Assalamu'alaikum wbt
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang
"Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung."
Dalam hidup ini, kita seringkali di uji. Ujian itu kadang-kadang mudah untuk kita lalui, berlapang dada dan redha. Terkadang dugaan itu terlalu berat untuk dipukul sehingga kalah dengan air mata dan tangisan. Namun masih lagi kita kuatkan hati untuk berlapang dada dan redha dengan ketentuan Ilahi kerana keyakinan bahawa segala-galanya tersedia untuk kita penuh hikmah sama ada kita sedar mahupun hanya Allah yang mengetahui.
Kadang-kadang kita diuji dengan ujian yang sama namun masih lemah untuk menanganinya, masih gagal melaluinya. Untuk sebuah kejayaan, kita bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah agar berikan sebuah kejayaan kepada kita, namun Allah tidak memakbulkan doa kita atau melambatkan sebuah kejayaan. Lalu Allah menguji kegagalan secara berulang kali sehinggakan kita tak mampu lagi untuk bertahan melainkan tangisan. Kita cuba untuk kuatkan diri, mengajar diri untuk terus berlapang dada, redha dengan ketentuanNya, pasrah dengan jalanNya, yakin dengan janjiNya. Moga-moga benteng iman masih berdiri teguh dan utuh, moga kekuatan dan semangat tidak berhenti di tengah jalan, moga-moga putus asa tidak mampu menembus dinding hati dan iman.
Namun, segala-galanya bukan hanya mudah dengan kata-kata, yang menanggung sangat perit terasa. Ajarlah diri untuk bersyukur. Bersyukur dengan nikmat Allah yang masih banyak kita peroleh sama ada kita sedar mahu pun tidak. Janganlah hanya sebuah kehilangan dan kegagalan, kita nafikan segala nikmat-nikmat Allah yang lain. Sungguh kita hamba Allah yang sangatlah kurang bersyukur. Ramai lagi insan yang kekurangan, tetapi mereka masih gembira dan bahagia, kerana pada mereka ada keyakinan yang tinggi kepada Allah, kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah dan yang pasti, hati mereka tenang dan bahagia kerana hanya pada Allah ada bahagia dan ketenangan.
“(Iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenang.”.
(Quran, Ar-Ra'd : 28)
Yakinlah dengan kuasa Allah, bahawa sesungguhnya Dia yang menentukan segala-galanya. Sesuatu keputusan bukanlah di tangan manusia, tetapi Allah berkuasa dan menguasai hati-hati manusia.
“Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang mukmin) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya.”
(Hadis Riwayat Muslim : 7425).
Wallahua'lam.
p/s : Moga-moga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa sabar dan bersyukur atas nikmat kurniaanNya yang tak terhingga banyaknya. Renungkanlah kembali. Entry-entry sebelum ni seolah-olah saya bukan lagi manusia yang ada perasaan, segala-galanya kaku. Moga mainan perasaan sedih yang datang tidak meruntuhkan iman yang lemah ini.
0 comments:
Post a Comment