• Teman Di Dunia, Teman Di Syurga

    Assalamu’alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    Sabda Rasulullah s.a.w

    “Perempuan yang paling ku cintai adalah Aishah dan lelaki yang paling ku cintai adalah ayahnya. Jika di timbang iman Abu Bakar As-Siddiq dengan iman sekalian umat, maka berat lagi iman Saiyidina Abu Bakar.”

    Saiyidina Abu Bakar : Teman Dua Dunia

    Nama sebenar Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq adalah Abdullah bin Quhafah. Beliau lebih muda 2 tahun daripada Rasulullah s.a.w. Beliau adalah seorang saudagar yang sangat kaya serta datangnya dari keluarga bangsawan yang sangat dihormati oleh masyarakat Quraisy. Sebelum memeluk Islam lagi, Abu Bakar telah terkenal sebagai pembesar yang sangat tinggi akhlak dan tidak meminum arak. Setelah memeluk agama Islam, beliau terkenal dengan kemuliaan akhlaknya, kemurahan hatinya dalam mengorbankan harta benda dan kekayaannya, kebijaksanaan nya dalam menyelesaikan masalah ummat, ketenangannya dalam menghadapi kesukaran, kerendahan hatinya ketika berkuasa serta tutur bahasanya yang lembut dan menarik menjadikan beliau sehabat yang paling karib dan disayangi Rasulullah s.a.w.


    Peristiwa keislaman Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq

    Saiyidina Abu Bakar pernah menceritakan perihal dirinya kepada Ibnu Mas’ud.
    Aku pernah mengunjungi seorang tua di Yaman. Dia rajin membaca kitab-kitab dan mengajar ramai murid. Dia pernah berkata kepada ku :

    Orang tua : Aku kira tuan datang dari Tanah Haram.
    Saiyidina Abu Bakar : Benar.

    Orang tua : Aku kira tuan berbangsa Quraisy
    Saiyidina Abu Bakar : Benar.

    Orang tua : Dari apa yang aku lihat, tuan dari Bani Tayim.
    Saiyidina Abu Bakar : Benarlah begitu.

    Orang tua : Ada satu hal lagi yang hendak aku tanyakan dari tuan iaitu tentang diri tuan sendiri. Apakah tak keberatan jika aku lihat perutmu?
    Saiyidina Abu Bakar : Aku keberatan hendak memperlihatkan selagi tuan tidak nyatakan kepadaku perkara yang sebenarnya.

    Orang Tua : Aku sebenarnya melihat dalam ilmuku yang benar bahawa seorang Nabi Allah akan diutuskan di Tanah Haram. Nabi Allah itu akan dibantu oleh 2 orang sahabatnya, yang seorang itu muda dan seorang lagi itu sudah separuh umur. Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi pelindungnya dalam sebarang kesusahan. Sementara yang separuh umur itu berkulit putih dan berbadan kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di paha kirinya. Apalah salahnya tuan perlihatkan kepadaku.

    Maka sesudah dia berkata itu, Saiyidina Abu Bakar pun membuka pakaiannya lalu orang tua itu melihatlah tahi lalat hitam di atas bahagian pusatnya seraya berkata, “Demi Tuhan yang menguasai Kaabah, tuanlah orang itu!”

    Kemudian orang tua itu memberi sedikit nasihat kepada Saiyidina Abu Bakar. Saiyidina Abu Bakar tinggal di Yaman untuk beberapa waktu untuk menguruskan perniagaannya dan sebelum meninggalkan negeri itu beliau sekali lagi pergi menemui orang tua tersebut untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian dia lalu berkata, “ Bolehkah tuan menyampaikan beberapa rangkap syair ku.”

    Setelah itu Saiyidina Abu Bakar pulang membawa syair-syair itu ke Mekah. Setibanya beliau tiba di Mekah, para pemuka bergegas ke arahnya seraya berkata,

    Pemuka Quraisy : Adakah engkau tahu apa yang sudah terjadi?
    Saiyidina Abu Bakar: Apakah yang terjadi itu?

    Pemuka Quraisy : Si Yatim Abu Talib kini mengaku menjadi Nabi! Kalaulah tidak mengingati engkau hai Abu Bakar, sudah lama kami selesaikan dia. Engkaulah satu-satunya yang kami harapkan untuk menyelesaikannya.

    Kemudian Saiyidina Abu Bakar meminta mereka pulang dahulu, kemudian beliau pergi menemui Muhammad.

    Saiyidina Abu Bakar : Wahai Muhammad, engkau telah mencemarkan kedudukan keluarga engkau dan aku dapat tahu engkau terang-terang telah menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita.
    Nabi Muhammad s.a.w : Bahawa akulah pesuruh Allah yang diutuskan untukmu dan sekalian ummat.

    Saiyidina Abu Bakar : Apa buktinya?
    Nabi Muhammad s.a.w : Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari.

    Saiyidina Abu Bakar : Orang tua yang mana satukah yang engkau maksudkan kerana ramai orang tua yang aku temui di Yaman itu.
    Nabi Muhammad s.a.w : Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada engkau.

    Saiyidina Abu Bakar terkejut mendengarnya.

    Saiyidina Abu Bakar : Siapakah yang telah memberitahu engkau wahai sahabatku?
    Nabi Muhammad s.a.w : Malaikat yang pernah menemui nabi-nabi sebelumku.

    Saiyidina Abu Bakar : Hulurkan tangan engkau, bahawa sesungguhnya aku naik saksi tiada Tuhan yang di sembah selain Allah dan engkau Muhammad sebenarnya pesuruh Allah.

    Keislaman Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah membawa pengaruh besar di kalangan kaum bangsawan Quraisy. Beberapa bangsawan juga turut mengikut langkahnya antaranya Saiyidina Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan Saad bin Abi Waqqas. Semenjak Saiyidina Abu Bakar memeluk agama Islam, beliau telah menjadi pembela Islam yang paling utama serta sahabat yang paling akrab serta paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w.

    Pembebasan Hamba Sahaya

    Tidak beberapa lama setelah memeluk agama Islam, Saiyidina Abu Bakar yang terkenal sebagai saudagar kaya telah meninggalkan perdagangannya dan meninggalkan segala usaha peribadinya dan menyerahkan segenap kekayaannya dan jiwa raganya untuk melakukan perjuangan menegakkan agama Islam bersama Rasulullah s.a.w. Beliau telah mengorbankan hartanya untuk menebus orang-orang yang ditawan, orang-orang yang ditangkap dan tersiksa. Beliau telah membeli hamba-hamba dan kemudiannya dimerdekakan. Salah seorang hamba yang dibelinya dan dibebaskan adalah Bilal Bin Rabah.

    Peristiwa Isra’ dan Mikraj

    Tatkala Nabi Muhammad s.a.w selesai melakukan isra’ dan mikraj, segolongan orang yang kurang percaya pada berita yang di khabarkan daripada Rasulullah s.a.w telah menemui Saiyidina Abu Bakar untuk bertanya pendapat beliau. Mereka berharap Abu Bakar akan mendustakan dan berprasangka kepada perkara yang tidak masuk aqal itu. Setelah pertanyaan dan perkhabaran di sampai kan kepada Saiyidina Abu Bakar, beliau bertanya.

    Saiyidina Abu Bakar : Adakah benar Muhammad berkata begitu.
    Golongan yang datang : Ya benar

    Saiyidina Abu Bakar : Jika benar Muhammad yang berkata begitu maka sungguh benarlah apa yang diceritakan itu.
    Golongan yang datang : Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa Muhammad sampai ke tanah Syam yang perlu lebih sebulan perjalanan pulang, tetapi pergi dan pulang malam semalam?

    Saiyidina Abu Bakar : Benar, aku percaya, malah lebih daripada itu aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dari langit diberitakan kepadanya baik pada waktu siang atau waktu malam.

    Demikian hebatnya Saiyidina Abu Bakar mempercayai dan meyakini Rasulullah s.a.w. Kerana tegas dan teguhnya iman beliau kepada agama yang di bawa oleh Muhammad lalu baginda s.a.w menggelarkannya beliau Al-Siddiq yang bermaksud orang yang benar.

    Peristiwa di Gua Thur

    Tatkala kekejaman orang-orang musrikin Mekah semakin hebat dan membahayakan, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada Saiyidina Abu Bakar bahawa Allah telah memerintahkan baginda supaya berhijrah ke Madinah serta meminta Saiyidina Abu Bakar untuk menemaninya. Dengan perasaan gembira tanpa sedikit kebimbangan pun menyahut permintaan Rasulullah s.a.w. Mereka keluar ke pintu belakang rumah Saiyidina Abu Bakar dan menuju ke Gunung Thur dan bersembunyi di Gua Thur.

