• Bersihkan Hati

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang



    “Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”

    (Quran, Al-Fatihah : 6-7)


    Alhamdulillah, kembara usia masih di panjangkan Allah. Walau mungkin umur sudah terasa makin ke penhujungnya, moga-moga Allah masih memanjangkannya agar apa yang ku impikan kemaafan dariNya diterima dan diampuni. Walau mungkin kata orang, umur yang panjang tetapi hati dan diri penuh maksiat, tiada guna juga. Ya memang betul, namun saat aku yang begini, aku mengharapkan masih ada sisa umurku untuk menebus dosa-dosa ku yang makin ku fikirkan makin menggunung tinggi.

    Refleksi Ramadhan yang lalu, apakah yang anda semua perolehi??? Syawal menjengah dan semakin hari semakin meninggalkan kita, masihkah kita mengekalkan momentum ibadah kita sebagaimana momentum ketika di bulan Ramadhan?? Hari demi hari, datang dan pergi, berganti-ganti walaupun nama hari sentiasa berulang-ulang, namun kadar nilai ibadah kita tidak sama, apatah lagi keimanan kita. Andai bulan Ramadhan itu di katakan bulan ibadah, adakah 11 bulan lagi di katakan bulan maksiat?? Seandainya begitu, sanggupkah kita berada 1 bulan di syurga, 11 bulan di neraka??

    Nikmat maksiat itu hanyalah sementara, tetapi dosanya akan terus kekal andai tidak di susuli taubat. Sudahkah kita bermuhasabah hari ini?? Semalam?? 2 hari yang lepas?? Tanpa muhasabah diri, kita manusia yang merasakan diri kita suci daripada dosa. Kita tidak akan rasa bersalah selagi kita tidak merenung ke dalam diri, merenung ke dalam hati, merenung ke dalam minda, apa yang telah kita lakukan dalam masa 24 jam yang telah di beri hari ini.

    Pernahkah kita merasakan letih dan penat?? Sudah tentu mungkin. Agak-agaknya, pernah tak anda fikir kenapa anda penat? Kerja apakah yang anda lakukan sehingga anda sangat penat. Renung ke dalam diri, adakah penat itu adalah di sebabkan ibadah kita kerana Allah. Atau kita terlalu penat mengerjakan perihal dunia tetapi niat kita untuk mendapat keredhaan Allah?? Pernahkan kita rukuk dan sujud kepada Allah di malam hari sehingga kita rasa penat?? Pernah kah air mata kita kering kerana tangisan setiap hari menginsafi dosa-dosa?? Pernahkah kita hitung basahnya lidah kita dengan zikir kepada Allah sebanyak denyut nadi kita paling kurang I jam??

    Wahai diri, kuatkan diri untuk mencintai Allah, merindui Allah, mendambakan keampunan dari Allah kerana hakikat, diriku terlalu banyak di selaputi dosa-dosa yang lama yang belum tentu terampun, terpalit pula dosa yang baru yang bebannya semakin terasa saat usia semakin menghujung. Kerana hakikat, diri seringkali mencintai dan merindui insan berbanding Pencipta ku sendiri, kerana hakikat, diri seringkali mengutamakan dunia berbanding kehidupan di akhirat. Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati, maka tidak salah andai manusia mengatakan aku ini bodoh. Astaghfirullah..


    “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahaui apa yang kamu kerjakan.”

    (Quran, Al-Hasyr : 18)


    Wallahua'lam

0 comments: