• Kita Tetap Hamba Allah

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan RasulNya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada RasulNya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya."

    (Quran, An-Nisa : 136)

    Kalau dulu masa zaman belajar, kena selalu ingatkan diri, kita belajar kerana Allah, tapi sekarang bila da kerja, pun kena tanamkan niat juga, bekerja kerana Allah. Selalunya niat di pasak sebelum turun dari rumah nak pergi kerja, tapi kadang-kadang terlupa juga, jadi setiap pagi dalam doa solat Subuh da niat siap-siap, dan doa sekali moga-moga saya pergi kerja hari ini kerana Allah, merawat pesakit kerana Allah, menuntut ilmu baru dan pengalaman-pengalaman kerana Allah, maka dengan izin Allah, kita pergi kerja pun tidak la tertekan, hati pun tenang dan damai, jumpa dan layan pesakit pun dengan gembira.

    Kadang-kadang ada hari-hari hati kita tidak begitu ceria, pagi-pagi pun tak ceria, maka amal-amalkan untuk senyum walaupun senyum tu kelat. Bila keadaan macam ni selalunya nak senyum pun rasa sangat berat tapi dengan izin Allah senyuman kita akan mengubat hati kita sendiri dan juga insan lain.

    Selalunya bila sampai di klinik, masuk klinik saya akan beri salam dulu terutamanya pada staff nurse yang jaga di kaunter sebab setiap pagi wajah merekalah yang saya nampak dulu bila masuk klinik. Memberi salam tanda kita mendoakan kesejahteraan mereka, suka tak kalau orang selalu doakan untuk kita?? Mesti seronokkan. Rasa bahagia saja sebab masih ada yang mengambil berat pada kita. Tapi ada hari-hari yang saya tidak memberi salam terutamanya kalau ada staff nurse yang lelaki. Tak patutkan. Sepatutnya saya juga turut mendoakan mereka, tapi segan punya pasal, tak terkeluar pula perkataan salam. Bukan susah sangat pun. Benda baik pun malu nak buat. Patutla orang selalu cakap, zaman sekarang, segan nak buat baik, tapi tak segan pula nak buat jahat.

    Bekerja di hospital, macam-macam ragam manusia boleh saya jumpa. Makin hari saya rasakan dunia makin tidak adil. Manusia dibezakan dengan kekayaan harta dan pangkat. Insan yang miskin, lemah dan berpangkat rendah seolah-olah tidak dipandang oleh segelintir masyarakat, namun yang kaya dan berpangkat, diberi keistimewaan dan dihormati. Bukankah setiap manusia layak untuk menghormati dan dihormati?? Bila kita berjaya kelak, peroleh segala apa perkara yang kita inginkan, janganlah bongkak kerana sebenarnya berjiwa bongkak terlalu buruk di penglihatan manusia dan juga Allah. Kenapa mesti terlalu berlagak bagus? Kenapa mesti merasa diri terlalu mulia? Kita semua sama sahaja, hamba Allah yang akan meninggalkan dunia yang sementara ini. 

    Allah menciptakan kita sebagai manusia yang berperasaan. Maka, salahkah menjadi manusia yang berperasaan? Manusia ada perasaan simpati pada insan yang lain, perasaan untuk membantu insan lain, perasaan untuk menghormati insan lain. Janganlah jadi manusia yang sombong dan angkuh, kerana bila kita tenung balik dalam diri kita, kita akan malu sendiri, perasaan bersalah dan malu akan menghantui diri sendiri, perasaan itu bukan suatu nikmat malah menyakitkan.

    Malam ni merapu juga tulis benda alah ni, da lama tak buat entry, jadilah macam ni. Just nak ingatkan

    1. Selalu tanamkan niat, setiap pekerjaan yang kita lakukan kerana Allah kerana terlalu nikmat apabila hati itu tenang, ketenangan itu ada bila bersama Allah. Kalau ikutkan, nak pakai baju pun kena niat kerana Allah, siap ada doa sekali, tapi kalau pakai baju nak keluar rumah pun tak tutup mana yang patut, tanyalah diri balik, Allah suruh ke pakai baju camtu??

    2. Amalkan salam dalam kehidupan hari-hari. Bagi salam semasa bertemu dan sebelum berpisah. Tak beratkan??

    3. Saya sangat tak suka manusia yang berlagak bagus, sombong, angkuh, rasa diri dia mulia, pandang rendah pada orang lain. Orang-orang macam ni bila deorang sedar dan insaf, boleh sakit jiwa sebab rasa bersalah dan malu. Selalu lah refleksi diri, malu sangat sebenarnya dengan Allah kalau buat dosa. Orang yang tak malu adalah orang yang rasa dia tak berdosa. Orang-orang camni adalah orang yang saya anti seumur hidup.

    4. Siapa pun kita hari ini, siapa pun kita esok, di mana pun kita berada, janganlah lupa diri, bertemu Allah dalam keadaan yang terbaik adalah matlamat kita, syariat Islam kena jaga. Sama ada zaman belajar atau kerja sekali pun, tidak ada bezanya sebab kita tetap hamba Allah yang wajib mengabdikan diri kita kepada Allah.

    Wallahua'lam.

    "Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)

    (Quran, Ya Siin : Ayat 12)

0 comments: