• Anakku Hebat Anakku Soleh

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang


    "Pilihlah isteri yang beragama supaya kamu selamat."
    (Riwayat Bukhari dan Muslim)


    Satu buku lagi yang sempat saya beli 2 hari lepas selepas sudah lama memerap di bilik atas desakan perkara yang lebih memerlukan. Buku dan entry kali ini saya labelkan sebagai 'kekeluargaan' untuk mengelakkan di salah tafsir sebagai isu perkahwinan. Haha. (Maaf). Awal-awal lagi saya memang sudah berazam untuk membeli sebuah buku yang bersifat kekeluargaan. Alhamdulillah, matlamat tercapai. 

    Buku ini karangan Ustaz Hj. Zahazan Mohamed keluaran Telaga Biru. Buku ni sangat menarik sebenarnya kerana buku ni penuh grafik-grafik yang berwarna dengan susunan penulisan yang tidak membosankan pembaca. Menarik. Buku ni tak de la tebal sangat, dalam 200 muka surat je dan sesuai untuk semua golongan terutamanya yang nak buat persiapan untuk kawen dan yang nak kawen..(Jeda kene beli buku ni, haha).

    Dalam buku ini diajar kepentingan dan cara mentarbiah anak, tanggungjawab mendidik generasi, bagaimana membentuk minat dan kemahiran anak-anak, pergaulan dengan anak-anak, wasiat dan doa pilihan untuk anak dan banyak lagi. Untuk pengisian bersama, saya suka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat untuk manfaat Islam, untuk bina generasi soleh/ah. :)

    Peringkat pentarbiyahan anak-anak boleh dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu sebelum 2 tahun, 2 hingga 5 tahun dan 5 tahun hingga 12 tahun.
     
    Peringkat sebelum 2 tahun, azankan di telinga kanannya, iqamah di sebelah telinga kirinya. Selain itu berilah nama yang baik, mengkhatankannya, menyayanginya, menyusukannya, tidak memukulnya, dan menggalakkan adab-adab yang baik.

    Bagi peringkat 2 hingga 5 tahun, kanak-kanak suka bergerak, meniru dan mereka cipta melalui eksperimen di samping berusaha menarik perhatian orang lain. Mereka juga berusaha memerhati keadaan sekelilingnya dan mencari sebabnya. Peringkat ini memerlukan ibu bapa atau sesiapa sahaja untuk menerangkan kebenaran dan kesalahan tanpa mengira masa dan keadaan. Kanak-kanak seusia ini perlu kepada kasih dan penghargaan daripada ibu bapa, ketenangan dan keamanan, mengasah kemahirannya, budi bicara yang baik dan tunjuk ajar yang bijaksana. Islam menyeru ibu bapa menekankan pendidikan iman kerana kanak-kanak pada usia ini banyak bertanya tentang cara kewujudannya, gambaran tentang tuhannya. Asuhlah mereka mencintai Al-Quran, keluarga Nabi dan sahabat-sahabat.

    Pada peringkat umur 5 tahun hingga 12 tahun, ia adalah zaman penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak. Pada peringkat ini, mereka mula menilai dan melihat realiti. Suruhlah anak menunaikan solat dan mereka mesti dipukul jika tidak bersolat.

    Al-Qobsi menyebut :
    Mengajar anak-anak bersolat dan berwudu' dan membiasakan mereka membuatnya akan meringankan kesusahan bersolat ke atasnya apabila sampai usia wajib menunaikan solat. Apabila mengajar anak solat, mereka juga perlu diajar membaca al-Quran untuk dibaca dalam solatnya sendiri.

    Sahnun berkata :
    Perlu ajar anak-anak wudu' dan solat kerana ianya adalah agama mereka. Perlu diajar tentang bilangan rakaat, sujud, bacaan dalam takbir, cara duduk, ihram dan perkara-perkara solat yang lain.

    Ibnu Khaldun dalam kitabnya menyebut :
    Al-Quran adalah ilmu pertama yang perlu dipelajari oleh anak kerana mempelajari al-Quran akan menguatkan iman.

    Pada peringkat umur ini, kanak-kanak mula berfikir tentang Allah dan yang berkaitan dengan benda-benda ghaib dan mereka akan merasa tenang apabila mempelajarinya. Pada usia ini, ibu bapa perlu mengajarkan mereka tentang adab-adab, melatih mereka menutup aurat, melatih untuk menghormati orang tua, melatih mereka solat, membaca al-Quran dan mengizinkan mereka bermain selepas menyiapkan kerja-kerja sekolah. Ajarlah mereka untuk membantu meringankan bebanan rumah tangga seperti mengajarkan mereka membantu kerja-kerja di dapur, melipat pakaian, mengemas bilik tidur, membasuh kasut sekolah dan mengemas diri sendiri. Jadikanlah mereka sebagai teman yang boleh membantu kita, bukan untuk membebankan mereka tetapi mengajar mereka tentang kehidupan.

    Adakah sahabat-sahabat sudah bersedia mendidik kanak-kanak??? Sahabat-sahabat, menghantar anak-anak ke pusat jagaan kanak-kanak bukanlah satu idea yang baik dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak. Ia seolah-olah melarikan diri dari tanggungjawab. Inilah satu perkara yang sangat penting pada saya untuk difikirkan memandangkan kebanyakan wanita hari ini mempunyai kerjaya masing-masing. Kerjaya hanyalah sekadar membantu suami dalam meringankan bebanan suami tetapi menjaga, mendidik dan mengasuh anak-anak menjadi kewajipan kepada wanita-wanita. Mana yang harus dipilih, perkara wajib atau perkara sunat. Saya sendiri merasakan perkara ini sangat susah untuk difikirkan. Dengan adanya sikap bertanggungjawab kedua-dua belah pihak, insya Allah masalah-masalah boleh diselesaikan.

    Pada pendapat saya, tidak ada kesalahan untuk kita membaca buku sebegini. Mungkin sejak akhir-akhir ini saya seringkali mengeluarkan entry-entry tentang perkahwinan dan kekeluargaan. 

    Sahabat-sahabat sekalian, saya berpendapat, bukan mudah untuk kita menjadi seorang suami/isteri ibu/bapa. Persediaan adalah amat penting bagi membina sebuah keluarga muslim yang berjaya memperoleh keredhaan Allah. Menyediakan diri pada waktu seusia ini bukan lah bermaksud saya akan berkahwin pada keesokkan hari, atau minggu ini atau tahun ini atau pada waktu yang terdekat ini. Tetapi pada saya institusi kekeluargaan sangat penting dan sangat besar tanggungjawabnya. Persediaan yang rapi adalah amat perlu. 

    Menyentuh soal akhlak remaja, muda mudi, kanak-kanak masa kini yang terlalu jauh menyimpang agama Islam, walaupun pelbagai faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini, saya berpendapat, kegagalan sesebuah institusi kekeluargaan merupakan faktor teratas yang menyebabkan pelbagai masalah sosial hari ini. Adakah saya terlalu muda untuk berfikir sejauh ini??? Saya rasa tidak. 

    Saya dan sahabat-sahabat semua yang diberi kelebihan oleh Allah untuk berfikir masa depan generasi kita semua seharusnya bertindak seawal mungkin. Walaupun buku ini diberi tajuk anakku, tetapi masih boleh di aplikasikan untuk adik-adik kita dan juga anak-anak saudara, insya Allah, didiklah mereka berlandaskan agama Islam, insya Allah akan bahagialah kehidupan mereka. Hadis yang saya bawakan kali ini di permulaan dan pengakhiran entry adalah perkara asas dalam membina rumah tangga muslim. Suami soleh, isteri solehah. :)

    "Jika datang pada kamu lelaki yang kamu redha agamanya (keimanannya) dan akhlaknya, maka kahwinkahlah dia dengan anakmu."
    (Riwayat Tarmizi)

    Wallahua'lam.

4 comments:

  1. salam zira.
    "Menyediakan diri pada waktu seusia ini bukan lah bermaksud saya akan berkahwin pada keesokkan hari, atau minggu ini atau tahun ini atau pada waktu yang terdekat ini."
    setuju dgn pendapat dan pandangan zira...saya rasa, saya perlu ambik tahu sebab saya ada adik yg masih kecik dan sangat risaukan perkembangan dia yang makin hari makin lasak. sbg org dewasa, kdg2 kita xdpt faham tingkahlaku dia kalau kita tak perhalusi cara berfikir dan selami perasaan dia sebagai sorang budak kecik...

  2. salam az-zahidah..
    Btul tu, dalam membentuk generasi muslim yang berjaya dan cemerlang, pendidikan persekitan amat penting. Ibu bapa yang menjadi pendidik utama mereka..Namun, kite sebagai kakak, atau ibu saudara kpd anak buah, atau jiran2 ke memainkan peranan y penting..

    Mendidik mereka bkn sebulat-bulat hanya diletakkan pd ibu bapa..Kite semua lah pembantu2 y boleh mendidik jiwa mereka..Ini jge tanggungjawab kite..

  3. betul tu...macam nak membina rumah, tak cukup dengan tapak dan atap jer. kena ada tiang, dinding, lantai, simen...saling melengkapi...mcmana ibubapa kita mendidik kite dlu, kte pun kne tunjuk contoh yg baik utk bantu ibubapa didik adik2 pulak...

  4. Waa, bgus2.. kite same2 menyediakan diri nmpknye..hehe..

    syukran ats komen y menarik dan analogi y sgt bgus..