• Sucikan Hati

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang


    "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah."

    (Quran, Al-Baqarah : 188)


    Saya membelek kembali nota-nota syariah, nota muamalat yang pernah saya pelajari. Tidak puas dengan jawapan yang ringkas, ragu-ragu masih bersarang dalam diri. Lalu saya membuka buku intipati ihya' Ulumuddin Pengajaran Bagi Orang-Orang Mukmin, Imam Ghazali oleh Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Dimasqi, sebaris demi sebaris saya baca. Akhir-akhir ini kerap kali saya bedah buku ini apatah lagi apabila keraguan seolah-olah tidak hilang.

    Pada saya perasaan ragu-ragu akan timbul apabila sesuatu perkara yang kita lakukan itu adalah dosa. Hati yang bersih pasti mudah untuk menerima cahaya petunjuk Ilahi, hatinya pasti tidak terhijab. Hati yang kurang tenang pasti ada petandanya. Teringat satu ayat dari teman saya:

    Cermin yang bersih dan bersinar, jika kita lihat ke dalamnya dan tiba-tiba pula ada jerawat baru di wajah kita, kita pasti nampak. Kita bolehlah picit ke, letak T3 ke,Tapi Jika cermin itu kotor dan berhabuk, kita lihatlah ke dalamnya, ada jerawat 5 biji baru naik pun susah untuk dilihat. Jadi payahlah untuk kita mengesan kekotoran di wajah.

    Cermin itu ibaratnya hati, jerawat itu ibaratnya dosa. Hati yang bersih, nak detect dosa pun senang walaupun dosa itu hanyalah dosa kecil. Tapi hati yang kotor pula sangat susah untuk detect dosa, buat banyak dosa pun tak rasa apa-apa.

    Apa yang saya kaji sebenarnya?? HARTA. Ya, itulah yang sedang saya kaji dan fahami. Saya seringkali bimbang andai saya terambil harta orang lain, bimbang andainya saya tidak melunaskan hutang kepada insan-insan yang saya pernah berhutang, janji yang pernah saya lafazkan. Perkara ini bukan suatu yang remeh. Memakan harta yang haram, ia akan menjadi darah daging kita. Segenap isi tubuh kita membenih dan membesar dengan harta yang haram.

    “Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka lebih utama untuknya.”

    (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

    Telah ditegaskan oleh Allah supaya makhluknya memakan makanan yang halal dan baik. Makanan membentuk hati kita, membentuk akhlak kita, penentu kekusyukan ibadah dan penentu sama ada ibadah kita diterima oleh Allah atau tidak.

    “...makanlah dari benda yang baik lagi halal dan kerjakan amal-amal soleh...”

    (Quran, Al-Mukminun : 51)

    “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka, dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

    (Quran, An-nisa' :10)

    Berusaha menjadi seorang insan yang matang, saya kerap kali memikirkan tentang kehidupan. Saya menilai diri dan keluarga saya, Alhamdulillah, saya yakin mak dan ayah saya juga menyuap kami adik-beradik dengan makanan yang halal, insya Allah baik. Mak selalu ajar untuk kami tidak berhutang, andainya berhutang, segera membayarnya walaupun nilainya sangat kecil di mata orang lain, tetapi ia tetap akan menjadi darah daging andai di ambil secara haram.

    Mak sentiasa berpesan juga supaya menyegerakan pembayaran hutang walaupun dengan hutang yang terbayar akan menyebabkan kami tidak berduit. Tidak berharta itu lebih mulia berbanding dengan berhutang dan kita sendiri tidak tahu bilakah kita akan meninggalkan dunia ini, jangan sampai hutang yang sedikit apatah lagi besar menghijabkan kita untuk mendapat rahmat dari Allah untuk ke syurgaNya.

    Sejak dua tiga bulan ini, saya kerap kali merangka kehidupan saya. Apa yang saya bimbang adalah ketelusan harta yang saya cari. Saya bimbang harta itu melalaikan saya, merosakkan jiwa saya, merosakkan kehidupan keluarga dan anak-anak saya akan datang. Saya sendiri tidak dapat meyakinkan diri saya adakah saya boleh memastikan ianya halal 100%. 

    Walaupun begitu, Alhamdulillah pembelajaran saya tentang sistem muamalat dan perbankan suatu ketika dulu membantu untuk saya memahami Islam dengan lebih baik, moga-moga Allah memudahkan saya untuk mengamalkannya. Moga Allah tidak menghijabkan saya dari petunjuk dan cahayaNya. Tetiba rasa rindu bertandang untuk menyambung lagi pengajian modul 3 Syariah, saya hanya sempat mengambil modul 1 dan 2 sahaja.

    Rasulullah s.a.w pernah menyebut perihal seorang yang sangat tamak dan rakus terhadap dunia:

    “Ada seorang yang kusut masai, berdebu serta sentiasa mengembara, makanannya adalah makanan yang haram, pakaiannya adalah pakaian yang haram, dibesarkan dengan harta yang haram. Lalu ia mengangkat kedua tangannya sambil mengucapkan “ Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!” Bagaimanakah orang yang sedemikian itu dapat dikabulkan permohonannya?”

    (Hadis riwayat Muslim)

    Abu Bakar As-Siddiq r.a pada suati hari minum seteguk susu yang diperolehi oleh seorang dari hamba sahayanya hasil dari tenungannya. Kemudian, apabila selesai minum, Abu Bakar pun bertanya, dari mana dia memperolehi susu tadi. Hamba sahayanya menjawab, “ Saya memberikan ramalan(tenungan) kepada suatu kumpulan manusia, lalu sebagai upahnya saya diberikan susu itu.”

    Mendengar jawapan itu beliau segera memasukkan jarinya ke dalam mulut dan berusaha agar susu tadi di muntahkan. Setelah memuntahkan beliau r.a lalu berdoa, “Ya Allah! Hamba mohon kebebasan padamu dari makanan yang telah di bawa oleh urat-urat tubuh serta yang sudah bercampur aduk di dalam perut.

    Mengambil suatu yang haram juga akan merosakkan akhlak. Teringat novel yang pernah saya baca sekitar 5 bulan lepas, “Di Sini Kami Berteduh”, novel yang banyak menyelitkan unsur-unsur tarbiyyah. Di ceritakan dalam novel ini perihal sikap anak yang suka mencuri atas sebab pengambilan harta/makanan yang haram oleh bapanya. Saya punya impian yang besar dalam mendidik anak-anak saya kelak dan saya sangat bimbang saya mungkin akan menyuap mereka dengan makanan yang syubhah dan makanan yang haram.

    Kenapa saya sangat teruja untuk baca dan study balik soal ini adalah disebabkan ada suatu peristiwa yang terjadi hari ini, dan sejak 2/3 hari ini saya sangat terfikir tentang patutkah? Bolehkah? Kenapa boleh? Kenapa tidak boleh? Saya bimbang andainya saya mengatakan boleh pada perkara yang tidak boleh atas sebab ketamakan dan syaitan menguasai hati. Saya mengharapkan setiap yang saya lakukan mendapat keberkatan dari Allah, dan saya pasti akan tenang melalui hari-hari kehidupan.

    “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”

    (Quran, Al-Baqarah : 278)

    Wallahua'lam.

    P/s : Sejak balik Terengganu ni, saya rasa ada kesukaran dalam berkomunikasi. Saya terbiasa bercakap luar berbanding loghat terengganu. 3 hari lepas terserempak dengan kawan, rasa sangat tak best bila lidah saya salalu bertutur bahasa yang agak baku, terbelit-belit menutur loghat terengganu. Haih. 2 hari lepas, saya menyesaikan beberapa urusan lapor diri. Pergi ke hospital kuala terengganu untuk medical checkup, saya terbiasa dengan bahasa luar sehingga banyak kali saya ketuk kepala saya sebab terlupa menggunakan loghat negeri sendiri. Pagi tadi jumpa kawan sekolah rendah, saya still banyak guna bahasa luar, saya rasa xbest, xsedap hati dan sedih dengan diri saya. =(. Saya anak jati terengganu, kena guna loghat terengganu..huhu

0 comments: