• Cerita Abah

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa pun, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa."

    (Quran, An-nisa' : 36)

    Hari ini hari bapakah?? Ye la kot. Huhu. Pada saya setiap hari adalah hari kasih sayang untuk mak abah saya. Tak pe lah, terlanjur hari ni dikatakan hari bapa, maka saya teringin nak bercerita tentang abah saya.

    Saya sangat sayang abah saya sebab abah saya seorang yang penyayang dan sangat bertanggungjawab. Abah da mencecah 61 tahun. Abah seorang yang rajin dan sangat gigih bekerja. Al-maklum la, abah bukan daripada keluarga yang di katakan berada. Kata mak, abah belajar sampai tingkatan 3 je, tak sempat pun nak ambil peperiksaan akhir tingkatan 3 sebab family abah tak ada duit. Namun dari perwatakan abah, saya tahu abah sangat bijak dan punya masa depan yang cerah andai diberi peluang untuk belajar. 

    Sejak sekolah menengah lagi abah dah kerja. Abah kerja macam-macam. Abah pernah kerja dekat kedai makan. Mak kata, abah buat roti canai. Sebab tu abah pandai memasak. Abah pun pernah kerja memproses cili, jadikan cili lumat. Mesin cili tu masih ada kot kat umah saya. Kata mak, abah pernah jatuh sakit dan di masukkan ke hospital sebab terlalu kuat bekerja. Masakan tidak, abah perlu kuat bekerja untuk menyara hidup kami, 10 adik beradik. Tambahan pula, abah anak sulung dalam adik beradiknya. Atuk dan nenek sebelah abah lebih awal bertemu Allah. Maka, abahlah yang menyara adik beradiknya. Walaupun adik beradik abah hanya 4 orang, tapi abah ada adik beradik tiri dan semua dibawah tanggungan abah. Sebab tu adik-beradik tiri abah pun sangat sayangkan abah.

    Sejak saya ingat hinggalah abah bersara, abah kerja sebagai pemandu pengarah dekat Lembaga Pertubuhan Peladang. Abah pekerja yang rajin dan tak pernah mengabaikan agama dan anak-anaknya. Demi mencari rezeki lebih, abah selalu out station menghantar pengarahnya sama ada dalam daerah atau luar daerah. Setiap kali balik, abah tak pernah lupa untuk bawa balik sesuatu untuk anak-anaknya. Abah pernah dapat 3 kali berturut-turut anugerah pekerja cemerlang sebab abah seorang yang rajin dan gigih.

    Oleh kerana abah kerja dekat LPP, abah selalu dapat benih pokok-pokok. Benih dan anak pokok-anak pokok ni lah yang abah suka tanam dekat rumah. Abah dan mak rajin mengusahakan kebun. Pendek kata, abah sangat rajin, tak pernah mengeluh. Mak juga begitu, sedar tanggungjawab abah sangat besar dalam menyara hidup keluarga, mak pun gigih membantu. Mak lah yang banyak meluangkan masa di kebun sayur-sayuran. Mak kata, kalau tak jual pun sayur-sayuran ni, at least boleh buat juadah untuk keluarga. Mak pun rajin menternak ayam, itik. Telur ayam ni juga adalah sumber rezeki kami. Ayam yang sudah tua boleh disembelih dan di makan. Telur itik pula mak jadikan telur masin dan jual dekat kawan-kawannya yang nak. Mak pulak memang pandai memasak. Pada saya, mak seorang isteri yang sangat memahami seorang suami dan sangat menyenangi hati suami.

    Abah bukanlah bergaji besar tapi Alhamdulillah rezeki Allah sentiasa mencukupi untuk kami sekeluarga. Kalau difikir-fikirkan, bukan mudah untuk abah nak menyara kami 10 orang adik beradik, tambahan pula abah sentiasa memastikan anak-anaknya cukup keperluan pelajaran. Walaupun kehidupan kami susah tapi ia tidak menghalang untuk abah menghantar anak-anaknya belajar di universiti dan Alhamdulillah anak-anak abah semua berjaya. 

    Pada saya, bukan mudah untuk abah menyara anak-anaknya. Tambahan, kos belajar kan tinggi. Ketika abah saya menyekolahkan saya di sekolah rendah, dia juga yang menyekolahkan kakak saya di sekolah rendah juga, menyekolahkan abang dan kakak saya di sekolah menengah dalam masa yang sama menyekolahkan 2 orang kakak dan abang saya di peringkat universiti. Pinjaman pembelajaran atau biasiswa dulu tidaklah semewah kini, alhamdulillah abah berjaya juga memberi pelajaran kepada kami.

    15 tahun lalu, saya masih di sekolah rendah. Saya seringkali menemani abah ke pondok telefon untuk menelefon abang dan kakak saya yang berada di universiti. Abah, walaupun kuat bekerja tapi tak pernah mengabaikan anak-anaknya. Ketika itu, abang dan 2 orang kakak saya, ketiga-tiga berada di universiti yang saya jejaki hari ini, UKM. Bezanya, mereka bertiga di Bangi dan saya di KL. Abang saya mengambil jurusan fizik nuklear, kakak saya yang kedua mengambil jurusan mechanical engineering dan kakak saya yang ketiga mengambil jurusan Sains Bahan. Dan andai di ikutkan cita-cita saya, saya ingin mengambil jurusan engineering, itulah minat saya sebenarnya, bukan di bidang sains hayat ini.

    Apabila saya masuk sekolah menengah, Alhamdulillah, abang dan kakak saya sudah grad tetapi abang saya yang lain pula memasuki UTM dalam jurusan mechanical engineering. Alhamdulillah, abah ajar kami hidup tidak boros, malah zaman abang saya jauh lebih susah berbanding saya hari ini.

    Saya masih ingat, semasa mak melahirkan adik bongsu, mak jatuh sakit dan ditahan agak lama di wad. Abah lah yang sentiasa berulang alik ke hospital menjaga mak dalam masa yang sama menyediakan makan minum untuk saya dan adik beradik. Abah lah yang memasak sarapan pagi untuk kami.

    Walaupun abah sangat gigih bekerja, abah tak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada agama. Abah selalu bangun awal, selalu menunaikan solat Subuh di surau berdekatan dengan rumah. Bila abah bangun, abah pun akan kejutkan kami skali, abah ajar anak-anaknya bangun awal, mandi dan solat awal. Abah selalu solat dekat surau melainkan kalau abah balik lambat, maka kami akan solat berjemaah dengan abah di rumah. Abah pun selalu bangun qiam, buat solat tahajud dan baca Quran.

    Abah sangat sayangkan anak-anak dia terutamanya anak-anak perempuan. Abah sangat menjaga kami. Abah kurang gemar kami berkawan dengan lelaki, tapi tak bermakna abah marah melulu. Kalau abah tak suka, selalunya abah akan memberitahu mak dan mak akan memberitahu kami yang abah tak suka. Kami anak abah tak pernah pula nak bersangka buruk atau menganggap abah terlalu 'control' kami malah pada kami tindakan abah tanda abah sayang kami.

    Pernah dulu kawan lelaki satu kelas saya menelefon saya dan saya dapat lihat abah sudah menjeling kurang senang. Pernah juga saya keluar dengan abah dan terserempak dengan kawan lelaki satu kelas. Walaupun saya sendiri memang tidaklah bergaul rapat dengan lelaki hingga saya dititlekan sebagai 'anti lelaki' pada zaman sekolah, tapi saya masih tersenyum apabila bertemu kawan di luar. Pada masa itu saya menyedari ayah saya kurang senang dengan tindakan saya. Alhamdulillah, abah cemburu bertempat, tapi abah tak pernah marah atau menengking kami, kalau abah nak tegur, mesti abah tegur dengan baik. Abah jugak lah yang selalu puji tentang kebaikan saya.

    Sepanjang di sekolah, abah tidak pernah lupa untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah di sekolah saya. Walaupun abah sibuk, abah akan selalu tanya tarikh majlis penyampaian hadiah di sekolah saya, dan dia pasti akan meluangkan masa. Walaupun keputusan peperiksaan belum diumumkan, abah seolah-olah yakin saya akan mendapat hadiah. Thanks abah.

    Abah juga seorang yang teliti dalam setiap kerjanya. Abah sangat bagus, setiap kerja yang dibuatnya sudah pasti hasilnya sangat bagus. Kerjanya cermat, teliti dan kemas. Sifatnya ini seolah-olah tidak pula diturunkan kepada anak-anaknya yang 10 orang ini. Tapi cucu abah ada ciri-ciri teliti macam abah, anak saudara saya, Muhammad Affan, 6 tahun. Sometimes kami anak-anak abah pernah bersembang, 'bagus juga abah tak jadi bos orang, kalau tak mesti pening secretary dia layan cara abah bekerja." Haha. Buktinya..

    Kalau abah minta kami taipkan sebarang urusannya, ada-ada sahaja yang tidak kene sama ada dari segi tulisan, margin kiri dan kanan, atas dan bawah, paragraph atau jarak paragraph. Kami selalu pening dengan permintaan abah. Masa nak siapkan kad kawin kakak saya tahun lepas pun pening. Pening merangka pelan rumah memandangkan abah selalu tidak puas hati dengan kerja anaknya. Haih.

    Abah teliti orangnya. Abah selalu menolong mak di dapur. Pada suatu petang, mak buat agar-agar. Selalunya kami potong free hand saje, insya Allah agar-agar tu akan terpotong dengan cantik juga. Tapi kalau abah yang buat, abah akan mengambil pembaris kayu nya, dia akan potong agar-agar dengan di'guide' oleh pembaris dan size setiap potongan itu seharusnya sama. Dengan hasil kerja abah, kami selalu respect.

    Abah yang teliti tak pernah menyusahkan kami tetapi mengajar kami untuk jadi teliti juga dan berusaha membuat apa sahaja dengan hasil yang terbaik. Kami kadang-kadang malu sendiri memandangkan abah sangat lah bagus. Sebab adanya abah yang sangat teliti jugalah, mak saya sangat pandai memasak. Abah pakar rasa yang sangat profesional, sentiasa memberi komen membina supaya mak saya dapat menghasilkan masakan yang sangat bagus.

    Sekarang abah da bersara, abah banyak luangkan masa di rumah, kemas dan sapu halaman rumah dan yang pasti rutin dia adalah menanam dan menjaga tanaman-tanaman di kebunnya. Abah tanam timun batang, cili, kacang panjang, ubi kayu dan ubi keledek dan banyak lagi. Abah suka buat sendiri apa yang dia inginkan. Kalau abah nak tambah ruang rumah, abahlah yang menggaul simen dan menyusun bata. Dia jugalah yang 'design' sendiri bahagian rumah yang ingin di tambah. Abah ada bakat dalam melukis pelan. Pada pemerhatian saya, mungkin abah bercita-cita untuk menjadi arkitek kot. Tapi tak pe lah abah, walaupun abah tak berpeluang, anak abah kan ade sorang yang jadi interior designer. 

    Alhamdulillah, anak-anak abah semua berjaya berkat usaha dan doa abah dan mak. Abah juga yang tak sabar menanti kepulangan anaknya ini. =). Abah, kami sedar kami tak sebagus abah dalam beramal, tapi abah tahu kami berusaha untuk menjadi anak yang soleh dan solehah.

    Saya sangat sayang kan abah dan mak. Apa yang saya harapkan, sayalah anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan abah dan mak dunia dan akhirat. Moga Allah menempatkan abah dan mak di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah, tergolong dalam golongan ahli syurga.

    Mengingati pengobanan mak dan abah, tak lain dan tak bukan pasti saya akan menangis memikirkan betapa besarnya pengorbanan mereka. Ya Allah, jangan kerana dosaku, menghijabkan mereka ke syurgaMu.

    Ramai manusia hari ini dibibirnya meniti kata-kata sayang buat keluarganya, moga-moga tindakannya juga membuktikan dia memang menyayangi keluarga, bukan hanya di mata manusia, tetapi yang penting di mata Allah.

    Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya."

    (Quran, Luqman : 13-14)

    Wallahua'lam.

2 comments:

  1. assalamualaikum...saya tak pandai nak bercerita tentang abah saya, tetapi bila membaca tulisan kak zira membuatkan saya teringatkan abah dirumah. syukran atas perkongsian akak. zaman ibu bapa memberi yang terbaik tak pernah habis. Kena tanya pada diri, adakah kita sudah memulakan untuk memberi yang terbaik pada mereka?

  2. wa'alaikumussalam wbt Su..
    Afwan.. =)

    Tu la, bimbang sbnrnye kite jd anak y sgt berkira dgn mak abah sdgkn mak abah xpernah berkira untuk anak2 nya..

    Moga2 kite semua sntiasa beringat2..