bernilai walaupun ia seluas lautan atau setinggi gunung.
Sebaliknya, jika hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan menjadi besar dan bernilai di sisi Allah.‘hadiah' itu akan diterima oleh Allah, insya Allah.
Firman Allah:
"Maka, barang siapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan kebaikan dan janganlah mempersekutukan Allah dalam beribadah kepada Tuhannya"
Surah Al-Kahfi: 110
Beberapa tanda kamu dilamun cinta dengan yang Maha Pencipta.
1. Kamu suka untuk bertemu dengan-Nya. Tak sabar untuk bertemu. Sesaat tidak bertemu seolah-olah kamu jadi tak menentu. Persiapan dibuat setiap kali sebelum bertemu-Nya.
2. Kamu akan mendahulukan-Nya lebih dari yang lain. Segala kehendakNya kamu akan utamakan dan yang dilarang Nya kamu cepat-cepat menjauhkan diri.
3. Kamu gembira bila bersama-Nya. Ingin sentiasa bersama walaupun di mana kamu berada. Kamu mula menyusun kata-kata indah hendak bertemu. Ayat-ayat cinta, kamu akan luahkan pada-Nya sebagai pujian ke atasNya.
4. Kamu tidak sedih kehilangan segala-galanya janji cintaNya kamu miliki. Biarlah semuanya hilang dan tiada asalkan kamu tidak kehilangan DIA dan agamaNya iaitu ISLAM .
5. Kamu merasa nikmat melakukan ketaatan terhadap perintah-Nya. Membela agamaNya sudah cukup membuatkan kamu merasa nikmat di dunia.
6. Kamu tegas terhadap mereka yang menghina Islam. Apatah lagi yang melanggar apa yang disuruh-Nya.
7. Kamu tidak akan pernah ingin menyisihkan DIA. Dalam kehidupan mu, setiap keputusan yang kamu simpulkan sama ada besar mahupun kecil, kamu pasti akan minta pendapatNya, kamu pasti akan memuliakanNya kerna kamu tahu Dia lebih mengetahui daripada mu, maka DIA lebih layak membuat keputusan untuk mu lalu kamu akan menerima dengan baik keputusan dan kehendakNya.
8. Kamu tahu Allah sangat menyayangi hamba-hamba-Nya, lalu kamu juga ingin mengasihi saudara-saudara mu, tidak memburuk-burukkannya, tidak mengumpat dan menfitnah, itulah kehendak Allah padamu.
9. Setiap pekerjaan yang kamu lakukan, pasti kamu ungkapkan kata-kata indah "aku lakukan hanya kerana Mu", kerana bagimu, DIA lah segala-galanya. Kamu juga akan berfikir setiap tindak tanduk mu mesti di atas keredhaan DIA bukan perkara-perkara yang membawa kemurkaan DIA. Kamu bimbang DIA akan membenci dan menjauh dari kamu.
10. Kamu seronok menyebut nama DIA setiap kali berbicara dengan teman-teman, kamu bahagia setiap kali menyebut nama DIA, kamu juga menyayangi insan-insan yang juga mencintai DIA.
Itulah sebahagian tanda-tanda kamu dilamun cinta DIA.
Sabda Rasulullah:
"Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan."
Sahabat-sahabat sekalian.
Pernahkan sahabat-sahabat merasai kesukaran melupakan 'dia' yang bernama insan yang tidak patut hadir mengisi ruang hati takhta Ilahi??? Mungkin sahabat-sahabat juga pernah merasainya, mungkin juga tidak, namun saya yakin sahabat-sahabat juga mengetahui bukan mudah untuk membuang perasaan sayang itu walaupun mungkin bukan pengalaman sendiri, tetapi boleh jadi pada pengalaman ahli keluarga, sahabat-sahabat dan teman-teman.
Tepat sekali bahawa menutur kata memang mudah, yang merasainya dan menanggungnya itulah yang perit. Namun sahabat, pada ku tidak ada yang mustahil andainya Allah membenarkan sesuatu perkara itu berlaku. Kerna Allah lah yang menciptakan alam dan sekalian makhluk, maka DIA ada hak yang mutlak dalam mengawal alam dan makhlukNya, maka pinta lah dariNya, kerna DIA maha berkuasa.
Sahabat, jangan mengatakan tidak pada perkara yang sukar yang belum pernah kita mencubanya. Jangan juga mengatakan tidak apabila kita masih ditahap mencuba-cuba untuk melupakan 'dia'. Kesungguhan dan keazaman yang tinggi sangat perlu. Bermujahadahlah sahabat. Mohonlah dari-Nya untuk dipermudahkan.
Hadis Qudsi :
"Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.
(Sahih Bukhari)
Doa itu adalah senjata orang mukmin. Namun harus diingat, doa bukanlah usaha ‘pemberitahuan' kehendak-kehendak kita kepada Allah kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui, namun doa merupakan usaha ‘penyerahan' diri kita kepada-Nya.
Orang yang berdoa ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaanNya di hadapan kekuasaan Allah. Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya adalah rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah. Kita nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya sifat keagungan dan kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.
Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayakan-Nya. Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.
Firman Allah:
"Dan Tuhan kamu berfirman. Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina."
Ghafir : 60
Yakinlah sahabat, walau sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah, kita akan merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya. Jika Allah sudah permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan mampu mengatasinya. Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan sifat sabar, istiqamah, syukur dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah perjuangan para Rasul dan nabi serta sahabat-sahabat Rasulullah. Kita akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup menderita, tersiksa bahkan terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah.
Moga kita mendapat cinta dari-Nya. Terkadang dalam hidup ini kita perlu korbankan nikmat yang sedikit untuk mendapat yang lebih besar.
Andainya belum di lamun perasaan ini, tepuk dada, tanyalah iman, tidakkah kamu juga ingin merasai perasaan yang indah ini??
Setiap manusia memiliki satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya.
Hakikatnya Allah Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya sekalipun amalan dan kebaikan yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada bersifat miskin, punya keinginan untuk mendapat manfaat daripada para hamba-Nya. Amalan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah tetapi manfaat itu kembali kepada manusia semula.
"Jagalah Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika dalam keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit. Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan sesuatu yang menimpamu tidak akan dapat luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran, kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran."
(Riwayat Ahmad, Hakim, Thabrani)
Wallahua'lam.
Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment