• Menghitung Hari

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Ya Allah, ampunilah baginya, kasihanilah dia, afiat dan maafkan dia, muliakanlah kedudukannya, luaskanlah tempat masuknya (kubur) mandikanlah dia dengan air, air salji dan air sejuk, sucikanlah dia dari kesalahan sebagaimana di sucikan kain yang putih dari kekotoran dan gantikanlah dia rumah yang lebih baik daripada rumahnya dan ahlinya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya dan masukkan lah dia akan syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan fitnah daripada azab api neraka."

    (Doa solat jenazah)


    Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia ku hingga ke hari ini. Menghitung hari. Itulah episod perjalanan aku hari demi hari. Tiap-tiap hari aku mula menghitung hari kematian ku. Bermula saat aku merasakannya dulu. Menghitung dan menghitung, pengakhirannya pada 8/7, khamis, 26 Rejab. Sekadar menghitung sendiri, menyediakan diri, hanya Allah mengetahui masanya, dan hanya Allah yang mengerti perasaan ini. 8/7, minggu depan kan?? Jika benar, hidup ini hanya tinggal seminggu. Aku tidak akan merasai hari Jumaat lagi seperti hari ini. Mengimbau kembali, aku di lahirkan pada hari Khamis, 30 April pukul 4.45 pagi bersamaan 1 Ramadhan. Aku berharap sangat aku akan temui lagi Ramadhan untuk kali ini, hanya Allah yang mengetahui.

    Ingin sekali berkongsi perasaan ini dengan orang yang rapat, dengan teman yang rapat, namun bibir terlalu kelu untuk berbicara. Aku terlalu sukar untuk berbicara dari hati ke hati melalui luahan kata, berbincang empat mata, berdiskusi segala rasa. Aku lebih mudah meluahkan segala rasa melalui bait-bait tulisan berbanding butir bicara yang keluar dari mulut. Itulah aku.

    Aku sekadar menyediakan diri. Perasaan mengatakan hari kematian begitu dekat benar-benar menghantui diri. Seringkali aku berlama di tikar sejadah ku, memohon ampunan dari Allah atas segala dosa-dosa ku, menambahkan amal ibadah ku, berusaha selagi ada masa. Tangisan itu seringkali hadir, biasan perasaan takut yang sangat. Mengenangkan aku bakal menghadapi sakaratulmaut. Bukankah menghadapinya adalah sangat menyakitkan??? Aku takut. Memikirkan aku yang bersendiri di alam kubur, memohon DIA menemani aku di kubur atau mungkin mengurniakan aku teman ketika di kubur, memohon DIA menjauhkan aku dari azab kubur dan azab api neraka.

    Buat pertama kali, aku menunaikan solat sunat memudahkan roh keluar. Aku lakukannya semalam selepas maghrib, malam Jumaat. Itulah waktunya. Tangisan ini tidak henti-henti. Sejak aku kembali ke KL ni lebih kurang 6 hari, aku seperti sangat berbeza. Aku cuba membuat yang terbaik dan menjaga hati teman-teman ku sebaik mungkin. Bimbang sekali melukai hati mereka. Dan teman-temanku pula seolah-olah sangat berbeza melayan ku, melayan ku lebih baik. Setiap detik waktu ku, setiap detik bersama-sama teman, aku pasti memikirkan, "mungkin inilah waktu terakhir kita bertemu", "mungkin inilah kata-kata terakhir aku buatmu" dan segalanya. 2 hari lepas, temanku ajak bertemu dan dia belanja aku makan di restoran nelayan. Aku sehabis daya untuk memberi yang terbaik dan menggembirakan mereka, namun andai kau tahu, hati ini tidak pernah lari dari berbisik "teman, mungkin inilah kali terakhir kita bersama."

    Semalam, kakak ku ajak keluar. Keluar shopping. Aku sekadar menemaninya, tidak ada apa yang ingin ku beli, mana mungkin aku boleh bawa barang-barang itu ke dalam kubur nanti. Lalu, aku sekadar menemaninya, dia seolah-olah agak tension dengan aku sebab hanya dia yang membeli. Aku tahu tujuan dia mengajak ku keluar adalah untuk belanja aku shopping, bukan dia yang nak sangat shopping. Aku tahu, dia ingin membalas budi yang pernah ku tabur buat dia, tapi aku tidak pernah minta apa-apa. Namun itulah aku, tidak ada apa-apa yang ingin ku beli, aku sekadar ingin bertemu dia, mungkin itu kali terakhir aku bertemu dia.

    Hidup ku akhir-akhir ini terasa aneh sekali, terasa sangat bertuah, ada sahaja insan yang nak belanja aku makan, ada sahaja yang membantu aku sama ada sedar atau tidak. Aku masih tidak tahu siapa insan yang baik hati mengangkat baju aku di jemuran semalam semasa aku keluar bersama-sama kakak ku. Blok yang aku tinggal ni sudah kosong, tidak ada sesiapa pun. Allah, banyak nya nikmat Engkau berikan kepada ku.

    Baru-baru ini, aku bercuti di rumah agak lama, menghampiri sebulan. Aku berusaha sebaik mungkin menjadi anak yang baik, menjadi kakak dan adik yang baik, menjadi ibu saudara yang baik buat kanak-kanak comel anak-anak saudara ku, menjadi teman dan sahabat yang baik. Maaf, hanya itu yang ku mampu. Aku sedar mungkin ada lagi yang masih terasa dengan ku, kata-kata maaf telah aku ungkapkan, apalah lagi yang mampu ku buat melainkan memohon dari Allah agar semua insan meredhai pemergianku nanti. Ketika keluar ke rumah saudara, kereta abah melalui kubur-kubur. Hati terasa sayu, "di sinilah aku ditempatkan nanti." Hati aku menangis dan merintih setiap masa. Hanya Engkau Ya Allah mendengarnya.

    Hidupku seolah-olah tiada lagi impian. Aku mula hilang semangat dalam banyak benda, hati dan minda lebih menumpu hari kematian itu. Semester baru akan bermula 12/7 dan aku sudah lama hilang semangat untuk memulakan apa-apa pelajaran, pembelajaran dan memasuki klinik. Sudah lama aku berhenti menyambung pembelajaran untuk mengambil lesen memandu kerana aku tidak rasa aku perlu pun semua itu di saat ini. 

    Berdiskusi dengan teman ku isu masalah pelajar pergigian, aku hanya menyumbang idea-idea, yang menggerakkan hanyalah teman ku, aku seolah-olah beku dan aku berkata "biarlah dia melakukan, aku bimbang dia rasa terbeban mengambil tugasan itu sekiranya aku yang melakukannya, biarlah dari awal dia yang lakukan." Banyak benda perlu aku berhadapan namun aku telah hilang semangat, kata-kata hati hanya menyatakan "ia tidak penting pun untuk aku sekarang." 

    Namun, aku masih kuatkan semangat untuk ke kelas pengajian syariah, ilmu itu bermanfaat untuk aku, bekalan untuk akhirat juga. Aku sedaya upaya berusaha membantu dan menjadi partner yang baik untuk kerja elektif tahun akhir ini, menyiapkan mana-mana yang mampu yang boleh disiapkan, andai Allah mentaqdirkan aku pergi dulu, tidaklah terlalu terbeban partner ku nanti menyiapkan kerja elektif kami.

    Aku menelefon ibu dan abah pagi tadi. Aku tahu, mereka mengharapkan juga aku pulang lagi sebelum aku memulakan pengajian sebagai pelajar pergigian. Aku tidak mampu berjanji. Hati ini terdetik, "ibu, mungkin kah kepulangan anak mu ke pangkuan mu ketika itu apabila aku bergelar jenazah?" Aku masih ingat 4 hari lepas aku bermimpi, aku mati di pangkuan abah. Allahurabbi. Andai aku pergi dulu, aku harap sangat keluargaku meredhai pemergianku. Aku tahu, keluarga ku sangat menyayangiku, aku ibarat permata yang sangat bernilai di mata keluarga ku, namun aku tetap milik Allah, aku tetap akan kembali kepadaNya.

    Aku masih ingin menulis di sini terutamanya untuk entry bulan Rejab iaitu Isra' Mikraj, insya Allah. Aku sangat takut menulis entry itu, ia seolah-olah terlalu hampir dengan hari akhir ku.

    Andainya Allah mentaqdirkan umur ku masih panjang, masih dapat mengikuti pengajian tahun akhir ini, aku tahu aku kene bersemangat semula, aku perlu pulih kembali memikirkan cita-cita dan impian, menyambung kembali pembelajaran demi pembelajaran, bersemangat kembali dalam perjuangan, tapi harus beringat aku tetap akan mati. Aku punya banyak cita-cita dan impian, namun biarlah Allah menentukan segala-galanya.

    Sahabat dan teman, aku cuma meluah perasaan dan isi hati. Sekadar perasaan yang bermain di minda dan hati. Ajal ku tetap di tangan Allah, hanya DIA yang mengetahui. Datangnya perasaan ini untuk memberi amaran kepada ku supaya bertaubat kerana dosa ku terlalu banyak. Moga aku sering beringat dan beringat. Moga Allah pertemukan aku lagi dengan Ramadhan kali ini dan yang mendatang. Aku pernah terbaca satu ayat, apabila kita ingin berpisah ucapkan lah "semoga bertemu lagi", janganlah diucapkan "saya pergi dulu." "Semoga bertemu lagi mungkin tidak di dunia, mungkin di akhirat kelak, di syurga DIA. insya Allah."

    "Ya Allah! Hidupkanlah kami dengan iman, matikanlah kami dengan iman, himpunkanlah kami dengan iman dan masukkanlah kami ke dalam syurga berserta iman, dengan rahmatMu wahai tuhan Yang Maha Pengasih Maha Penyayang."

    (Doa hidup dan mati dalam iman)

    "Ya Allah! Dengan kebenaran Nabi Muhammad dan keluarganya bahawa janganlah hendaknya Engkau menyeksakan mayat ini. Ya Allah! Jadikanlah kuburnya sebagai satu taman dari taman-taman syurga dan janganlah Engkau jadikan kuburnya itu sebagai lubang dari lubang-lubang neraka."

    (Doa selepas solat jenazah)

    Sahabat dan semua, semoga bertemu lagi, insya Allah.
    Wallahua'lam.

8 comments:

  1. salam kak azira :)

    demi Allah, tiada kata mampu saya lafazkan.. cuma air mata kak..

    benarlah mati itu sbg peringatan..ape skalipun yg terjadi saye doakan yg terbaik utk kita semua dalam melalui saat penghidupan di dunia n di akhirat kelak..ameen insyaAllah~

    akak..
    ad seperkara yg saye nak berkongsi dgn akk, sama ad ini sohih atau tdk.. tp itulah yg sering terjadi dlm hidup saye..

    beberapa kali..saye mimpikan ma abah, abg2, adik n kakak saye pergi (meninggal), dan saye sniri mase terjage (bgn dr tidur), basah dgn air mata, dan saye bnr2 takut..tp alhamdulillah hgga kini semuanya masih ad dcc saye..dan mimpi tu adlh terbalik..hati ni kdg2 yakin yg mgkn itu petanda yg saye akn mendahului sumenye (dlm family) setelah pemergian abg saye..apepun bkn niat saye nak menafikan kematian,sbb itu kepastian..saat itu akn tiba, cepat atau lmbt..

    akak.. mg2 terus bersemangat melalui kehidupan ni..ingatan pada kematian itu plu ad tp mg2 x mengganggu gugah ketenangan akk :)td tgk akademi Al-quran, tertarik dgn kata adik Muhammad Ahmad Zahid Al-Hafix (peserta AQ, "saye bersedia utk menghadapi kematian"..Allahuakbar..terbit kagum dihati ini..usia semuda itu, mgkn rata antara teman2nya masih bersuka2, tp dia ingat mati n telah pun sedia utk mati..Allah..

    akk..maaf andai kata2 saye ad silap n salah..asif jiddan 'ala kulli hal..

  2. Unknown said...

    salam..
    x faham la.. knape 8/7?

  3. wslm ukhti Al-Faqirah..

    Syukran atas nasihat dan perkongsian..
    Hanya Allah yang mengetahui ajal kita, itu suatu kepastian..

    Kehadiran perasaan ini mengingatkan akk tentang kematian, lalu membawa akak untuk menyediakan diri..

    Hakikat sebenar, akk tidak bersedia lagi.
    Allah Maha Pengampun, Maha Menerima taubat, moga2 dosa kita di ampunkanNya dan kita beroleh kebahagiaan hakiki di sisiNya, insya Allah..

    Moga kita mati dalam iman, dalam keadaan kita telah bertaubat dan taubat diterima.

    Andai selautan kata2 maaf akk lontarkan, akk pinta dari Allah belum tentu boleh membasuh segala dosa yang ada pada akak..
    Allah Maha Pengasih Maha Penyayang, moga2 DIA masih menyayangi kita semua..

    Wallahua'lam.

  4. wslm mije..
    Xpe la mije, tarikh tu tak penting pun..
    Saya pun xtahu..
    Anggap je sy tgh bt novel.. =)

    Pointnye adalah kita akan mati, bila tu hanya Allah yang mengetahui..Ayuh sediakan diri..

    Sekadar peringatan untuk diri dan sahabat..

  5. Anonymous said...

    salam zira..
    sungguh tersentuh dengan luahan kata-katamu.. :(
    semoga zira terus kuat dan tabah mengharungi hari-hari mendatang..

  6. wslm noor..
    Moga Allah beri kekuatan kpd kite semua untuk terus berada di jalanNya..
    Ameen..Insya Allah..

  7. syairah said...

    ust pernah bagitau mimpi meninggal tu panjang umur..
    kita beramal seolah-olah kita akan meninggal esok dan berusaha seolah2 kita hidup 100 tahun lagi.. hadith juga menyebut mengenai ini...

    jangan putus asa untuk hidup..=)dentist muslimah diperlukan sangat sekarang..jadi mcm dr rosni atau lebih baik daripada itu...

    semoga anda terus cemerlang..kita tunjuk Islam itu hebat melalui hebatnya orang2 Islam....

  8. Salam..
    syukran jazilan syairah..

    Nmpknya ana belum kenal @ ingat sbnrnye siapa syairah ni..Looks like ukhti tahu psl sekeliling ana..maaf kalau ana trlupa..

    Syukran, insya Allah ana akan teruskan perjuangan ini..terasa lemah jge menghadapi tahun akhir ini..Moga Allah terus menghadiahkan kekuatan demi kekuatan..

    Perjuangan demi Islam kerana Allah akan tetap ku teruskan..