• Dia Bukan Untukmu

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang



    "Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah manusia berbuat yang maaruf dan cegahlah mereka yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting."
    Luqman : 17

    Dalam hidup ini kita seringkali merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang terlepas dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai, kenyataan yang tidak selari dengan harapan.

     

    Sesungguhnya sangatlah beruntung sekiranya dalam saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkah kaki menuju ke majlis-majlis ilmu, majlis-majlis dzikir yang akan membawa kepada ketenangan jiwa.

     

    Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar berbagai keinginan. Dan hakikatnya manusia diciptakan mempunyai kehendak, mempunyai keinginan. Tetapi tidak semestinya apa yang kita inginkan terbukti di depan mata, tidak semestinya apa yang kita mahu tercapai, tidak juga mudah untuk kita sedar bahawa sesuatu yang bukan hak kita, tidak perlu kita tangisi.

     

    Ramai orang yang berjaya, malangnya mereka lupa bahawa itu semua pemberian Allah lalu mereka bertindak sombong dan bangga diri. Begitu juga kegagalan, kita sering tidak menghadapi dengan sabar. Sedangkan dimensi tauhid dari kegagalan adalah lebih indah dan lebih membawa kita dekat denganNya.



    Apa yang dijanjikan kepada kita di dunia seperti rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti akan Allah sampaikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, ia tetap tidak akan menjadi milik kita, walaupun  ia nyaris menghampiri kita, atau juga kita bermati-matian mengusahakannya.

    Demikian juga bagi insan yang memikirkan tentang jodohnya. Kadang-kadang kita tidak menyedari ketentuan Allah tentang jodoh kita. Kita melakukan solat sunat istikharah untuk memohon Dia memberi yang terbaik untuk kita bukan menjadi penentu keputusan dan kehendak sendiri. Ringkasnya, kita memohon dia untuk kita "yang pentingnya harus dia Ya Allah! Harus dia, kerana aku sangat mencintainya." Seakan kita yang menjadi penentu segalanya, kita meminta dengan paksa. Dan andainya Allah memberikannya maka tidak semestinya ia yang terbaik. Boleh jadi Allah memberikannya bukan dalam kelembutan, tapi melemparkannya dengan marah kerana niat kita yang kotor.


    Maka wahai jiwa yang sedang gundah, dengarkan ini dari Allah:


    "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."
    Al-Hadiid: 22-23

    Wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam kesedihan berpanjangan terhadap apa-apa yang luput darimu, bukan milikmu. Kita seharusnya berfikir bahawa apa-apa yang kita rasa perlu di dunia ini harus benar-benar perlu, selaras dengan tuntutan dan harapan untuk kebahagiaan di akhirat. Sesungguhnya seorang mu'min tidak hidup untuk dunia, tetapi menjadikan dunia sebagai jalan bahagia untuk hidupnya di akhirat kelak.

    Maka cukuplah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

    "boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
    Al-Baqarah : 216

    p/s : buat teman ku, jangan sedih-sedih.





0 comments: