• Selamat Hari Lahir Buat Ibu

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang




    “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
    Al-Israa : 23-24

    Hari ini merupakan hari kelahiran ibuku. Ulang tahun ke 54. Seketika tadi sempat juga ku luangkan sedikit masa untuk menelefon ibu yang berada di kampung. Bertanya khabar tentang kesihatannya. Rasa rindu mencengkam kalbu. Setiap kali bercakap dengan ibu, terasa bersalah kerana terlalu jarang meluangkan waktu untuk bersama-sama keluarga. Namun, aku sangat bersyukur, mempunyai seorang ibu yang sangat memahami kesibukan anaknya, sangat berfikiran positif dan terlalu yakin dengan anaknya ini. Aku tidak akan sesekali mempergunakan keyakinan ibu kepada ku.

    Lalu ku luahkan kepada ibuku, aku ingin pergi ke Genting pada hujung minggu ini, pergi bersama-sama teman. Alhamdulillah, ibuku membenarkan walau pun ibu tahu aku selalu ke hulu ke hilir mengisi ruang hujung minggu ku. Lalu aku meletakkan harapan buat ibu, untuk aku pulang ke kampung pada cuti Tahun Baru Cina nanti, itulah azam ku, tambah pula aku ingin sekali bertemu dengan anak saudara ku yang baru melihat dunia di akhir bulan 12 hari tu. Nurul Jannah. Moga dia membawa cahaya yang bersinar menerangi jalan buat kami sekeluarga untuk ke syurga Mu.

    Apakah makna hari kelahiran sebenarnya??? Dahulu, pada ku, hari kelahiran adalah hari kegembiraan. Hari yang meriah, hari yang istimewa, hari yang perlu disambut tidak kira dengan juadah-juadah dan hidangan, hadiah-hadiah, kad-kad ucapan mahu pun, kata-kata ucapan selamat. Namun, aku disedarkan dengan kata-kata seorang teman, seorang sahabat yang pada ku dia insan istimewa. Dia telah menyedarkan aku apa erti sebenar hari kelahiran. Pada ketika itu, aku berumur 21 tahun. Lalu ku kirimkan mesej kata-kata ucapan selamat hari lahir kepadanya, dalam mesej itu, terdapat bintang-bintang dan bulan-bulan bergabung menjadi sebuah belon yang besar. Di dalam nya terdapat sebaris kata iaitu "selamat hari lahir". Bintang-bintang dan bulan-bulan menggambarkan keceriaan menyambut hari kelahiran. Itu lah persepsi ku dulu tentang hari kelahiran. Lalu dia kirim kan buatku baris-baris ayat berbentuk tazkirah membawa maksud hari kelahiran adalah hari yang dekat dengan kematian.

    Hati ini benar-benar terjerut di ketika itu. Seolah-olah leher ku berada di tali gantung. Aku benar-benar terkedu dengan mesej itu, bukan terasa dalam erti kata marah, tetapi 'terasa' dalam erti kata keinsafan. Alhamdulillah Ya Allah, kerana Engkau sedarkan aku, Engkau kirimkan seorang teman perantaraan antara aku dan Engkau. Hinakan aku, hidup 21 tahun tetapi tidak pernah tahu apa erti hari kelahiran. Dunia memang melalaikan aku.

    Doa ku buat ibu, moga meningkatnya usia ibu, meningkat juga keimanan dan ketaqwaan ibu kepada Allah. Terima kasih buat ibu yang telah melahirkan aku dan adik beradik ku, tidak pernah diluahkan rasa penat melahirkan kami semua. Tidak pernah juga ibu meluahkan rasa penat menjaga kami semua ketika kami masih kecil. Tidak pernah ibu meluahkan rasa penat menjaga kami di zaman persekolahan kami, di saat kami sakit dan demam, dan di sepanjang hidupnya ibu bersama kami. Moga Allah menjauhi ibu dari azab api neraka.

    “Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”
    Surah Al-Ahqaf : 15

     Wallahua'lam.

    p/s : hujung minggu ni insya Allah ke Genting pula. Moga Allah kurniakan ketenangan dan kekuatan untuk aku terus berada dan berjuang di jalan Nya. Moga percutian ini membawa suatu yang bermakna. :)

0 comments: