• Islam Realiti Kejayaan

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

    (Abu Raihan Al-Biruni)

    "Kerana Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."
    (Al-Insyirah: 5-6)

    Memandangkan kebanyakan daripada pelajar-pelajar UKM KL bakal menempuh peperiksaan dalam masa terdekat ini, saya terpanggil untuk memberi sedikit perkongsian untuk diri sendiri yang sering memerlukan suntikan semangat juga untuk sahabat-sahabat.

    “ Keunggulan sesebuah tamadun terletak pada keunggulan akhlak umatnya ”

    Demikian menurut sebuah pepatah Arab.

    Kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang seorang tokoh ilmuan yang tidak asing lagi iaitu Abu Raihan al-Biruni atau lebih di kenali sebagai Al-Biruni.

    Abu Raihan Al-Biruni dilahirkan pada 15 September 973 M, merupakan seorang ahli matematik, astronomi, ahli fizik, cendekiawan, penulis ensiklopedia, ahli falsafah, ahli astrologi, pengembara, pakar sejarah, ahli farmasi dan guru yang banyak menyumbang kepada bidang matematik, falsafah, perubatan dan sains. Karya agung beliau ialah Rasa'll al-Biruni, sebuah ensiklopedia astronomi dan matematik.

    Kejayaannya yang terulung adalah menentukan musim pasang surut air laut, menentukan kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi, mencipta jam dan kalendar, mencipta rumus trigonometri dan mencipta alat menyukat ketumpatan.

    Dilahirkan di Uzbekiztan, Asia Tengah yang pada masa itu terletak dalam sempadan Kerajaan Parsi. Al-Biruni mempelajari matematik dan astronomi daripada Abu Nasr Mansur. Al-Biruni merupakan rakan pelajar kepada ahli falsafah dan pakar perubatan Ibn Sina, pakar sejarah, pakar falsafah, dan pakar etik (ethicist) Ibn Miskawayh, di universiti dan pusat sains yang ditubuhkan oleh putera Abu Al Abbas Ma'mun Khawarazmshah. Abu Raihan Al-Biruni juga mengembara ke India dengan Mahmud dari Ghazni dan menemani beliau dalam kempen ketenteraannya di sana, mempelajari bahasa, falsafah dan agama mereka dan menulis buku mengenainya.

    Dalam bidang matematik, Al-Biruni telah memperkenalkan teori dan amali aritmetik, penjumlahan siri, analisis kombinatorik, teori nisbah, definisi algebra, kaedah untuk penyelesaian persamaan algebra, geometri, teori Archimedes, dan pembahagian tiga sama sudut.

    Hasil kajiannya di luar bidang matematik termasuk kajian kritis mengenai sari pati agama dan falsafah India, kajian perbandingan kalendar-kalendar pelbagai budaya dan peradaban, jalinan maklumat matematik, astronomi dan sejarah, memahami Astrologi melalui buku soal-jawab matematik dan astronomi dalam bahasa Arab dan Persia, mengkaji bidang farmasi  mengenai dadah dan ubat, membuat kajian sejarah Mahmud dari Ghazni serta ayahandanya dan juga sejarah Khawarazm. Hasil karya Al-Biruni mencecah melebihi 120 buah kitab.

    Inilah salah seorang tokoh ilmuan Islam yang telah mencipta nama, membuktikan bahawa umat Islam boleh berjaya bukan hanya satu bidang, malah pelbagai bidang. Nama Islam begitu gah di mata dunia pada suatu ketika dahulu namun kegemilangannya semakin pudar dan hilang. Tetapi, tidak mustahil untuk umat Islam kembali bangkit dengan adanya golongan-golongan pemikir, golongan profesional hari ini yang memandu  hidupnya dengan mengamalkan prinsip-prinsip Islam yang sebenar.

    Bukan mudah untuk mencapai kejayaan terutamanya dalam banyak bidang tetapi ia tidak mustahil. Di sini, saya serta kan tip-tips untuk mencapai kejayaan. Tips-tips yang sebenarnya sudah diketahui oleh semua orang tetapi masih perlu di ingat-ingatkan.

    1. Berikhtiar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh
    Islam tidak mengajar umatnya hanya dengan duduk diam tidak berusaha apapun dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

    2. Tawakkal.
    Hati orang yang bertawakkal kepada Allah ini insya Allah akan kuat. Ia tidak dapat dipengaruhi bermacam prasangka buruk, dan juga tidak dapat digoncang oleh pelbagai peristiwa yang terjadi. Apa-apa yang berlaku dia redha dan terima. Dia yakin Allah akan menjamin sepenuhnya orang yang telah bertawwakal kepada-Nya dan yakin akan janji-Nya. Dengan sikap ini akan hilanglah kegusaran dan kegelisahan. Sesuatu kesulitan berubah menjadi kemudahan, yang berasa takut akan menjadi aman dan yang kesedihan menjadi kegembiraan. Insya Allah...

    3. Sabar

     4. Syukur.

    Inilah senjata utama setiap muslim dalam hidupnya. Sebahagian hidupnya mestilah diisi dengan rasa sabar terhadap pelbagai dugaan, cabaran dan masalah yang menimpanya dan selebihnya diisi dengan rasa syukur apabila datang nikmat daripada-Nya.

    Rasulullah s.a.w. bersabda,

    "Sungguh luar biasa urusan seorang mukmin itu, sesungguhnya setiap urusannya itu akan mendatangkan kebaikan untuknya. Bila ia mendapatkan kesenangan, dia bersyukur dan itu adalah kebaikan untuknya. Bila ia mendapatkan musibah, dia bersabar dan itu adalah kebaikan untuknya. Hal itu tidak diberikan untuk sesiapa pun kecuali untuk seorang mukmin.”
    (Hadis Riwayat Muslim)

    Teori Mukhtar juga menceritakan tentang tips-tips kejayaan. Teori ini terbahagi kepada 2 iaitu teori mukhtar pertama dan teori mukhtar kedua.


    Teori Mukhtar yang pertama ialah satu prinsip yang boleh diguna pakai oleh sesiapa sahaja, di mana saja dan bila-bila masa sahaja sepanjang menjalani kehidupan dunia sebagai seorang manusia amnya dan Muslim khususnya. Teori Mukhtar untuk kehidupan. Berdasarkan akronim M.U.K.H.T.A.R adalah seperti berikut:

    M = Mission

    U = Ummatic

    K = Knowledge

    H = Holistic

    T = Tarbiyyah

    A = Altruistic

    R = Rabbaniyyah

    Teori Mukhtar kedua pula ditujukan khas buat para pelajar dan mahasiswa untuk dijadikan sebagai panduan untuk menempah kejayaan dalam pelajaran dan peperiksaan.

    M = Matlamat yang jelas dan tepat

    U = Usaha yang tidak mengenal jemu

    K = Kesungguhan untuk berjaya

    H = Hero nan hebat

    T = Teknik dan strategi

    A = Altruistik dan akhlaq

    R = Religious conscious yakni berkesedaran agama yang tinggi.

    Ibnu Umar r.a. berkata:
    “Jika kamu berada di pagi hari, jangan menunggu petang, dan jika engkau di petang hari janganlah menunggu pagi hari. Ambillah persiapan saat engkau sihat untuk menghadapi masa sakitmu dan saat hidupmu untuk sesudah kematianmu”

    (Hadith Riwayat Bukhari).

    Latih diri dalam menjadi seorang insan yang istiqamah dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Antara cara-cara yang boleh dipraktikkan untuk menjadi seorang insan yang istiqamah dan secara tidak langsung, lebih berjaya dan disayangi yang Maha Esa adalah:

    1) Menjaga hubungan dengan Allah S.W.T
    Jagalah ibadat-ibadat wajib dan seelok-eloknya, perbanyakkanlah ibadat-ibadat sunat.

    2) Masukkan matlamat di dalam doa
    Mohonlah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar.
    3) Mulakanlah pekerjaan dengan berdoa
    Mulakan belajar dengan berdoa dan seelok-eloknya, duduk menghadap ke arah kiblat.

    4) Berterusan dalam mencari ilmu
    Hal ini kerana, ianya dapat memberi semangat kepada diri untuk terus berusaha.

    5) Amalkanlah perkara-perkara yang boleh mendapat hidayah Allah S.W.T
    Contohnya, solat berjemaah, membaca Al-Quran dan saling memaafkan serta kasih-mengasihi sesama manusia.

    6) Kenali diri
    Ubah sikap-sikap yang negatif kepada positif.

    7) Menolong insan lain untuk berjaya
    InsyaAllah, Allah akan pula menolong kita untuk berjaya. Allah akan menolong hamba-hambaNya selagi mana hamba-hambaNya menolong antara satu sama lain.

    8) Iklankan matlamat
    Tampal atau tulis matlamat tersebut dipapan kenyataan tempat belajar kita, agar dapat dibaca selalu, seterusnya dapat mengingatkan diri dan memberi semangat untuk kita terus berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.

    Allah sayang akan hamba-hambaNya yang istiqamah di dalam pekerjaan. Janganlah berputus asa dengan rahmat Allah.
    “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan Tuhan kami adalah Allah, kemudian,mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tiada (pula) berduka cita.”
    ( Surah Al-Ahqaaf: 13)

    Berusaha sebaik mungkin dan kemudian bertawakallah kepada-Nya. Istiqamah dalam pekerjaan dan berjuanglah selagi masih ada peluang yang diberikan. Kuatkan semangat. Apa yang penting adalah usaha dan tawakkal, insyaAllah kejayaan yang dicari-cari selama ini mampu dimiliki.

    "Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkal lah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal.

    Surah Ali-Imran : 159

    p/s: Dasar pendidikan nasional hari ini bukanlah dasar pendidikan yang berteraskan Islam tetapi telah memisahkan antara pendidikan dan Islam. Ketidakseimbangan elemen pendidikan antara aspek rohani, jasmani dan akal melahirkan individu yang dulu, kini dan selamanya mencetuskan masalah kepada masyarakat dan negara. Pelbagai resolusi telah dibentangkan namun setiap usaha menemui jalan buntu selagi terus-menerus memisahkan agama daripada pendidikan. Penyelesaiannya hanya 1, kembali kepada Islam.

    Wallahua'lam..


2 comments:

  1. yona said...

    alhamdulillah..ade smgt sket=)thanks kak zira, smoge akk n saye berjaye dunia akhirat=)

  2. afwan yona..
    Insya Allah
    :)