• Holiday In Genting

    Assalamu'alaikum wbt
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang





    "Katakanlah, "pantaskah kamu ingkar kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan pula sekutu-sekutu bagiNya? Itulah Tuhan seluruh alam. Dan Dia ciptakan padanya gunung-gunung yang kukuh di atasnya. Dan kemudian Dia berkahi, dan Dia tentukan makanan-makanan (bagi penghuni) dalam empat masa, memadai untuk memenuhi kebutuhan mereka yang memerlukan. Kemudian Dia menuju ke langit dan langit itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi, "Datanglah kamu berdua menurut perintah-Ku dengan patuh atau terpaksa." Keduanya menjawab, "Kami datang dengan patuh."
    Fussilat : 9-11

    Aku baru sahaja pulang dari percutian seketika di hujung minggu bersama-sama teman. Percutian sehari di Genting Highland. Alhamdulillah, akhirnya apa yang dirancang terlaksana juga memandangkan perancangan kami ini sejak dari tahun 2 lagi, namun kesibukkan kami semua menyebabkan perancangan kami sering tertangguh.

    Kami seramai 12 orang, menaiki bas ke Genting Highland seawal 8.30 pagi. Lebih kurang 45 minit kami telah selamat sampai di sana. Untuk berada di Taman Tema Genting Highland, kami menaiki kereta kabel. Gondola yang boleh memuatkan 6-8 orang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa kami ke destinasi utama iaitu Taman Tema. Sampai ke destinasi, kami memulakan misi kami, cuba untuk merasai semua permainan di sana. Terlalu banyak. Bagi aku sendiri, aku sangat takut untuk bermain permainan yang disediakan kerana aku tidak berani berada di tempat tinggi.

    Permainan di sana benar-benar mencabar dan menguji ketahanan aku antaranya Space Shot, Corkscrew, Cyclone, Spinner, Pirate Ship, Rolling Thunder Mine Train, Bumper Boat, Flying Dragon dan macam-macam lagi. Kalau di ceritakan tentang semua permainan ini, tidak cukup muka surat untuk ku tulis mungkin. Bagi yang pernah merasainya, pasti dapat mengetahui. Bagi aku yang pertama kali merasainya, sungguh aku tak nak merasai lagi. Haha, cuak aa.

    Namun, bukan cerita keindahan, keseronokkan di sana yang menjadi perkara utama untuk entry kali ini. Cuma, aku ingin sekali melontarkan beberapa buah fikiran yang aku terfikir sepanjang percutian singkat ini.
    Sepanjang permulaan perjalanan kami, aku merasakan begitu indah ciptaan Illahi. Masya Allah, sungguh cantik sebenarnya bukit-bukit di hiasi pohon-pohon yang membentuk hutan dan kabus sejuk yang tebal melitupi hutan. Apatah lagi bila aku berada di atas gondola, melayari permandangan yang benar-benar indah dari arah puncak. Masya Allah, sangat cantik ciptaanMu. Lidah dan hati ini benar-benar memujiMu.

    Hakikatnya, permainan di sana benar-benar menyebabkan jantung ku hilang entah ke mana. Pada mulanya aku bermain Cyclone. Allahu rabbi, menakutkan. Jantungku luruh entah ke mana. Badan dan jantung terpisah. Jantung pula entah berpecah kepada 18 kot. Lidah ku hanya menyebut namaMu, aku sangat takut. Kemudian, di tambah lagi dengan permainan Space Shot. Ketika turun menjunam dari menara atas ke bawah, rasanya jantung ku masih tertinggal di atas, sedangkan badanku sudah melayang ke bawah. Gila aku dibuatnya. Begitu juga permainan Corkscrew dan semua lah pendek kata. Gerun.

    Disaat meneruskan permainan ini, aku dapat merasakan ajal ku telah tiba. Ia sangat menakutkan. Aku rasa macam aku akan mati. Namun, setelah tamat setiap permainan, aku sedar aku masih hidup. Lalu kepala ku masih ligat berfikir, andainya di akhir zaman nanti, banyak permainan tema seperti ini, lalu di ketika itu malaikat Izrail meniup sangkakala, mungkin berterbanganlah manusia merepuh segala macam benda di taman tema ini. Gelincirlah gondola, roller coaster, dan segala menara yang terdapat di taman tema ini. Berterbangan manusia yang jatuh dari tempat tinggi melanggar antara satu sama lain. Perasaan ini benar-benar gerun. Moga hayatku tidak berakhir ketika akhir zaman.

    Ketika makan, kepala ku masih terus menerus ligat berfikir. Aku terfikir, bukan mudah untuk menghasilkan taman tema sebegini. Sudah tentu kepakaran yang sangat tinggi bagi membentuk sebuah taman tema ini. Kepakaran dari segi ilmu manusia untuk menghasilkan suatu idea yang benar-benar kreatif, kepakaran teknologi tinggi, kepakaran mengendalikan teknologi-teknologi, kepakaran jurutera-jurutera menguruskan tali kabel yang benar-benar kukuh untuk membawa gondola, dan pendek kata segala jenis kepakaran bergabung menjadi satu lalu menghasilkan taman tema ini. Jika ceteknya pemikiran seseorang itu, mereka begitu mengkagumi ciptaan, kepintaran dan kepandaian jurutera-jurutera ini, namun jika mereka yang berpandangan jauh, hatinya hidup dengan kalimah Allahurabbi, mereka akan memuji-muji agungnya ciptaan Ilahi. Memanglah pada hakikat mata kasar, manusia yang melakukan, namun, kurniaan aqal fikiran, kepandaian, kekuatan fizikal datang daripada Allah yang Maha Agung, Maha kuasa yang menciptakan segala-galanya dan membenarkan ciptaan manusia. Masya Allah, Maha Kuasa Engkau wahai Allah, tuhan pemilik sekalian alam.

    Sepanjang di sana juga, aku bermuhasabah tentang diriku. Aku tanya Allah, kenapa aku berada di situ?? Kenapa Allah letak aku di situ pada hari ini sedangkan kedatangan ku ke situ mungkin hanyalah keseronokkan semata-mata. Aku bertanya Allah, adakah sebenarnya Dia redha aku berada di situ atau meletakkan aku di situ dalam keadaan murka??? Aku bertanya Allah, redhakah Dia aku berada di situ sedangkan jika aku tidak berada di situ, aku mungkin sedang berada dalam misi dakwahku???

    Hakikat keberadaan aku di Genting Highland hari ini benar-benar menakutkan aku, aku bimbang kenapa Allah campakkan aku di dunia kelalaian itu, namun hati ku tersenyum rindu buat penciptaku kerana aku mengingati Dia di sana, memikirkan tentang Dia di sana, memuji Dia di sana dan aku yakin bukan suatu perjalanan yang sia-sia aku ke sana. Moga Engkau meredhai aku, dalam erti kata sebenar menyayangi aku. Moga perjalanan ku hari ini bukanlah perjalanan yang melalaikan dan sia-sia. Misi dakwah tetap akan diteruskan. Insya Allah. :)
    Alhamdulillah.
    Wallahua'lam.

    "Deni masa, Sungguh, manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling-menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran."
    Al-'Asr : 1-3

0 comments: