• Zikrullah Pembuka Hijab Makrifatullah

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Sucikan dirimu dari 'aib, nescaya terbuka bagimu pintu ghaib"

    "Bagaimana mungkin gemerlapnya logam hati yang gambaran dunia terakam dalam cerminannya atau bagaimana ia mungkin berlalu kepada Allah sedang ia terbelenggu dengan hawa nafsunya atau bagaimana mungkin ia merafak diri ke hadapan Ilahi sedang ia tidak suci dari janabah lalai atau bagaimana mungkin ia mengharap dapat kehalusan rahsia-rahsia Rabbani sedang ia tidak bertaubat dari kesalahan-kesalahan diri."

    Syeikh Abdul Malik Abdullah ( Tok Pulau Manis)


    Zikir adalah pembuka hijab antara hamba dengan Allah. Zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan di ambil melalui talqin Guru mursyid akan melimpahkan nur ke dalam qalbi.

    Nur ini akan menjadikan hati bersih bersinar dengan rahsia-rahsia yang tidak dapat dicapai dengan aqal. Nur ini akan menghasilkan makrifat apabila ia semakin terang mengikut kekuatannya. Dengan nur inilah manusia akan dapat mengenal hakikat dirinya yang asal dan mengenal Tuhannya dengan pengenalan yang haq. 

    Hal zikir ini banyak disentuh dalam kitab-kitab ulama' silam khususnya Nusantara seperti Syeikh Abdul Shamad al-Falimbani dalam kitab Sirrus Salikin.

    Amalan zikir ini sememangnya menjadi amalan harian mereka, setiap saat mereka dalam zikir, mata hati mereka sentiasa syuhud (memandang) akan Allah Taala.

    Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

    "Iaitu orang-orang yang mengingati Allah hal keadaan mereka berdiri, atau duduk atau dalam keadaan berbaring."
    Ali-Imran : 191

    "Ingatlah kepadaKu, nescaya Aku akan ingat padamu."
    Al-Baqarah : 152


    Di dalam Al-Wabil yang dikarang oleh Al-Hafiz Ibnu Qayyim telah menyebut akan kelebihan zikrullah itu lebih daripada seratus faedah dan di antaranya ialah:

    - Zikir adalah membanting syaitan daripada menghampiri orang yang berzikir

    - Zikir melahirkan cinta sejati kepada Allah s.w.t dan cinta itu roh Islam, agama dan sumber kejayaan dan kebahagian. Barangsiapa ingin mendapatkan cinta Allah hendaklah berzikir sebanyak-banyaknya.

    - Zikir mendatangkan sikap muraqabah yang membawa seseorang kepada martabat ihsan.

    - Zikir membawa seseorang kepada penyerahan diri yang bulat kepada Allah. Dengan ini lama-kelamaan setiap urusan dan setiap keadaan Allah menjadi Pelindung dan Pembantunya.

    - Zikir membawa seseorang kepada taqarrub Ilallah.

    - Zikir adalah pembuka hijab dan pintu makrifat mengenai Allah.

    - Zikir menghidupkan hati.Perumpamaan orang berzikir dan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang hidup dan orang mati.

    - Zikir adalah santapan roh dan hati. Seandainya keduanya tidak mendapat santapan seumpama jasad tidak mendapat makanan yang akhirnya menjadi lemah.

    -Zikir adalah pembersih dan penggilap bagi hati.

    - Nur zikir sentiasa bersama dengan orang yang berzikir sama ada di dunia atau di dalam kubur.

    - Zikir ibarat pohon. Sewaktu pohon itu besar dan akarnya tertancap kuat, maka buahnya akan bertambah baik. Zikir membuahkan maqam-maqam semuanya dari kesedaran penuh menuju tauhid.

    Dengan sebahagian daripada faedah-faedah zikir yang dapat dinukilkan oleh sebahagian besar lagi faedahnya dapat dirasai oleh mereka yang tergolong di dalam golongan ahli Zikrullah yang pada setiap kerdipan mata dan hembusan nafas mereka adalah zikrullah.

    "Ketahuilah bahawa dengan berzikir kepada Allah itu, jiwa menjadi tenang."
    Ar-Ra'd : 28

    p/s : Artikel ni saya ambil dari Majalah Khazanah Hikmah, keluaran Khazanah Ulama' Warisan Sepanjang Zaman. Majalah yang saya dapat mase pegi pondok 4 tahun lepas. Teringin lagi nak pegi blaja pondok tapi jadual exam sebelum ni selalu bertindan dengan masa pondok.
    Dan pondok kali ni bertindan dengan sesi blajar saya dalam pengajian syariah. Insya Allah perancangan Allah adalah yang terbaik. Syukran wan atas ingatan pada zikir. Moga kita terus istiqomah dan memperbanyakkan zikir. Allah mencintai orang yang berzikir kepada Nya. :) 

    Wallahua'lam.

1 comments:

  1. Feel free to check our hijab collection at
    http://hijabstore.net
    The very low price hijab with good design.