"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada Ku."
(Quran. Az-Zariyat : 56)
Andaikan 3 individu berbeza meminjam sebiji pinggan daripada kita. Selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan. Lalu kita pun terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya.
Individu kedua pula memulangkan pinggan tersebut dlm keadaannya yang masih kotor; tidak berbasuh. Pinggan tersebut akan kita basuh sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yang sepatutnya.
Individu ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah berkecai. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahu pun serpihan kaca. Tiada nilainya lagi. Kita tiada pilihan lain selain memasukkannya ke dalam tong sampah.
Begitulah jua halnya dengan Allah Taala. Jika kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan terus meletakkan kita di tempat yang baik dan tempat yang selayaknya bagi kita iaitu syurga.
Namun jika kita kembali ke hadratNya dalam keadaan kotor dengan dosa, Allah akan 'basuh' kita sebersih-bersihnya di dlm api neraka sebelum memasukkan kita ke dalam syurga..
Tetapi jika kita kembali kepadaNya dlm keadaan yang rosak imannya, sehingga tidak dapat dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah tidak akan teragak-agak unttk menghumbankan kita ke dalam neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yang pecah, tiada nilai lagi.
Ibnul Qayyim Rahimahullah ada menerangkan tahap-tahap menuju wahana cinta kepada Allah dalam kitab beliau iaitu Madarijus Salikin. Antaranya adalah :
1) Membaca al-Qur’an dengan merenung dan memahami kandungan maknanya sesuai dengan maksudnya yang benar.
Ibnu Sholah pernah menyatakan:
“Membaca Al-Qur’an merupakan kemuliaan, dengan kemuliaan itu Allah ingin memuliakan manusia di atas makhluk lainnya. Bahkan malaikat pun tidak pernah diberi kemuliaan seperti itu, malah mereka selalu berusaha mendengarkannya dari manusia”.
2) Mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat setelah mengerjakan ibadah-ibadah wajib.
Orang yang menunaikan ibadah-ibadah fardhu dengan sempurna mereka itu adalah yang mencintai Allah. Sementara orang yang menunaikannya kemudian menambahnya dengan ibadah-ibadah sunat, mereka itu adalah orang yang dicintai Allah. Ibadah-ibadah sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah, diantaranya adalah solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, sedekah sunat dan amalan-amalan sunat dalam haji dan umrah.
3)Terus-menerus mengingat Allah (zikir) dalam setiap keadaan, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya.
Kadar kecintaan seseorang terhadap Allah bergantung kepada kadar zikirnya kepada Allah. Zikir kepada Allah merupakan syiar bagi mereka yang mencintai Allah dan orang yang dicintai Allah.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Sesungguhnya Allah aza wajalla berfirman :”Aku bersama hambaKu selama ia mengingatKu dan kedua bibirnya bergerak (untuk berzikir) kepadaKu”.
4) Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri walaupun dikuasai hawa nafsunya.
5) Merenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah.
6) Memerhatikan kebaikan, nikmat dan kurnia Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat lahir mahupun batin akan membawa kita kepada cinta hakiki kepada-Nya.
Tidak ada pemberi nikmat dan kebaikan yang hakiki selain Allah. Oleh sebab itu, tidak ada satu pun kekasih yang hakiki bagi seorang hamba yang mampu melihat dengan mata batinnya, kecuali Allah SWT. Sudah menjadi sifat manusia, ia akan mencintai orang baik, lembut dan suka menolongnya dan bahkan tidak mustahil ia akan menjadikannya sebagai kekasih. Siapa yang memberi kita semua nikmat ini? Dengan menghayati kebaikan dan kebesaran Allah secara lahir dan batin, akan membawa rasa cinta yang mendalam kepadaNya.
7) Menghadirkan hati secara keseluruhan (total) semasa melakukan ketaatan kepada Allah dengan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya inilah yang disebut dengan khusyu’.
Hati yang khusyu’ tidak hanya dalam melakukan solat tetapi dalam semua aspek kehidupan ini, dengan ini ia boleh membawa kita kepada cinta Allah yang hakiki.
8) Menyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir.
Di saat itulah Allah SWT turun ke dunia dan di saat itulah saat yang paling berharga bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan beribadah dan bermunajat kepada-Nya serta membaca kalam-Nya (Al Quran) dan solat malam agar mendapatkan cinta Allah. Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya.
9) Bergaul dengan orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para siddiqin.
10) Menjauhi segala sebab yang dapat menghalang komunikasi antara dirinya dengan Allah SWT.
Semoga kita sentiasa mendapatkan cinta Allah, itulah yang seharusnya dicari setiap hamba dalam setiap degup jantung dan setiap nafasnya.
Ibnul Qayyim mengatakan bahawa
"kunci untuk mendapatkannya adalah dengan mempersiapkan jiwa (hati) dan membuka mata hati."
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubat lah kepada Allah dengan taubat semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan mu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengannya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata, "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah cahaya kami dan ampunilah kami, sungguh Engkau Maha berkuasa atas segala sesuatu."
(Quran, At-Tahrim : 8)
Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment