Assalamu'alaikum wbt
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang
"Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Ad yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka redha kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi yang takut kepada TuhanNya."
(Quran, Al-Bayyinah : 7-8)
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, rahmat dan kasihNya tidak pernah kurang, malah seringkali bertambah-tambah. Moga kita makhluk yang dimuliakan oleh Allah sentiasa menjadi hambaNya yang bersyukur. Selawat dan salam buat junjungan yang mulia Nabi Muhammad s.a.w, moga-moga cinta kita semakin bertambah buat kekasih Allah ini. Cinta itu akan kian mekar dengan kata-kata, perbuatan dan amalan serta ingatan yang padu, insya Allah.
Andai di nilai kesibukan, andai di nilai kesusahan, andai di nilai keperitan, kebanyakan daripada kita ingin sekali insan lain memahami apa yang kita rasai, terasa kitalah insan yang paling banyak di duga. Kadang-kadang dugaan itu meresahkan, dugaan itu merisaukan, dugaan itu menyesakkan jiwa. Yakin dan percayalah, Allah mengetahui apa yang kalian rasakan, Allah memahami apa yang kalian gusarkan.
Pada insan yang dekat dengan Allah, jiwanya seringkali tenang dalam melalui onak dan duri sepanjang perjalanan kehidupan. Hanya pada Allah dia merintih dan meluah, namun jiwanya di kuatkan Allah untuk tenang menghadapi masalah dan kesukaran.
Pada jiwa-jiwa yang tenang, dia sentiasa mengingati Allah saat lapang dan senangnya kehidupannya kerana dia yakin Allah lapangkannya saat dia susah dan perit dalam kehidupan. Allah sentiasa ada bersama kita, cuma terpulang kepada individu sama ada dia dapat merasakan kebersamaan dengan Allah atau tidak pada setiap masa dan ketika.
Kunci ketenangan adalah apabila kita sentiasa bersama Allah.
1. Khusyuklah dalam solat wajib.
2. Amalkan solat sunat ruatib sebelum dan selepas solat wajib.
3. Sentiasa amalkan qiam pada setiap malam, pada ketika ini bersama-samalah dengan Allah dalam solat sunat tahajjud, mohon lah keampunan dalam solat sunat taubat, rintihan dan luahan mu sangatlah istimewa di sisi Allah, bacalah qalamullah maka kita akan rasa tenang dan damai, berzikir lah kerana zikir itu dapat menghapuskan dosa dan menguatkan jiwa.
4. Amalkan solat sunat Dhuha walaupun hanya 2 rakaat. Kita akan rasa tenang apabila sentiasa berdamping dengan Allah.
5. Sentiasa membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran. Mengamalkan bacaan surah-surah penguat jiwa iaitu surah Yaa Sin, Al-Mulk, As-Sajadah, Al-Waqiah dan Al-Kahfi.
6. Membaca Mathurat setiap pagi dan petang serta zikir-zikir dan selawat pada setiap masa juga sebelum tidur.
7. Berbuat baik dan menghormati manusia.
Semoga sentiasa beramal kerana Allah serta istiqomah setiap hari. Moga kita sentiasa dalam keadaan tenang dan bahagia di sisi Allah, insya Allah. Nikmat itu tak dapat dirasakan dengan hanya menutur semata-mata, nikmat itu adalah untuk insan-insan yang benar-benar bersungguh-sungguh dalam berusaha mencari cinta dan ketenangan bersama Allah.
Saidina Umar Al-Khattab r.a pernah berkata :
Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina
Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka peroleh kebenaran."
(Quran, Al- Baqarah : 186)
Wallahua'lam.
slm..thanks akak entry bermanfaat ni..rasa berguna ..
esp time tgh tension posting n duduk jauh dr bilik sndr.,..huu..
wslm..same2.. semoga sama2 istiqomah dlm beramal..
=)
Jangan tension2..hargai n jd kan posting tu suatu prkara y menggmbirakan..
=)