    Pada saat suasana yang amat kritikal, Saiydina Abu Bakar diserang rasa gelisah dan cemas kerana khuatir kalau-kalau musuh dapat mengetahui di mana Rasulullah sedang bersembunyi. Lalu ketika ini, turunlah Surah At-taubah ayat 40 menyatakan,

    “Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya yaitu ketika orang-orang kafir mengusirnya (dari Mekah), sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada di dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentera (malaikat-malaikat) yang tak terlihat oleh mu, dan Dia jadikan seruan orang kafir itu rendah, dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”

    (At-Taubah : 40)

    Lalu Rasulullah mengerti akan kegelisahan sahabatnya itu dan berkata, “Apakah yang menggelisahkanmu, bukankah Allah menemani kita?”

    Lalu Rasulullah s.a.w berkata lagi bagi menghilangkan kebimbangan sahabatnya itu. Rasulullah berkata, “Sekiranya mereka masuk juga ke dalam gua ini kita masih dapat melepaskan diri dari pintu belakang itu.” Rasulullah menunjukkan ke arah pintu belakang itu.

    Saiyina Abu Bakar menoleh lantas terkejut bila dilihat pintu belakang yang ditunjukkan oleh Rasulullah, padahal pintu tersebut tadinya tidak ada sama sekali.

    Saiyidina Abu Bakar berkata, “ Yang aku bimbang bukanlah mengenai diriku sendiri, kalau aku terbunuh yang tewas adalah manusia biasa, tapi andai kata engkau terbunuh maka akan hancur lah cita-cita yang suci murni. Yang akan runtuh adalah keadilan dan yang akan tegak adalah kezaliman."

    Berlaku juga semasa penyembunyian mereka berdua itu, Saiyidina Abu Bakar memangku kepala Baginda Rasulullah ketika Baginda tidur. Melihatkan ada sebuah lubang yang dikhuatiri ada binatang berbisa di dalamnya, Saiyidina Abu Bakar menutup lubang tersebut dengan tapak tangannya. Bimbang jika binatang berbisa menyengat Rasulullah. Semasa menutup lubang tersebut, tangannya di patuk ular berbisa yang mendiami lubang tersebut. Sakitnya terasa tetapi beliau hanya mendiamkan diri sehinggalah beliau menitiskan air mata dan air mata tersebut jatuh ke atas muka Rasulullah yang berada di pangkuannya. Begitulah kasihnya Saiyidina Abu Bakar r.a pada Rasulullah s.a.w.

    Peristiwa Perang Tabuk

    Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq merupakan seorang sahabat Rasulullah yang sangat dermawan. Ketika peristiwa Perang Tabuk beliau membawa kesemua harta miliknya tanpa meninggal apa-apa pun untuk keluarganya. Kesemua sekali hartanya 4000 dirham dan beliaulah orang pertama sekali yang menyerah hartanya kepada Rasulullah.

    Rasulullah bersabda :
    "Hai sahabatku yang budiman, kalau sudah semua harta-bendamu kau korbankan, apa lagi yang kau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?"


    Lalu Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq tersenyum lalu menjawab :
    "Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya."

    Ketika Ajal Menghampiri Rasulullah s.a.w

    Pada suatu ketika di saat Rasulullah membaca khutbah yang menyatakan bahawa"

    "hamba Allah yang di tawarkan untuk memilih dunia dan memilih ganjaran yang tersedia di sisi Allah, berbanding dengan hamba Allah tersebut tidak akan memilih dunia, melainkan apa yang tersedia di sisi Tuhan ..."

    Maka ketika mendengar khutbah Nabi demikian, Saiyidina Abu Bakar lalu menangis tersedu-sedu kerana sedih. Beliau mengerti bahawa yang dimaksudkan isi khutbah itu adalah umur Rasulullah sudah hampir berakhir.

    Begitulah sedikit sedutan episod kecintaan seorang sahabat Rasulullah. Moga bemanfaat kepada kita semua, insya Allah. Dia lah teman Di Dunia, juga teman Di Syurga. Alangkah indahnya. Saya juga ingin menjadi teman yang baik buat kawan-kawan saya. Insya Allah.. Ameen, moga Allah mempermudahkan.

    Wallahua'lam.

3 comments:

  1. As said...

    heyp kamu :)

  2. salam hasanah..
    Rajin kamu jln2 ke sini.. =)
    Sory, bru blk dr posting kt Kelantan..

  3. testing kat sini..
    =)